Tema Maulidur Rasul 1430: Wahdah Pemangkin Khaira Ummah. Tulisan menggunakan kaedah khat nasakh.
Khat Nasakh berkembang daripada bentuk yang kaku kepada bentuk yang terkini sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Khat ini telah sampaik kepada orang Arab Hijaz dan digunakan di jabatan-jabatan kerajaan dalam urusan surat-menyurat pada zaman permulaan Islam.
Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyah kurun ketiga dan keempat ahli sejarah menjelaskan khat ini bertambah baik bentuknya apabila khattat Ali bin Muqlah (tahun 272-328H) telah mencipta kaedah penulisan Khat Nasakh.
Pada zaman Atabikah (545H), khat nasakh telah diperbaiki sehingga dikenali sebagai Khat Nasakh Atabik. Digunakan untuk penulisan al-Quran pada zaman pertengahan Islam menggantikan Khat Kufi Klasik.
Jenis-Jenis Khat Nasakh:
i. Nasakh Klasik
Nasakh semenjak zaman pemerintahan Kerajaan Abasiyah. Kaedah penulisan ini ditulis oleh Ibn Muqlah, diperelokkan oleh orang Atabikah dan dijelmakan dalam bentuk ukiran dan hiasan oleh orang Turki
ii. Nasakh Akhbar
Khat yang telah dikembangkan dari segi bentuknya yang jelas dan huruf yang tebal. Tulisan ini juga dinamakan tulisan ‘surat khabar’ kerana penggunaannya meluas dalam bidang akhbar.
Khat Nasakh Dalam Pertandingan
Khat Nasakh digunakan secara meluas dalam pendidikan dan sering menjadi pilihan untuk dipertandingkan di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam pertandingan ada beberapa perkara yang perlu diberi penekanan antaranya:
i. Memahami dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh penganjur. Biasanya Khat Nasakh disempurnakan dengan baris bacaan kecuali dalam menulis jawi.
ii. Bentuk yang dipilih dan ruang yang disesuaikan. Tulisan itu disusun dengan keseimbangan dari segi bentuk, ruang dan keserasian perhiasan agar menjadi lebih menarik.
iii. Ragam hias hendaklah tidak terlalu besar hingga mengganggu tulisan asal. Contohnya tulisan Basmalah dan Sodaqallah, hendaklah ditulis dengan saiz yang kecil atau sederhana sahaja kerana fokus adalah kepada ayat yang ditentukan (Jainal Sakiban, 2000)