Pertandingan Khat Di Indonesia

Pertandingan khat di Indonesia merupakan aktiviti seni yang diiktiraf oleh kerajaan sebagai acara tahunan dan dijalankan bersama musabaqah Al-Quran di sana. Difahamkan sambutan orang ramai terhadap pertandingan ini amat menggalakkan. Ia bermula dari peringkat kampung, kemudian daerah (provinsi) dan seterusnya peringkat kebangsaan. Pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori seperti penulisan mushaf, hiasan mushaf, penulisan pelbagai jenis khat dan sebagainya. Dalam penulisan mushaf peserta akan diberikan kertas dan ditulis ayat-ayat Al-Quran menggunakan khat nasakh . Kategori hiasan (dekorasi) mushaf pula, peserta akan diberikan papan plywood dan mereka akan melukis hiasan (zukhruf) dan khat di atasnya dengan kreativiti masing-masing menggunakan cat dalam pelbagai warna. Tulisan pula ditulis dalam beberapa jenis khat, seperti khat thuluth + nasakh + riq’ah + kufi + diwani sehingga memenuhi keseluruhan saiz papan plywood tersebut. Karya mereka harus dibuat secara spontan dan mesti siap dalam tempoh lapan jam.

Dengan aktiviti seni khat seperti ini yang dilakukan secara konsisten oleh kerajaan Republik Indonesia dan diangkat tarafnya seperti acara seni Islam yang lain, contohnya musabaqah Al-Quran, tidak hairanlah di Indonesia sekarang terdapat ramai penulis-penulis khat yang sangat berbakat. Mereka sudah melangkah jauh ke peingkat antarabangsa. Diperingkat Asean umpamanya, mereka sering menguasai Pertandingan Menulis Khat Asean di Brunei. Ada yang memenangi Pertandingan Khat di Turki walaupun bukan untuk hadiah utama. 

Dipaparkan di sini beberapa foto suasana pertandingan khat peringkat Provinsi Jawa Barat tahun 2006 yang saya dapat dari seorang kawan. Lihatlah kualiti tulisan dan hiasan mereka. Ini baru peringkat provinsi belum kebangsaan lagi. 

Arabic calligraphyArabic calligraphyArabic calligraphyArabic calligraphyArabic calligraphyArabic calligraphyKhat nasakhKhat nasakhKhat nasakhdekorasi-mushaf.jpg

Pertandingan Seni Khat

Kerajaan Negeri Johor dan Yayasan Warisan Johor sedang menganjurkan Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2007, terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas. Kategori pertandingan adalah bebas. Ukuran bagi setiap karya tidak kurang 60 cm x 60 cm. Jenis- jenis khat yang dipertandingkan ialah : Thuluth, nasakh, riq’ah atau kufi. Karya-karya khat peserta mestilah mengikut kepada kata-kata hikmat Dato’ Onn Jaafar yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Karya-karya yang menyertai pertandingan ini hendaklah sampai di alamat seperti di bawah sebelum atau selewat-lewatnya pada 17 disember 2007, jam 4 petang. Hadiah pertandingan:

1. RM5000.00 + Cenderahati + Sijil

2. RM3500.00 + Cenderahati + Sijil

3. RM2000.00 + Cenderahati + Sijil

4. 10 hadiah saguhati: Hadiah wang tunai RM800.00 + Cenderahati + Sijil

 Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat, hubungi:

Urusetia,

Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2007,

Galeri Seni Johor,

Yayasan Warisan Johor,

JKR 144, Jalan Petrie,

81100 Johor Bahru, Johor Daraul Ta’zim.

Tel: 07-2263266 / 07-2245488 / 07-2213148

Teknik Khat Thuluth

Penulisan khat thuluth atau thuluth jali perlu dilengkapkan dengan tanda-tanda bacaan atau baris walau apapun bahasa yang ditulis, samada Arab, Melayu, Turki dan sebagainya. Setelah itu, ruang-ruang kosong akan dipenuhkan pula dengan tazyin iaitu simbol-simbol khas yang diletakkan di atas atau di bawah huruf. Ini menyebabkan khat thuluth atau thuluth jali kaya dengan tanda-tanda dan simbol-simbol seperti yang dilihat pada hari ini.

khat

Cara dan tradisi yang diikuti sejak dahulu ketika menulis khat thuluth ialah tidak boleh ditinggalkan ruang kosong pada sesuatu susunan (tarkib) tetapi mesti dipenuhi dengan : 1) Huruf. 2) Baris atau tanda bacaan. 3) Tazyin yang bersesuaian. Pena untuk baris (qalam harakat) ialah 1/2 daripada saiz pena huruf, manakala untuk tazyin penanya bersaiz 1/3 daripada ukuran pena huruf. Pada sesetengah tempat pena huruf digunakan untuk menulis harakat terutama digunakan untuk sukun, dammah dan baris fathah yang ditarik panjang bagi memenuhi ruang kosong. Begitu juga pena baris boleh digunakan untuk membuat tazyin pada tempat-tempat tertentu. Pengaturan ini bergantung kepada kreativiti penulis khat itu sendiri.

Khat thuluth seperti juga khat-khat yang lain, diukur dengan keluasan titik saiz pena. Jika saiznya besar maka besarlah huruf yang ditulis begitu juga jika kecil, saiz huruf juga akan mengecil. Sebagai contoh, sekiranya kita menggunakan pena bersaiz 1 mm, maka saiz hurufnya bersesuaian 1 mm dan seterusnya.  Penggarisan saiz huruf dan panjang garis tegaknya diukur dengan menghitung titik. Kadangkala ahli khat tidak terlalu berpegang dengan ukuran ini, tetapi penulisannya tidaklah menyimpang terlalu jauh daripada kaedah asal. Jika apa yang dilakukan oleh ahli khat itu menyimpang jauh daripada ukuran ini, bererti rosaklah kesejajaran umum yang menjadi punca kesempurnaan khat sepanjang zaman.