
ABDUL BAKI ABU BAKAR (dua dari kanan) menunjukkan hasil seni khat tempatan kepada pengunjung Multaqa Ramadan Likhattatil Quranil Kareem 2016 di Dubai, baru-baru ini.
Utusan Malaysia, 8 Julai 2016
Penulis khat terkenal, Abdul Baki Abu Bakar mencatatkan kejayaan dan sejarah buat negara apabila terpilih sebagai satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kalangan 30 khattat terbaik dunia untuk menyiapkan sebuah mushaf al-Quran di Multaqa Ramadan Likhattil Quranil Kareem 2016 di Dubai yang berlangsung baru-baru ini.
Pengarah Galeri Diwani Kraf itu terpilih buat kali kedua menyertai multaqa tersebut selepas menyertainya pada tahun lepas yang merupakan acara antarabangsa diadakan setiap tahun pada bulan Ramadan bagi menghasilkan al-Quran tulisan tangan dengan setiap juzuk ditulis oleh penulis khat terkemuka dunia.
Penyertaan Abdul Baki di multaqa tersebut disifatkan sebagai pengiktirafan tertinggi dunia terhadap seni khat tempatan dan berjaya meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara lain dalam seni berkenaan.
Abdul Baki berkata, beliau berjaya menyiapkan penulisan ayat al-Quran sebanyak 20 halaman bagi juzuk 26 yang melibatkan surah Al-Ahqaf, Muhammad, Al-Fath, Al-Hujurat, Qaf, dan Az-Zariyyat dalam tempoh 45 hari tanpa henti.
“Namun yang lebih mencabar apabila saya diminta untuk menulis al-Quran itu dengan khat jenis Muhaqqaq dan Raihani iaitu jenis-jenis khat yang sudah lama digunakan untuk menulis al-Quran iaitu pada zaman empayar Islam kedua, Kerajaan Bani Abbassiyah.
“Supaya seni khat tersebut tidak pupus, maka dikembalikan semula melalui penulisan mushaf al-Quran Resam Usmani di multaqa ini.
“Dua jenis khat ini sangat rumit untuk ditulis kerana tulisannya agak kecil dengan menggunakan saiz pen berukuran dua milimete untuk khat Muhaqqaq dan satu milimeter untuk khat Raihani,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Leave a Reply