Sekitar Kursus Qalam Thuluth

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita telah berjaya melaksanakan Kursus Qalam Thuluth, pada 13.3.2010 (hari sabtu) yang lepas. Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan program ini berjalan lancar dan sempurna. Tidak dilupakan kepada peserta-peserta yang datang dari pelbagai tempat, jauh dan dekat, yang terdiri dari berbagai latar belakang. Semoga dengan penyertaan kita dalam program yang sesingkat ini sedikit sebanyak dapat menambahkan pengetahuan dengan maklumat baru, khususnya dalam khat thuluth ini dan ianya insyaAllah akan membantu dalam memartabat dan menyebar luaskan lagi seni khat di Malaysia.

Hasil daripada kursus ini, kami mendapat maklum balas yang sangat baik daripada para peserta dan orang ramai yang bertanya tentang kursus yang seterusnya. Untuk tujuan tersebut, insyaAllah kami bercadang untuk menganjurkan lagi kursus sebegini di masa akan datang, cuma tariknya belum ditetapkan….

Kursus Qalam Thuluth

Kursus Qalam Thuluth ini akan diadakan pada 13 Mac 2010 (Hari sabtu) bertempat di Pusat Latihan Yayasan Restu (RIYADH RESTU), Kuang, Selangor. Pengisian kursus ini, akan menumpukan kepada satu jenis seni khat sahaja iaitu khat thuluth. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa, khat ini merupakan salah satu jenis khat yang begitu meluas penggunaannya di Malaysia dan amat sukar untuk menguasai disebabkan banyak rahsianya yang tersembunyi. InsyaAllah kursus ini akan dikendalikan oleh saya sendiri di mana kita akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan, berbincang tentang rahsia, tips dan kaedah-kaedah seni khat thuluth ini agar kita dapat menambahkan pengetahuan dan memanfaatkannya di dalam  hasil kerja seni kita di masa akan datang.

Kepada yang berminat dijemput untuk mendaftarkan diri secepat mungkin, kerana penyertaan sangat terhad. Untuk malumat lanjut sila hubungi : Zulfikri: 012-6940323 / Ummi : 016-6375997 /  Hawa: 012-6223114

Keunikan Khat Thuluth

Khat thuluth adalah khat yang paling susah untuk dikuasai. Ia mempunyai banyak kaedah penulisan yang sangat detail dan halus yang harus dikuasai oleh seorang penulis khat dengan tepat. Tambahan pula, susunan untuk sesuatu perkataan dan cara menulisnya boleh dipelbagaikan agar sesuai dengan ruang dan karya yang dibuat. Dan kepelbagaian susunan itu pula mempunyai kaedahnya tersendiri yang mesti diikuti

Sebagai sambungan post sebelum ini, kita akan melihat pula perubahan-perubahan yang boleh dibuat untuk perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth. Berdasarkan perkiraan saya, untuk perkatan ini sahaja kita boleh tulis dalam bermacam cara dan gaya dengan bilangannya hampir mencecah dua puluh bentuk. Di sini saya kemukakan sebahagian daripadanya.

 

Susunan 'Bainahum' dalam pelbagai bentuk

Susunan 'Bainahum' dalam pelbagai bentuk

Teknik Khat Thuluth

Penulisan khat thuluth atau thuluth jali perlu dilengkapkan dengan tanda-tanda bacaan atau baris walau apapun bahasa yang ditulis, samada Arab, Melayu, Turki dan sebagainya. Setelah itu, ruang-ruang kosong akan dipenuhkan pula dengan tazyin iaitu simbol-simbol khas yang diletakkan di atas atau di bawah huruf. Ini menyebabkan khat thuluth atau thuluth jali kaya dengan tanda-tanda dan simbol-simbol seperti yang dilihat pada hari ini.

khat

Cara dan tradisi yang diikuti sejak dahulu ketika menulis khat thuluth ialah tidak boleh ditinggalkan ruang kosong pada sesuatu susunan (tarkib) tetapi mesti dipenuhi dengan : 1) Huruf. 2) Baris atau tanda bacaan. 3) Tazyin yang bersesuaian. Pena untuk baris (qalam harakat) ialah 1/2 daripada saiz pena huruf, manakala untuk tazyin penanya bersaiz 1/3 daripada ukuran pena huruf. Pada sesetengah tempat pena huruf digunakan untuk menulis harakat terutama digunakan untuk sukun, dammah dan baris fathah yang ditarik panjang bagi memenuhi ruang kosong. Begitu juga pena baris boleh digunakan untuk membuat tazyin pada tempat-tempat tertentu. Pengaturan ini bergantung kepada kreativiti penulis khat itu sendiri.

Khat thuluth seperti juga khat-khat yang lain, diukur dengan keluasan titik saiz pena. Jika saiznya besar maka besarlah huruf yang ditulis begitu juga jika kecil, saiz huruf juga akan mengecil. Sebagai contoh, sekiranya kita menggunakan pena bersaiz 1 mm, maka saiz hurufnya bersesuaian 1 mm dan seterusnya.  Penggarisan saiz huruf dan panjang garis tegaknya diukur dengan menghitung titik. Kadangkala ahli khat tidak terlalu berpegang dengan ukuran ini, tetapi penulisannya tidaklah menyimpang terlalu jauh daripada kaedah asal. Jika apa yang dilakukan oleh ahli khat itu menyimpang jauh daripada ukuran ini, bererti rosaklah kesejajaran umum yang menjadi punca kesempurnaan khat sepanjang zaman.