Ramadan Mubarak

Desain khat thuluth RAMADAN MUBARAK. Kami benarkan anda mengguna desain ini dengan syarat jangan dibuang tauqiknya (tanda tangan penulis).

Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah

MASJID ZAHIR

Masjid Ini Dibina Pada Hari Isnin 11 Mac 1912 Bersamaan 22 Rabiul Awal 1330 H Atas Usaha YTM. Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah (Pemangku Sultan). Ahli-Ahli Majlis Ketika Itu Ialah Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Syed Hassan Shahabuddin Yang Merupakan Hakim Besar Ketika Itu, Muhammad Ariffin Bin Muhammad Arshad Yang Bertugas Sebagai Setiausaha Kerajaan, W.G.  Maxwell Iaitu Penasihat British Dan G. Gorman Sebagai Jurutera Negeri.

Sejarah Pembinaan Masjid Zahir Bermula Pada Tahun 1735 Iaitu Melalui Tapak Asal Yang Dibina Dengan Sebuah Masjid Yang Dikenali ‘Masjid Lama’. Masjid Lama Ini Telah Dibina Di Zaman Pemerintahan Al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Alidin II Yang Juga Dikenali Sebagai Marhum Kota Setar. Masjid Ini Telah Dibina Di Atas Perkuburan Orang-Orang Islam Yang Mati Syahid Semasa Siam Melanggar Kedah.

Senibina Masjid Lama Itu, Adalah Senibina Melayu Yang Berbumbung Atap Nipah Dan Diperbuat Daripada Kayu. Reka Bentuk Masjid Ini Seperti Masjid Kampung Laut Di Kelantan. Masjid Pengkalan Kakap Di Kuala Muda, Kedah Dan Masjid Ulu Melaka, Langkawi. Masjid Lama Hanya Boleh Dimuat Ahli Jemaah Seramai 600 Orang Sahaja. Disebabkan Penduduk Yang Semakin Meningkat Dan Raja Inginkan Sebuah Masjid Yang Cantik, Maka Kerja-Kerja Pembinaan Masjid Baru Dijalankan Dan Masjid Lama Dipindahkan Ke Alor Merah Pada Tahun 1912.

Pemilihan Kawasan Itu Untuk Didirikan Sebuah Masjid Pada Zaman Awalnya Adalah Dipengaruhi Oleh Beberapa Faktor. Di Samping Pembinaan Masjid, Sultan Juga Telah Membina Istana Yang Berdekatan Dengan Masjid Iaitu Istana Kuning Atau Istana Pelamin. Konsep Membina Istana Berdekatan Dengan Tempat Ibadat Iaitu Masjid Merupakan Konsep Asas Dalam Sesebuah Pemerintahan Itu. Ini Bertujuan Bagi Memudahkan Baginda Sultan Berulang-Alik Ke Masjid Setiap Kali Menunaikan Solat. Tambahan, Masjid Adalah Yang Termasuk Dalam Elemen Istiadat Pertabalan Diraja. Contohnya Sultan Muhammad Jiwa Apabila Ditabalkan Menjadi Sultan Di Balai Besar, Baginda Akan Menaiki Gajah Menuju Ke Masjid Untuk Sembahyang. Jadi Kombinasi Di Antara Istana, Masjid Dan Balai Besar Adalah Bertepatan Dengan Sesuatu Upacara Diraja Yang Dijalankan. Sebagai Ibu Negeri, Masjid Perlukan Khidmat Dari Mufti Dan Kadi Besar Bagi Menjalankan Sesuatu Perkara Yang Berlandaskan Hukum Agama. Oleh Itu, Terdapat Pertalian Yang Rapat Di Antara Sultan Dengan Golongan Alim Ulama’ Dalam Merujuk Sesuatu Perkara. Jadi, Masjid Amat Perlu Didirikan Berdekatan Dengan Istana Sultan. Adanya Sungai Kedah Yang Berhampiran Dengan Kawasan Masjid Memudahkan Penduduk Di Sekitarnya Datang Bersembahyang. Ini Kerana Sungai Pada Suatu Ketika Dahulu Alat Pengangkutan Yang Utama Disamping Memudahkan Para Jemaah Mengambil Wuduk.

Berdasarkan Beberapa Kelebihan Yang Terdapat Di Tapak Asal, Maka Pada Hari Isnin 11hb. Mac 1912 Bersamaan 22 Rabiul Awal 1330H, Masjid Zahir Pun Telah Dibina Bagi Menggantikan Masjid Lama. Masjid Ini Dibina Atas Daya Usaha YTM Al Marhum Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Ahamad Tajuddin Mukarram Syah, Yang Menjadi Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri Ketika Itu. Pembinaan Masjid Ini Dilakukan Ketika Baginda Memangku Tugas Paduka Kekandanya, Almarhum Sultan Abdul Hamid Syah. Pada Tahun 1912 Masjid Ini Dikenali Sebagai Masjid Diraja Dan Masjid Ini Secara Rasminya Telah Dibuka Pada Tahun 1915. Pada Tahun 1955 Barulah Masjid Ini Diiktiraf Sebagai Masjid Negeri. Oleh Itu, Masjid Zahir Ialah Masjid Negeri Yang Pertama Dibina Di Negeri Kedah.

Tugas Membina Masjid Ini Telah Diamanahkan Kepada Lima Ahli Jawatankuasa Majlis Negeri Iaitu:

  1. Tunku Ibrahim Ibni Sultan Abdul Halim Syah.
  2. Syeh Hassan Barakbah
  3. Che Muhammad Ariffin (Setiausaha Kerajaan)
  4. W.G Maxwell (Penasihat British)
  5. J. Gorman (Jurutera Negeri)

Bagaimanapun Kerja-Kerja Melukis Plan Masjid Telah Ditugaskan Kepada J. Gorman Dan Pakdin Oleh Baginda Sultan. Penggantian Masjid Lama Dengan Masjid Zahir Menjadikan Negeri Kedah Antara Negeri Yang Mempunyai Masjid Tercantik Dan Tertua Di Samping Ciri-Ciri Yang Lain. Lebih Menarik Lagi Ialah Pembinaan Masjid Ini Adalah Hasil Usaha Seorang Sultan Yang Ingin Mengembangkan Syiar Islam Di Negeri Kedah.
Terdapat Suatu Keunikan Mengenai Asal Usul Nama Masjid Ini. Masjid Ini Diberi Nama Masjid Zahir Semasa Pemerintahan Sultan Abdul Hamid Syah Dan Tunku Mahmud Pada Tahun 1915M. Menurut Arabic – English Dictionary, Zahhar Bermaksud Penjual Bunga, Zahirun Ialah Bekas Bunga, Azhara Berbunga Dan Zahra’u Bererti Berkilau-Kilauan Atau Bersinar. Dari Pengertian Yang Diberikan Boleh Dibuat Kesimpulan Bahawa Perkataan ‘Zahir’ Terbit Daripada Perkataan-Perkataan Di Atas Yang Melambangkan Bunga Sebagai Suatu Yang Cantik. Di Antara Zahir Dan Azhar Mempunyai Talian Yang Membawa Meksud ‘Putih’ Iaitu Kebersihan Atau Kesucian.

Sumber : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman

Papan Tanda Khat

Papan tanda khat di Surau Al-Hijrah PPR Pantai Ria. Hubungi kami di 0193932947 untuk maklumat lanjut

Israk Mikraj

Selamat memperingati peristiwa agung Israk Mikraj 2021.

Kami benarkan anda mengguna desain Israk Mikraj ini dengan syarat jangan dibuang tauqiknya (tanda tangan penulis)

Hukum Menulis Ayat Al-Quran Dengan Corak Tertentu

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum menulis ayat al-Quran mengikut corak tertentu seperti wau, bunga dan lain-lain. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, al-Quran wajib dimuliakan, diagungkan dan dihindarkan daripada sebarang perkara yang boleh membawa wujudnya unsur kehinaan atau merendahkan. Imam Nawawi dalam menegaskan hal ini menyebut: “Para ulama telah bersepakat akan wajibnya menjaga Mushaf al-Quran dan memuliakannya.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, hlm. 190)

Malah jumhur ulama menyatakan wajib bagi seseorang Muslim itu suci daripada hadas kecil dan besar sebelum dia memegang mushaf dan menanggungnya. Firman Allah SWT:

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya“Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

Surah al-Waqi’ah (79)

Di dalam kitab Nawadir al-Usul dijelaskan: Menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat mushaf al-Quran) hendaklah dalam keadaan suci (berwuduk), sama ada ayat-ayat al-Quran itu ditulis pada kertas, papan, besi, kain dan sebagainya. (Lihat Nawadir al-Usul fi Ma’rifah Ahadith al-Rasul, 2/392)

Matlamat utama al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca, ditadabbur, dihayati, diimani dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seorang Muslim.

Dalam isu persoalan di atas, kami nukilkan di sini jawapan daripada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bertarikh 13-15 Jun 2005 dalam muzakarah kali ke-69, antara lain menyebut:

  • Penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang.
  • Penulisan khat ayat al-Quran boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan mudah dibaca.
  • Tulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat-ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca.
  • Tulisan khat ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubahnya.
  • Tulisan seni khat ayat-ayat al-Quran yang dibuat dalam pelbagai bentuk sehingga menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016 – Jakim, hlm. 210-211)

Begitu juga disebut: Dilarang menulis atau membentuk ayatayat suci al-Quran berbentuk binatang, manusia, bangunan, alat permainan seperti wau, tumbuhan, bunga-bungaan dan seumpamanya. (Lihat Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Ayat Suci Al-Quran oleh Jakim, hlm. 5)

Terdapat juga Garis Panduan Kaligrafi Al-Quran yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Qur’an Kementerian Dalam Negeri, antara lain menyatakan:

  • Dilarang menulis kaligrafi Al-Quran berbentuk makhluk bernyawa atau sebarang bentuk yang boleh menjatuhkan kesucian Al-Quran;
  • Latar belakang kaligrafi tidak boleh mengandungi sebarang unsur makhluk bernyawa atau yang tidak sesuai dengan kemuliaan al-Quran.
  • Setiap penulisan mestilah sempurna dan mengikut kaedah penulisan kaligrafi Al-Quran;
  • Khat yang susah dibaca seperti Khat Kufi Murabba’ dan Khat Diwani Jaliyy hendaklah menyertakan sekali Khat Nasakh bersaiz kecil di bahagian bawah karya tersebut bagi memudahkan pengecaman masyarakat untuk membaca kaligrafi Al-Quran;
  • Setiap penulisan mestilah sempurna dari segi maksud ayat dan tidak tergantung dari aspek maksud ayat. (Lihat Garis Panduan Kaligrafi Al-Quran, hlm. 6-7)

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpendapat adalah tidak harus untuk menulis al-Quran dalam bentuk gambar-gambar kerana ia sejuzuk daripada merendahkan martabat al-Quran. Begitu juga, kerana ia menjadikan banyak tafsiran serta andaian yang kurang sihat terhadap al-Quran sedangkan al-Quran kitab dan kalam Allah yang suci lagi mulia, yang wajib dimuliakannya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar cintakan al-Quran. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

MaksudnyaYa Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.

Amin.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN

Pembinaan Masjid Wilayah ini direalisasikan pada 25 Syawal 1416 Hijri bersamaan 15 Mac 1996 Masihi dan siap dibina pada 30 Ogos 2000 Masihi. Upacara serah milik kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) pada September 2000 Masihi.

Masjid Wilayah Persekutuan terletak di sebuah kawasan berbukit Jalan Duta, berhampiran susur masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tapak binaannya berkeluasan kira-kira 13.4 hektar, iaitu di atas tapak bekas mahkamah dan pejabat kerajaan. Cadangan pembangunan Masjid Wilayah ini diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat. Ia merupakan projek Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan diiktiraf berstatus Masjid Negeri.

Keindahan dan keunikan Masjid Wilayah ini terletak pada seni binanya yang berkonsepkan gaya zaman era Uthmaniyah di Turki pada abad ke-16. Walaupun seni bina begini dikatakan agak terbelakang, namun konsep tersebut amat popular pada kebanyakan bangunan masjid di seluruh dunia.

Kubah Masjid Wilayah terdiri daripada sebuah kubah utama bersaiz besar, tiga kubah separa, dua kubah menara dan 16 kubah kecil yang berada di atas ruang solat utama serta anjung-anjung masjid. Kubah utamanya bergaris pusat kira-kira 30 meter dengan ketinggian 45 meter dari aras lantai dewan solat utama. Bahan untuk binaan kubah terdiri daripada jenis exposy glassfire dan berkemasan jubin mozek yang menggunakan teknik bit-map. Berwarna biru firuz, kubah ini dihiasi dengan hiasan reka bentuk lingkaran bunga dan dedaunan yang menjalar.

Material yang digunakan pada hiasan dan tatahias luaran dan dalaman Masjid Wilayah ini berasaskan kayu dan batu. Ukiran-ukiran lebih bertumpu kepada komponen yang diperbuat daripada kayu seperti yang dapat dilihat pada pintu, tingkap dan sebahagian jeriji di dinding masjid. Pemidang di dewan solat wanita dan mimbar juga diperbuat daripada kayu yang telah diukir.

Ukiran yang halus dan unik boleh dilihat pada dinding kemasan batuan simen, manakala silingnya berturap simen telah dibentuk dan diukir mengikut acuan. Motif kebanyakan ukiran kayu yang menghiasi masjid ini berbentuk awan larat yang diambil daripada bentuk-bentuk lima jenis bunga harum seperti bunga tikam seladang (bunga mas), cempaka, kenanga, tanjung, melur serta daun yang menghijau seperti paku pakis.

Kayu-kayu hiasan terdiri daripada jenis kayu cengal yang diukir oleh tukang-tukang mahir tempatan yang didatangkan dari Terengganu dan Kelantan. Bahagian dalam masjid dihiasi dengan lampu-lampu yang mengeluarkan cahaya bergemerlapan. Lampu candelier yang digantung pada sebelah dalam kubah utama pula berbentuk moden dan eksklusif. Keindahannya terserlah apabila semua lampu itu dipasang terutama pada waktu malam.

Ukiran batu pula dibuat pada pintu gerbang utama dan mihrab. Jenis batu yang digunakan terdiri daripada batu marmar Makarana. Pembuatan batu ini diselenggarakan di tiga pusat yang terletak di Agra, Jaipur dan Makarana di Rajestan, India. Batu-batu ini diukir oleh pengukir mahir di India dengan menggunakan konsep in lay daripada jenis batu permata dan dipasang di tapak binaan oleh pekerja-pekerja tempatan dan dikemaskinikan serta dihalusi oleh pekerja India.

Penggunaan batu permata pelbagai jenis seperti batu lapisan lazuli, black onyx, malachite, red and golden jasper, mother of pearl dan tiger eye menjadikan Masjid Wilayah ini begitu istimewa. Tulisan khat jenis Thuluth turut memainkan peranan penting dan amat bermakna sebagai hiasan kaligrafi kepada Masjid Wilayah ini. Ia diterapkan di tempat-tempat tertentu supaya mudah dihayati dan difahami terutama di gerbang pintu masuk.

Masjid Wilayah ini dilengkapi dengan sekolah pendidikan Islam. Asrama, perpustakaan dan kemudahan bilik komputer turut disediakan. Selain kegiatan pembelajaran, aktiviti yang dilaksanakan ialah sambutan hari kebesaran Islam, ceramah, mesyuarat dan aktiviti kemasyarakatan yang disertai oleh semua golongan umat Islam. Masjid Wilayah ini menjadi antara tempat kunjungan wajib para pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi mengimbangi pembangunan dan mewujudkan suasana mesra kepada alam semula jadi, Masjid Wilayah dihiasi dengan seni lanskap yang terdiri daripada kepelbagaian jenis pepohonan termasuk pokok-pokok herba. Taman di masjid ini terbahagi kepada tiga, iaitu taman hutan, taman riadah dan taman perubatan.Taman-taman dan kolam buatan saling lengkap-melengkapi antara satu dengan yang lain sehingga menerbitkan suasana nyaman dan tenteram kepada para pengunjung masjid.

Lorong siar kaki yang disediakan di sekitar kolam ditaburi dengan batu-batu kecil dari sungai. Kolam air yang dilengkapi dengan tujuh pancutan halus dan air terjun buatan menambahkan lagi kelembutan dan ketenangan di situ. Kolam ini dilengkapi dengan bio-filter bagi menjaga kebersihan sepanjang masa.

Sumber : JAKIM