Khat Thuluth

Al-Baqarah 117-118 in thuluth scrip

Khat Thuluth

Surah Al-Baqarah : 117-118

Maksudnya: Allah jualah Pencipta langit dan bumi (dengan segala keindahannya tanpa meniru pada contoh yang lain). Apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau.” Lalu menjadilah ia.

(Orang kafir Makkah) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata, “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mu’jizat)?” Demikian pula orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka. Hati mereka (sekeliannya) adalah sama (dalam kedegilan dan kekufuran). Sesungguhnya Kami telahpun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

As-Syaikh Othman Taha

Othman Taha

Nama sebenar beliau ialah Abu Marwan Othman Bin Abduh Bin Hussain Bin Taha, seorang penulis khat yang terkenal dengan penulisan Mushaf Madinah yang di terbitkan di Mujamma’ Malik Fahd. Berasal dari Syria. As-Syaikh Othman Taha yang dilahirkan pada tahun 1934M telah mendapat ijazah seni khat daripada gurunya yang masyhur iaitu Hamid Al-Amidi pada tahun 1973M. Beliau belajar seni khat daripada beberapa orang lagi tokoh terkenal di dalam bidang ini seperti Muhammad Ali al-Maulawi, Ibrahim Ar-Rifai’e, Muhammad Badwi Ad-Dairani dan Muhammad Hasyim Al-Baghdadi.

Syaikh Othman Taha osman-taha

Mula menulis mushaf pada tahun 1970M untuk untuk Kementerian Wakaf Syria, kemudian pada tahun 1988M beliau di jemput datang ke Madinah oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menulis Mushaf Madinah yang kini banyak dicetak dan diedarkan keseluruh dunia. Pada tahun itu juga beliau dilantik menjadi hakim pertandingan khat yang diadakan di Istanbul, Turki setiap tiga tahun sekali.

Dari tahun 1970M sehingga ke hari ini As-Syaikh Othman Taha telah menulis dengan lengkap sebanyak sepuluh buah mushaf, dimana setiap satu lembaran berukuran 100cm x 70cm dan mempunyai 15 baris. Diantara mushaf-mushaf yang telah ditulis olehnya ialah:

  1. Mushaf untuk Kementerian Wakaf Syria
  2. Mushaf dengan riwayat Hafs untuk Ad-Dar As-Syamiyyah
  3. Mushaf dengan riwayat Warash (Madinah)
  4. Mushaf dengan riwayat Hafs (Mengikut Mushaf Mesir-tiada wakaf sudut)
  5. Mushaf dengan riwayat Hafs (Mushaf Madinah)
  6. Mushaf dengan riwayat Qalun
  7. Mushaf dengan riwayat Ad-Duri

Beliau telah memperbaiki sistem susunan menulis mushaf yang mempunyai wakaf sudut daripada resam imlai kepada resam othmani mengikut sebuah mushaf yang ditulis pada zaman Othmaniah Turki. Sistem inilah yang digunakan pada Mushaf Madinah sekarang. Susunannya amat kemas, teratur, membahagikan juzuk secara konsisten dan ia dinamakan juga Mushaf Huffaz kerana struktur susunannya yang mudah digunakan oleh para huffaz untuk menghafaz al-Quran.