Bengkel Khat Sabah

Bengkel Khat Islami 5.0 telah diadakan di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada 19.10.2018. Bengkel ini disampaikan oleh saya sendiri bersama sahabat saya tokoh khat dari Indonesia Ustaz Isep Misbah. Seramai 80 orang peserta dari negeri Sabah dan Serawak menyertai bengkel ini. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada peserta dan ucapan setinggi-tinggi tahniah terima kasih kepada MUIS atas penganjuran acara ini. Semoga bertemu lagi pada tahun hadapan dalam PERKAMPUNGAN SENI KHAT NUSANTARA 2019… INSYAALLAH.

 

Kelas Khat Cuti Sekolah 2018

Kelas Khat Cuti Sekolah 2018 DIWANI KRAF akan diadakan pada bulan Disember 2018 pada setiap hari khamis, dari 6 Disember 2018 hingga 27 Disember 2018. Kelas akan bermula dari jam 9.00 pagi hingga jam 1.00 tengahari. Kelas Khat Cuti Sekolah 2018 ini sesuai kepada pelajar-pelajar yang sedang bercuti dan ingin mendalami ilmu seni khat secara intensif melalui tunjuk ajar guru yang berpengalaman dalam bidang ini dalam suasana suasana kondusif seni khat di galeri DIWANI KRAF. Untuk tujuan pendaftaran sila hubungi talian : 019-9993125 / 012-6223114

 

kelas khat asas jumaat copy

Ceramah Seni Khat di Sekolah

Program Syarahan Seni Khat di Sekolah Agama Menengah Parit Baru pada hari isnin 29 oktober 2018. Program ini meliputi syarahan seni khat, bengkel dan pertandingan. Semoga usaha yang kecil ini dapat menyemai minat anak-anak kepada seni khat sehingga melahirkan potensi-potensi baharu yang akan memeriahkan seni khat di Malaysia. Sekalung tahniah kepada Cikgu Nik Hafifah di atas usahanya menganjurkan perogram ini.

Kelas Khat Diwani

kelas khat 1117

Alhamdulillah baru baru ini telah selesai kelas khat Diwani Jali bagi musim ke dua. Kelas ini diadakan selama 3 bulan setiap hari rabu bermula dari 8.00 malam sehingga 10.00 malam, bertempat di Galeri Diwani Kraf Kemuning Utama Shah Alam.

Insyallah pada musim cuti sekolah disember 2017 ini, kami menawarkan kelas intensif khat diwani jali selama sebulan yang akan bermula dari 26/11/2017 sehingga 17/12/2017. Kelas akan diadakan pada setiap hari ahad dari jam 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari.

  • Kelas terbuka kepada semua peringkat umur
  • Tempat: Galeri Diwani Kraf, 47-1, Jalan Kemuning Prima D33/D, Taman Kemuning Utama, 40400 Shah Alam, Selangor
  • Yuran: rm380

PENDAFTARAN ADALAH TERHAD.. HUBUNGI KAMI DI TALIAN 0193932947 / 0145068725 UNTUK MENDAFTAR….

 

 

KELAS KHAT CUTI SEKOLAH 2017

kelas khat 1117

Kelas Khat Cuti Sekolah 2017 – DIWANI KRAF kembali lagi!! Jom hantarkan anak-anak anda untuk mengikuti pengalaman yang paling bermakna semasa cuti sekolah ini. Sudah bertahun tahun Diwani Kraf mengendalikan kelas seni khat cuti sekolah di samping kelas khat mingguan yang sentiasa berjalan pada setiap hari selasa dan rabu dengan ramai bekas pelajarnya yang telah sukses dalam bidang seni khat, membuktikan pengalaman kami dalam mengendalikan kelas seni khat ini.

Kami menyediakan dua kelas khat yang berbeza pada program cuti sekolah 2017 ini, bagi memberi peluang kepada peserta untuk memilih kelas yang ingin diikuti . Maklumat kelas adalah seperti berikut :

  1. Khat Nasakh (Asas). Setiap hari sabtu. Tarikh : 2.12.2017 sehingga 23.12.2017
  2. Khat Diwani Jali. Setiap hari Ahad. Tarikh: 26.11.2017 sehingga 17.12.2017
  • Kelas terbuka kepada semua peringkat umur
  • Tempat: Galeri Diwani Kraf, 47-1, Jalan Kemuning Prima D33/D, Taman Kemuning Utama, 40400 Shah Alam, Selangor
  • Yuran: rm380 (Untuk setiap kelas)

Biarlah anak anak anda mendapat pengisian yang berguna semasa cuti sekolah nanti. PENDAFTARAN ADALAH TERHAD.. BERTINDAKLAH SEGERA DENGAN MENGHUBUNGI KAMI DI TALIAN 0193932947 / 0126223114 / 0145068725

 

 

Bengkel Seni Khat

Bengkel Seni Khat di Balai Islam Lundang Sempena Karnival Kesenian dan Halal Kelantan

Melentur Tangan Menulis Khat

Ada beberapa pertanyaan yang saya terima tentang bagaimana untuk belajar khat secara efektif sehingga tangan menjadi lentur untuk menulis dengan baik. InsyaAllah saya cuba kongsi di sini beberapa tip yang mungkin boleh anda cuba dalam belajar khat.

Seni khat mempunyai beberapa jenis bentuk atau gaya yang perlu anda tahu dan kenal sebelum berlatih. Jenis-jenis yang sering digunakan pada masa ini saya hadkan kepada tujuh jenis sahaja iaitu:

  1. Khat nasakh
  2. Khat thuluth
  3. Khat diwani
  4. Khat diwani jali
  5. Khat farisi
  6. Khat riqáh
  7. Khat kufi

Semua jenis khat ini memerlukan latihan yang banyak untuk menguatkan tangan sehingga anda dapat menguasainya dengan baik kecuali khat kufi. Khat kufi tidak perlu latihan menulis dengan tangan kerana cara menulisnya bukan bebas tangan (free hand). Khat kufi anda boleh buat menggunakan pembaris atau terus dibuat secara digital menggunakan komputer kerana ia adalah satu-satunya jenis khat yang keras garis lurus, melintang dan menegaknya.

Manakala enam jenis khat lagi, kesemuanya mesti melalui pembelajaran yang betul dan harus berlatih bersungguh-sungguh kerana bentuknya yang lembut dan ditulis dengan free hand. Bentuk hurufnya tidak lurus serta mempunyai bentu-bentuk yang tersendiri. Tiada cara lain jika anda ingin menguasai khat-khat ini, kecuali harus belajar dan berterusan berlatih.

Perkara utama sebelum berlatih adalah belajar melalui guru. Carilah guru yang pandai menulis khat dan mohon belajar daripadanya. Mungkin ada di sekolah, ustaz-ustaz yang pandai seni khat, bincanglah dengannya untuk belajar secara intensif. Tetapi saya juga faham, ada sesetengah tempat amat sukar mencari seseorang yang boleh memberi tunjuk ajar kepada kita dalam seni khat. Inilah juga keadaan yang saya alami ketika mula-mula minat seni ini dahulu. Bukan senang hendak cari guru yang berkebolehan menulis dengan baik dan sanggup mengajar kita pula. Terkadang keadaan inilah yang menyebabkan kita yang berkobar-kobar ingin belajar khat boleh hilang semangat dan putus asa.

Andai kata begini keadaannya saya sarankan anda perlu mencari buku kaedah seni dahulu samaada buku bercetak atau buku digital (ebook). Buku bercetak saya rasa anda boleh cari ketika pesta-pesta buku seperti Pesta Buku Kuala Lumpur atau di kedai buku-buku agama. Manakala ebook sebenarnya lebih mudah diperolehi sekarang melalui internet di beberapa laman web seni khat yang membenarkan kita download dengan percuma. Cuma anda hanya perlu pandai mencari. Biasanya banyak ebook ini ada di forum-forum komuniti seni khat. Malah di dalam Facebook pun saya lihat banyak ebook seni khat yang telah dimuat naik ke situ.

Cubalah berlatih meniru kaedah huruf dari buku tersebut. Mulakan dengan huruf tunggal, kemudian huruf bersambung dan seterusnya menulis ayat. Pilih sahaja apakah jenis khat yang anda minat samaada khat nasakh, thuluth, diwani atau yang lainnya.

Perkara penting ingin saya ingatkan kepada anda ialah, ketika berlatih anda jangan terlalu tamak. Maksud saya, jangan terlalu cepat hendak berpindah latihan dari satu huruf ke huruf yang lain. Cubalah sedaya upaya menguasai sesuatu huruf sehingga benar-benar menyerupai huruf di dalam buku kaedah. Biarpun walau satu huruf yang anda dapat dalam sehari. Setelah itu barulah berpindah ke huruf yang seterusnya. Ambil sedikit masa memerhatikan setiap sudut huruf luar dan dalamnya dan cubalah biasakan tangan anda membentuk sedikit demi sedikit sehingga anda benar-benar puas hati. Elakkan tergopoh-gapah menulis. Tulis dengan perlahan. Hakikatnya seorang yang pandai khat bukan orang yang dapat tulis dengan laju, tetapi orang yang dapat menulis dengan tepat mengikut kaedah asal. Bahkan boleh dikatakan kebanyakan penulis khat yang mahir, selalunya mereka menulis dengan amat perlahan sekali.

Seperkara lagi, bersabarlah dalam latihan dan terus beristiqamah. Jangan kecewa jika berpuluh atau beratus kali anda menulis tetapi masih belum berhasil. Lakukan latihan yang berkualiti dan bukan yang sambil lewa. Lakukan analisa sendiri setiap kali berlatih. Percayalah dengan kemampuan diri sendiri dan minat mendalam anda pada tulisan ini. InsyaAllah dengan izin Allah anda akan dapat kuasai seni khat dengan baik suatu hari nanti. Kerana masa yang panjang amat diperlukan dalam latihan untuk tangan anda menjadi lentur dan sebati dengan huruf. Sesungguhnya dalam berlatih menulis ayat-ayat Allah akan hadir ketenangan jiwa dalam diri anda.

An-Nisa’ ; 103

annisa-103

Salam Maulidur Rasul

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah

Ustaz Hasan Celebi Class

Ferhat Kurlu Class

Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Lanjutan, Brunei.

Alhamdulillah, baru-baru ini telah berlangsung Bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan II 1433H / 2012M anjuran Pusat Da’wah Islamiah Brunei yang diadakan selama 14 hari bermula dari 1 November 2012 sehingga 14 November 2012. Terima kasih saya ucapkan kepada Pusat Da’wah Islamiah atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mengendalikan bengkel ini kali sekali lagi. Bengkel Penulisan Seni Khat Lanjutan II pada kali ini menumpukan kepada dua jenis khat iaitu khat nasakh dan khat diwani. Disamping itu diadakan juga ujian penilaian kepada peserta-bengkel untuk ke dua-dua jenis khat ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pegawai-pegawai Pusat Dakwah Islamiah yang telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang berlangsungnya bengkel Penulisan Seni Khat Jawi Peringkat Lanjutan II 1433H / 2012M ini.

This slideshow requires JavaScript.

Cara Menyusun Ayat

Assalamualaikum.. Di sini saya ingin berkongsi tip menyusun ayat ketika menulis khat thuluth. Untuk pengetahuan anda, sesuatu susunan khat yang cantik sebenarnya memerlukan kepada berkali-kali percubaan menyusun dan mengolah tarkibnya sehinggalah ia menjadi suatu karya yang sangat indah dan estatik dan memukau pandangan orang. Lebih  banyak percubaan menyususn dilakukan maka lebih baik susunan tersebut. Untuk mencipta susunan yang baik memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk anda keluarkan idea-idea baru tanpa meniru gaya orang lain. Usaha ini mesti dilakukan dengan penuh sabar dan teliti. Pelbagai cara dan kaedah menyusun boleh dilakukan, bergantung kepada bentuk susunan dan ayat. Di sini saya tunjukkan cara yang paling asas dan mudah kepada anda untuk dicuba.

Pertama: Melakar dengan pensil. Peringkat ini adalah paling asas dan anda boleh mencuba beberapa kali sehingga susunan tersebut kemas dan betul bacaannya. Ketika menyusun perlu diberi perhatian huruf yang awal mesti di hadapan dan begitu juga sebaliknya.

Kedua: Melakar dengan pen dengan cara menekap kertas tracing paper di atas kertas lakaran pensil tadi dan dilakar huruf mengikut susunan pensil. pada peringkat ini juga sebaiknya ditentukan saiz mata pen yang bersesuaian dengan huruf.

Ketiga: Menulis menggunakan pen yang saiz matanya bersesuaian dengan ketebalan huruf di atas kertas yang akan dijadikan karya sebenar. Anda boleh menggunakan meja berlampu (light Box) di peringkat ini dengan menulis secara berhati-hati dan penuh sabar sehingga selesai.

Untuk mempelajarinya dengan lebih terperinci, anda boleh mengikuti kelas yang saya adakan pada setiap hari khamis, jam 8.30 malam sehingga 11.00 malam bertempat di DIWANI KRAF, No. 47-1, Jln. Kemuning Prima, D33/D, Tmn. Kemuning Utama, Shah Alam, Selangor. Selamat mencuba dan terima kasih..

Kursus Seni Khat

KURSUS ASAS PENULISAN KALIGRAFI di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau, Negeri Sembilan pada 18 April 2012.

This slideshow requires JavaScript.

شكرا ماليزيا…..شكرا ترنجانو

شكرا ماليزيا….شكرا ترنجانو

Ini adalah surat dan komen Ustaz Adnan Syeikh Osman berkenaan lawatannya ke Malaysia baru-baru ini yang telah beliau masukkan ke dalam forum Syabkah Mubda’in. Ditulis dalam bahasa Arab, menceritakan aktivitinya di sini dan bagaimana perasaan beliau tentang Malaysia dan rakyatnya ketika beliau berada di Malaysia selama seminggu melihat aktiviti-aktiviti seni khat yang berlangsung di Taman Tamdun Islam Terengganu.

Seminar Khat Adnan Syeikh Osman

Saya dimaklumkan bahawa Seminar Seni Khat  Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 12-13 Mac 2011 akan dihadiri oleh penulis khat terkenal dari Syria Adnan Syeikh Osman. Rancangan sebelum ini adalah untuk membawa Khattat Munib dari Mesir, tetapi disebabkan beberapa masalah teknikal yang dihadapi pihak penganjur, mereka menggantikannya dengan Adnan Syeikh Osman. Adnan Syeikh Osman adalah seorang tokoh yang begitu dikenali dalam bidang penulisan seni khat ketika ini. Beliau merupakan guru kepada Faruq Haddad, iaitu master khat yang telah beberapa kali memenangi pertandingan khat di IRCICA Turki. Adnan yang jawatannya ketika ini adalah pensyarah di Universiti Damsyik mempunyai kemahiran khat yang sangat hebat, bagi saya beliau adalah pakar dalam semua jenis khat. Hasil tulisannya begitu unik di samping dia telah mencipta gaya hurufnya yang tersendiri. Anda boleh melayari website ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Adnan dan melihat sendiri hasil seninya yang sungguh indah di : http://www.eyesgarden.com/

Borang Pertandingan Khat TTI 2011

Atas permintaan ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan borang pertandingan khat, di sini saya uploadkan borang Seminar & Pertandingan Inspirasi Seni Khat Taman Tamadun Islam (TTI) Terengganu 2011 supaya lebih ramai yang berhajat menyertainya boleh download dan print sendiri. Borang ini juga boleh di photostat dan diedarkan kepada kawan-kawan, guru, pelajar dan penggiat seni khat yang anda kenali supaya mereka boleh turut serta dan tidak ketinggalan menyertai antara acara seni khat terbesar di Malaysia tahun ini.

Ceramah Khas Seni Khat dan Reka Bentuk Islam

CERAMAH KHAS “SENI KHAT DAN REKA BENTUK ISLAM” ANJURAN UNIT KEUGAMAAN DAN TAKMIR SURAU, BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, PADA :23 JANUARI 2011 YANG LALU.



Seminar & Pertandingan Seni Khat

Inspirasi Seni Khat. TAMAN TAMADUN ISLAM, K. TERENGGANU

SEMINAR DAN PERTANDINGAN SENI KHAT akan dianjurkan oleh Taman Tamadun Islam (TTI) Terengganu pada 12-13 Mac 2011 bertempat di Taman Tamdun Islam, Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang, Kuala Terengganu, Terengganu. Saya difahamkan bahawa seminar seni khat ini akan dihadiri oleh penulis khat (khattat) terkenal kelahiran Bosnia yang menetap di Mesir iaitu Munib Obradovic yang dijemput khas oleh TTI untuk pengisian seminar tersebut.

Munib Obradovic adalah penulis seni khat yang terkenal dan mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa ketika ini. Di samping sering diundang mengadakan pameran dan workshop seni khat di sekitar Mesir dan beberapa negara lain, beliau juga adalah pemenang tempat ke dua (Thuluth Jali) dalam pertandingan seni khat anjuran IRCICA Turki pada tahun 2007. Hasil karyanya sungguh mengkagumkan. Kehebatan tulisannya setanding penulis-penulis khat terkenal Turki seperti Daud Bektash dan Muhammad Ozcay dan ini  diakui sendiri oleh ramai tokoh-tokoh seni khat seluruh dunia. InsyaAllah, harapannya pada program ini nanti beliau akan berkongsi dengan kita pengalaman beliau serta mendedahkan rahsia-rahsia untuk menghasilkan tulisan khat yang indah sepertimana karyanya dan bagaimana seorang yang bukan berbangsa Arab sangat berjaya dalam seni khat Arab ini. Jadi peluang ini sangat ditunggu-tunggu oleh penulis seni khat di Malaysia. Ambillah peluang..!  Amat jarang acara sebegini diadakan di Negara kita.

Pertandingan seni khat pula dipecahkan kepada empat kategori: 1) Kanvas. 2) Kayu. 3) Logam dan 4) Spontan. Hadiah yang sangat lumayan menanti peserta. Sila lihat detailnya di bawah ini. Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

09-6278805 (Pertanyaan) / 013-2626061 (En. Khalizan) / 017-9305890 (Zafuan)

Kelas Khat Hujung Minggu

Kelas khat Hujung Minggu, setiap hari sabtu akan bermula pada 8 Jan 2011, bertempat di 18A, Jln. Kristal J7/J, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor, dari jam 9.00am – 1.00pm. Untuk mendaftar:
Taip SMS
Kelas khat <jarak>Nama Anda<jarak>Umur. Dan hantarkan ke 0193932947

Kursus Qalam Thuluth

Kursus Qalam Thuluth ini akan diadakan pada 13 Mac 2010 (Hari sabtu) bertempat di Pusat Latihan Yayasan Restu (RIYADH RESTU), Kuang, Selangor. Pengisian kursus ini, akan menumpukan kepada satu jenis seni khat sahaja iaitu khat thuluth. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa, khat ini merupakan salah satu jenis khat yang begitu meluas penggunaannya di Malaysia dan amat sukar untuk menguasai disebabkan banyak rahsianya yang tersembunyi. InsyaAllah kursus ini akan dikendalikan oleh saya sendiri di mana kita akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan, berbincang tentang rahsia, tips dan kaedah-kaedah seni khat thuluth ini agar kita dapat menambahkan pengetahuan dan memanfaatkannya di dalam  hasil kerja seni kita di masa akan datang.

Kepada yang berminat dijemput untuk mendaftarkan diri secepat mungkin, kerana penyertaan sangat terhad. Untuk malumat lanjut sila hubungi : Zulfikri: 012-6940323 / Ummi : 016-6375997 /  Hawa: 012-6223114