Barakallah

بارك الله لكما…Semoga Allah memberkati kamu berdua

Liputan Akhbar Kelas Khat

Sinar Harian, Jumaat 11 Mac 2011

Bengkel Khat Adnan Syeikh Othman

Di bawah ini adalah gambar-gambar di sekitar majlis perasmian Inspirasi Seni Khat yang disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tengku Seri Bendahara Raja dan diikuti dengan bengkel pada sebelah pagi dan petang oleh Adnan Syeikh Othman. Apa yang menariknya, bacaan al-Quran ketika majlis perasmian telah dibaca sendiri oleh Adnan Syeikh Othman dengan sungguh merdu sekali ayat-ayat dari surah Ar-Rahman. Bengkel seni khat beliau telah dibantu oleh Ustaz Yusuf Abu Bakar, yang dipertua Persatuan Seni Khat Malaysia dan Ustaz Halias Abu Bakar dari Terengganu.  Hari ini juga pameran seni khat telah dibuka dengan rasmi kepada orang ramai dan diadakan penilaian karya-karya seni khat peserta pertandingan khat kategori kanvas, kayu dan logam pada sebelah malam. Ustaz Adnan berkata kepada saya bahawa beliau sungguh kagum dengan kemampuan penulis-penulis khat Malaysia yang dapat menghasilkan karya-karya yang begitu baik dan cantik. Tidak pernah tergambar difikirannya di Malaysia mempunyai ramai penulis yang sungguh berbakat malah lebih baik dari beberapa negara Arab. Katanya, inilah adalah waktu terbaik untuk seni khat berkembang di rantau ini.

This slideshow requires JavaScript.

Seminar, Pameran & Pertandingan Khat

Hari ini bermulalah program Inspirasi Seni Khat yang mengandungi seminar, pameran dan pertandingan seni khat di Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu yang akan berlangsung selama dua hari dari 12 & 13 Mac 2011. Saya dengan rendah hatinya merasa sungguh bertuah kerana telah diberi kepercayaan oleh pihak  TTI untuk membantu dalam menjayakan program yang julung kalinya diadakan ini. Buat pertama kali semalam saya berpeluang bertemu dan berbual dengan penulis khat tersohor Syria iaitu Ustaz Adnan Syeikh Uthman yang dijemput khas oleh pihak TTI ke Malaysia untuk beliau memberi pengisian yang penuh bermakna di dalam acara ini. Semalam beliau sempat membuat demo khat dengan menulis nama pengarah TTI Engku Muhammad Azmi Bin Engku Abdul Rahman. Seperti yang kita ketahui hasil buah tangan Ustaz Adnan memang mengkagumkan. Beliau menggayakan dengan tulisan diwani. Di dalam program ini nanti Ustaz Adnan akan memberi syarahan berkaitan seni khat pada hari ini dan beliau akan menjadi juri pertandingan seni khat kanvas, kayu, logam dan spontan pada keesokannya (ahad). Beliau juga akan mengadakan pameran dengan karya-karyanya yang dibawa khas dari Syria. Datanglah beramai-ramai ke TTI selama program dua hari ini menyaksikan sendiri pameran beliau. Selain itu pengunjung boleh menyaksikan juga pameran karya penulis-penulis khat Malaysia yang pernah memenangi pengiktirafan IRCICA Turki dan pameran karya-karya peserta pertandingan.