Penulisan Watikah Pertabalan KDYMM Agong XV

Proses menyediakan Watikah Perisytiharan Pertabalan sempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV SULTAN MUHAMMAD V pada bulan April 2017 nanti, sedang giat dijalankan ketika ini. Alhamdulillah, sekali lagi saya di amanahkan untuk menulis watikah yang sangat penting dan bersejarah ini setelah terlibat dengan penulisan watikah pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke 12, 13 dan 14. Penulisan ini melibatkan lima jenis watikah iaitu Watikah Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong, Watikah Ikrar, Watikah Doa, Warkah Persilaan dan Watikah Perisytiharan Pertabalan. Penulisan ini menggunakan tulisan jawi sepenuhnya dengan melibatkan penggunaan beberapa jenis khat yang masyhur seperti khat nasakh, khat thuluth dan khat muhaqqaq. Penulisan watikah ini amat berlainan dari penulisan biasa kerana penggunaan mediumnya adalah kulit kambing yang diimport khas dari luar negara serta disiapkan dengan reka bentuk dan corak serta motif yang khusus untuk pertabalan ini.