Akthar, 2 Julai 2016 (Akhbar Arab Saudi)
http://akthar.net/الفائز-بجائزة-الخط-العربي-الفوز-ثمار-ج/
Latar belakang pemenang Pertandingan Khat Arab Souq Okaz di Arab Saudi, Abdul Baki Abu Bakar
– 42 tahun
– Warganegara Malaysia dan menetap di Selangor
– Diploma Syariah (Universiti Malaya)
– Tempat Pertama kategori International sempena Terengganu International Islamic Art Festival 2013
– Hadiah Penghargaan dalam Pertandingan Bank Al-Baraka di Istanbul, 2015
– Hadiah Penghargaan dalam Pertandingan Khat Arab Klasik di Algeria, 2010
– Hadiah Penghargaan dalam Pertandingan Khat Antarabangsa di IRCICA Turki, 2008
– Menyertai pelbagai pameran seni khat.
Kejayaan seorang penulis khat Malaysia, Abdul Baki Abu Bakar yang telah meraih tempat pertama dalam salah satu hadiah utama Pertandingan Khat Arab Souq Okaz kali ke-10, hadir selepas usaha, kerja keras dan pengorbanan dalam lapangan seni khat selama 20 tahun.
Tambahan pula kata beliau, Pertandingan Souq Okaz dianggap mempunyai nilai yang tersendiri kerana ia mensyaratkan 3 jenis khat arab dalam satu karya, berbanding pertandingan-pertandingan lain yang hanya mensyaratkan satu jenis khat sahaja bagi setiap karya.
Oleh itu, Abdul Baki menyeru para belia untuk mula memberi perhatian kepada seni khat. Beliau menegaskan bahawa ia merupakan salah satu dari pintu rezeki. Pada masa yang sama, ia boleh membentuk disiplin dalam kehidupan di samping seni ini dapat mendekatkan kita kepada kalamullah.
Teks temuramah:
Kejayaan anda dalam salah satu anugerah khat Arab tentu sudah memberi satu makna buat anda?
Bagi saya, kejayaan itu pelbagai, dan bukanlah mudah untuk menjadi johan dalam pertandingan antarabangsa yang disertai oleh ramai penulis khat yang terkenal dan berkebolehan dari pelosok dunia. Namun, seni khat adalah seni yang memerlukan pengorbanan dan latihan gigih. Oleh itu, kejayaan saya ini hadir selepas hampir 20 tahun usaha gigih sehinggalah mampu sampai ke tahap sebegini.
Boleh dikatakan jarang untuk didapati pertandingan yang mengutamakan khat Arab. Mungkin saudara boleh ceritakan tentang penyertaan anda, dan jenis khat yang anda sertai?
Pada hemat saya, Pertandingan Seni Khat di Souq Okaz mempunyai nilai yang tersendiri. Ini kerana ia mengandungi 3 jenis khat iaitu Thuluth, Nasakh, dan Diwani yang mana keseluruhannya dalam ayat suci al-Quran yang perlu ditulis oleh para peserta. Ini menunjukkan bahawa para peserta mesti mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam semua jenis khat, sedangkan biasanya pertandingan lain hanya menjurus kepada satu jenis khat bagi setiap karya.
Kepada siapakah anda tujukan kejayaan ini?
Saya hadiahkan kejayaan ini kepada semua pencinta seni khat di Asia Tenggara khasnya negara saya, Malaysia, dan bolehlah saya katakan tiada yang mustahil bagi seseorang individu untuk berjaya di dalam seni khat asalkan ada kesungguhan yang jitu dan cinta yang mendalam terhadap seni ini dalam penulisan ayat-ayat suci al-Quran.
Apakah nasihat saudara kepada para belia sebagai satu galakan kepada mereka untuk memberi perhatian kepada seni khat?
Nasihat saya kepada mereka ialah seni khat mempunyai banyak manfaat bagi sesiapa yang memiliki kebijaksanaan. Ia merupakan pintu rezeki, bahkan disamping itu ia mengajar tentang disiplin susunan, ketelitian dan ketepatan huruf, ia juga mengajar tentang disiplin hidup. Begitu juga seni khat boleh mendekatkan kita kepada kalamullah, bahkan ia boleh menjadikan penulisan dan usaha kita sebagai salah satu amal jariah dengan izin Allah.
Terjemahan artikel oleh : Ustaz Mohd Hanif Arkurni
ٍSumber: Seni Khat Warisan Islam
Leave a Reply