Israk Mi’raj : Khat Muhaqqaq
من قصيدة نهج البردة لأحمد شوقي
في مدح سيدنا ونبينا صلى الله عليه وسلم
بخط المحقق والريحانى
ABDUL BAKI ABU BAKAR (dua dari kanan) menunjukkan hasil seni khat tempatan kepada pengunjung Multaqa Ramadan Likhattatil Quranil Kareem 2016 di Dubai, baru-baru ini.
Utusan Malaysia, 8 Julai 2016
Penulis khat terkenal, Abdul Baki Abu Bakar mencatatkan kejayaan dan sejarah buat negara apabila terpilih sebagai satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kalangan 30 khattat terbaik dunia untuk menyiapkan sebuah mushaf al-Quran di Multaqa Ramadan Likhattil Quranil Kareem 2016 di Dubai yang berlangsung baru-baru ini.
Pengarah Galeri Diwani Kraf itu terpilih buat kali kedua menyertai multaqa tersebut selepas menyertainya pada tahun lepas yang merupakan acara antarabangsa diadakan setiap tahun pada bulan Ramadan bagi menghasilkan al-Quran tulisan tangan dengan setiap juzuk ditulis oleh penulis khat terkemuka dunia.
Penyertaan Abdul Baki di multaqa tersebut disifatkan sebagai pengiktirafan tertinggi dunia terhadap seni khat tempatan dan berjaya meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara lain dalam seni berkenaan.
Abdul Baki berkata, beliau berjaya menyiapkan penulisan ayat al-Quran sebanyak 20 halaman bagi juzuk 26 yang melibatkan surah Al-Ahqaf, Muhammad, Al-Fath, Al-Hujurat, Qaf, dan Az-Zariyyat dalam tempoh 45 hari tanpa henti.
“Namun yang lebih mencabar apabila saya diminta untuk menulis al-Quran itu dengan khat jenis Muhaqqaq dan Raihani iaitu jenis-jenis khat yang sudah lama digunakan untuk menulis al-Quran iaitu pada zaman empayar Islam kedua, Kerajaan Bani Abbassiyah.
“Supaya seni khat tersebut tidak pupus, maka dikembalikan semula melalui penulisan mushaf al-Quran Resam Usmani di multaqa ini.
“Dua jenis khat ini sangat rumit untuk ditulis kerana tulisannya agak kecil dengan menggunakan saiz pen berukuran dua milimete untuk khat Muhaqqaq dan satu milimeter untuk khat Raihani,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Multaqa Ramadan Dubai untuk Penulisan Al-Quran kali yang ke 7 anjuran Kerajaan Dubai telah mengumpulkan 30 orang penulis khat dari 11 negara untuk menyempurnakan penulisan 30 juzuk Al-Quran pada bulan Ramadan 1437H yang lepas.
Alhamdulillah saya berkesempatan menyertai Multaqa Ramadan pada kali ini atas undangan yang julung kalinya kepada penulis khat dari Malaysia untuk turut serta menulis salah satu dari 30 juzuk al-Quran yang berjaya kami siapkan pada acara tersebut.
Inisiatif Kerajaan Dubai melalui Kementerian Kebudayaannya mengadakan acara ini sangat bermakna sebagai sumbangan besar mereka kepada warisan kebudayaan Islam dunia dengan memiliki sebuah al-Quran unik hasil tulisan 30 penulis khat dari pelbagai negara. Al-Quran ini adalah hasil tulisan tangan sepenuhnya menggunakan peralatan menulis mushaf tradisional yang akan menjadi sejarah penting kepada dunia Islam hasil sumbangan Dubai pada bulan yang dikenali dengan bulan al-Quran ini.
Multaqa Ramadan Dubai adalah satu acara seni khat yang unik dari program khat yang lain kerana mereka dapat mengumpulkan 30 penulis khat dari aliran madrasah yang berbeza pada satu tempat, dalam tempoh masa yang sama, dengan waktu yang terhad untuk menulis satu mushaf yang lengkap. Maka terhasillah satu naskhah al-Quran tulisan tangan yang mengandungi 30 gaya kretiviti yang berbeza dan bukan hanya dari satu gaya penulis.
Ini adalah Multaqa kali ke 7 yang mereka anjurkan pada bulan Ramadan setiap tahun. Setiap mushaf yang ditulis berlainan format. Kali ini formatnya terdiri dari tiga jenis khat iaitu khat muhaqqaq, nasakh dan thuluth.
Video ini dirakam oleh sahabat saya: Brother Yusuf Kaloma, student Kolej Restu dari Nigeria.
Sedikit keterangan tentang Basmalah Muhaqqaq ini. Ia ada sedikit perbezaan dengan khat thuluth terutama pada huruf mim, ra, nun dan lafaz Allah. Mim dan ra menggunakan huruf mursalah, iaitu mim atau ra yang ekornya terus ditarik kebawah sebelah kanan. Huruf nun pada Ar-Rahman dilebarkan sedikit berbanding ra thuluth, manakala huruf ha pada lafaz Allah menggunakan ha simpul. Selamat mencuba…!
Basmalah dalam bentuk Khat Muhaqqaq, Sejenis khat yang seakan – akan Khat Thuluth tetapi hurufnya lebih bebas dan dilepaskan, tidak membulat. Perhatikan contohnya pada huruf ‘mim’ dan ‘ra’. Ha marbuthahnya digunakan ‘ha’ bulat ( tertutup ). Huruf ‘nun’ pada Ar Rahman lebih besar sedikit daripada nun thuluth.
Bentuk khat ini diperkenalkan oleh Qutbah al-Muharrir pada zaman al – Umawi yang pada mulanya ia dinamakan ‘Jalil Thuluth’. Ia telah diubahsuaikan oleh penulis–penulis seni khat dan diperbaiki sehingga mencapai puncak keindahannya oleh Yaqut al- Musta’simi.Bentuknya seakan – akan khat thuluth tetapi saiz hurufnya lebih besar sedikit dan bersifat lepas dan tidak membulat pada huruf – huruf tertentu (seperti ra, wau, mim, ya dan lain – lain lagi). Kini bentuknya yang lebih besar dikenali sebagai ‘al- Muhaqqaq’ manakala yang lebih kecil ialah ‘al- Raihani’.