Abdul Baki penulis watikah pertabalan Agong

WALAUPUN sudah tiga kali menggalas tugas menyediakan lembaran watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong, cabaran berat tetap dirasai penulis kaligrafi khat Abdul Baki Abu Bakar yang diberi tanggungjawab serupa untuk pertabalan Sultan Muhammad V.

Sabar, tekun dan teliti adalah antara kriteria yang perlukan untuk menghasilkan seni kaligrafi khat yang indah, halus dan berkualiti tinggi.

“Penulisan khat di atas kulit kambing jauh lebih sukar kerana teksturnya yang agak licin seperti berminyak dan berbintik-bintik.

“Inilah cabaran utama saya,” kata Pengarah Galeri Diwani Kraf itu yang berpengalaman menghasilkan watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak tahun 2002.

Abdul Baki pernah memenangi pelbagai pertandingan seni kaligrafi khat peringkat antarabangsa seperti di Algeria, Brunei, Turki dan Arab Saudi serta pernah terpilih antara 30 penulis khat terbaik dunia.

Kulit kambing

Ketika ditemui, beliau menceritakan tanggungjawab kali ini adalah untuk menyiapkan penulisan khat watikah pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 Sultan Muhammad V sempena istiadat pertabalan yang akan berlangsung di Istana Negara hari ini.

Menurut Abdul Baki, pihak Istana Negara hanya menyediakan enam kepingan kulit kambing berukuran kira-kira 10 meter persegi (26×40 sentimeter) dan 15 keping kertas khas berukuran 6.3 meter persegi (21×30 sentimeter) untuk penulisan khat bagi istiadat pertabalan tersebut.

“Prosesnya amat sukar kerana saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan bagi setiap perkataan.

“Bagi mengelak perkara itu berlaku, saya menulis menggunakan pensil terlebih dahulu di atas kulit kambing sebelum menggunakan pen dan dakwat khas,” katanya.

Menurutnya, beliau dipertanggungjawabkan menghasilkan 15 Watikah Persilaan kepada semua Sultan dan Raja Melayu serta empat watikah yang ditulis di atas enam kepingan kulit kambing iaitu Watikah Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong (dua keping), Watikah Ikrar (sekeping), Watikah Doa (dua keping) dan Watikah Perisytiharan Pertabalan (sekeping).

“Penulisan kaligrafi khat bagi Watikah Persilaan di atas 15 kertas khas jauh lebih mudah berbanding menulis khat di atas enam kepingan kulit kambing,” katanya yang berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang kaligrafi khat.

Sebelum ini, Abdul Baki pernah terlibat dalam menyediakan watikah serupa bagi pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail pada 2002, Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 2007 dan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada tahun 2012.

Mengulas mengenai penulisan watikah kali ini, Abdul Baki berkata, kesemua watikah ditulis tangan menggunakan khat nasakh dan khat thuluth yang lebih mudah dibaca berbanding beberapa jenis kaligrafi khat lain.

Pengalaman

Berkongsi pengalaman mengenai penyediaan watikah yang mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan, Abdul Baki berkata, ia perlu melalui beberapa peringkat. Pertama, proses melakar skrip menggunakan pensil bagi mengelak kesalahan dan mengimbangi tulisan.

“Ia akan diperiksa oleh wakil Istana Negara sebelum proses terakhir menulis menggunakan sejenis pen khas iaitu batang resam dengan dakwat kalis air yang terbaik dari Jepun bagi memastikan tulisan tersebut tahan lama,” kata penulis khat berumur 43 tahun itu.

Anak kelahiran Baling, Kedah itu yang pernah menghasilkan sebuah mushaf al-Quran Malaysia pada 1999 berkata, watikah pertabalan ditulis di atas kulit kambing bagi memastikan ia tahan sehingga beratus tahun.

“Kulit kambing merupakan bahan yang tahan lama dan keras, tidak seperti kertas biasa yang semakin lama akan rosak serta pudar tulisannya,” katanya yang berminat terhadap penulisan khat sejak berumur 12 tahun ketika menuntut di Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Kedah.

“Ketika itu saya melihat guru menulis kaligrafi khat di dalam kelas. Dari situ, saya suka melihat dan berniat mendalami ilmu penulisan itu.

“Beberapa tahun kemudian, seorang teman memberikan sebuah buku bertajuk Kaedah Seni Khat tulisan Hashim Al-Baghdadi dari Iraq,” katanya.

Menceritakan mengenai pencapaian beliau, Abdul Baki berkata, kreativiti dalam kaligrafi khat telah membawa nama Malaysia ke persada seni khat dunia selepas beliau memenangi pelbagai pertandingan seni kaligrafi khat antarabangsa termasuk di Algeria, Brunei, Turki dan Arab Saudi.

Beliau berkongsi kenangan manis dengan menyatakan pernah terpilih di antara 30 penulis khat terbaik dunia untuk menulis al-Quran mushaf kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu. Peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana beliau merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara.

“Walaupun pada peringkat awal saya mendalami ilmu khat tanpa khidmat guru, namun saya terus mendalaminya daripada penulis khat terkenal tempatan, Mohammed Yusuf Abu Bakar dan Hassan Calabi dari Turki.

“Kini, saya sudah mampu menguasai bidang ini dan Alhamdulillah saya dapat mengharumkan nama negara,” katanya. – Bernama
Sumber : http://www.kosmo.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: