
- Beberapa tahun yang lalu, ada sebuah masjid yang agak terkenal di Lembah Klang telah siap pembinaannya. Lalu dirasmi dan digunakan untuk ibadah solat. Para jemaah merasakan ada sesuatu yang aneh dan kurang sesuai dengan hiasan di mihrab masjid. Setelah diteliti, didapati tulisan khat yang ada di situ tidak mengikut kaedah yang betul dan sangat tidak berkualiti hasil seninya. Akhirnya tulisan itu terpaksa diganti dengan tulisan yang baru dan berkualiti, mengakibatkan kerugian besar kepada pihak masjid.
- Dari kisah ini boleh diambil iktibar bahawa tulisan khat yang betul dan berkualiti sangat penting untuk kita ambil cakna samada untuk kegunaan awam atau hiasan di rumah. Kita perlu peka dan prihatin dalam memilih perkhidmatan atau produk yang dihasilkan, dibimbangi mungkin tidak menepati standard seni khat yang sebenar, dan ini boleh mengelirukan masyarakat tentang makna sebenar ayat dan tulisan khat tersebut.
- Untuk mengenali tulisan Khat yang berkualiti, memerlukan pengetahuan asas tentang seni khat, pemerhatian yang teliti, dan penghayatan terhadap nilai estetika dan spiritualnya. Dengan memahaminya, kita akan lebih menghargai dan memelihara keaslian seni khat yang merupakan sebahagian daripada warisan budaya dan agama Islam.
- Tulisan khat yang berkualiti boleh dikenali melalui beberapa ciri utama.
- Tulisan Khat yang berkualiti mempunyai nisbah ukuran titik yang tepat dan konsisten mengikut gaya khat yang digunakan seperti Khat Naskh, Thuluth, Diwani, Nasta’liq, atau Riq’ah. Setiap huruf, mempunyai nisbah dan ukuran yang betul mengikut kaedah khat tertentu. Huruf-huruf ditulis dengan proporsi yang seimbang, konsisten tanpa penyimpangan dari kaedahnya.
- Garisan menegak, mendatar, panjang, pendek, condong dan melengkung mempunyai nisbah keseimbangan yang dinamakan sebagai golden ratio yang menghasilkan proporsi ruang dan visual yang harmoni dan indah. Umpamanya bentuk menegak alif, garis mendatar ba, panjang fa, pendek seperti gigi sin, condong dal, dan melengkung waw, semuanya mempunyai struktur keseimbangan golden ratio yang organik dan berilhamkan dari estetika alam semulajadi.
- Tebal dan nipis huruf bertepatan dengan tempatnya. Lipatan sendi huruf harus kemas, halus, tajam, tanpa terputus sambungannya. Tulisan Khat yang berkualiti tinggi menunjukkan kehalusan dalam setiap sudut, termasuk hujung huruf yang tajam dan sempurna. Hujung huruf seperti ekor ya, nun, ra, waw, mim ditulis dengan teliti dan mengikut nisbahnya yang jelas.
- Tidak bercampur huruf yang berlainan jenis khat dalam satu susunan. Jika berlaku campur aduk huruf, ia adalah satu kesalahan besar dalam seni khat kerana kesannya akan membawa kepada salah huruf dan maksud ayat. Penulis khat perlu faham dan kenal betul-betul bentuk huruf dari jenis khat yang ditulis.
- Tulisan khat yang berkualiti mempunyai bentuk huruf yang tepat dengan handasahnya iaitu bentuk yang selayaknya untuk huruf tersebut. Umpamanya jika menulis huruf jim, maka penulis mesti mengetahui, apakah hak untuk bentuk huruf jim dari semua sudut. Setiap huruf mempunyai hak-hak yang perlu diberikan oleh penulis kepada huruf tersebut. Selepas ditulis, huruf akan dibersihkan dengan teknik yang dinamakan tartish atau tashih sehingga penulis dapat mengeluarkan bentuk yang sebenar untuk huruf tersebut.
- Setiap huruf mestilah konsisten dari segi saiz, bentuk, dan keseragamannya. Huruf yang sama perlu kelihatan setara dengan kaedahnya dalam suatu susunan tulisan.
- Susunan huruf dan perkataan harus seimbang dan harmoni, tidak kelihatan berselerak atau bertindih secara tidak terkawal.
- Walaupun ia berseni, tulisan khat mestilah mudah dibaca dan mengikut tartib. Setiap huruf dan perkataan harus jelas tanpa mengelirukan maksudnya. Yang awal tidak diletakkan di akhir dan begitu juga sebaliknya.
- Sambungan antara huruf hendaklah betul dan sesuai dengan pemilihan bentuknya. Ada beberapa bentuk huruf tidak sesuai bersambung dengan huruf tertentu. Contohnya huruf jim akan berubah bentuk apabila bertemu huruf lam dan huruf nun dan sebagainya. Kepelbagaian bentuk ini sangat banyak terjadi dalam penulisan khat. Ilmu dan kebolehan ini menunjukkan tahap pengetahuan dan kemahiran penulis dalam seni khat.
- Walaupun mengikut disiplin tradisional, tulisan khat yang baik juga mempunyai sentuhan kreativiti yang unik, menarik dan baharu. Bukan sekadar indah dipandang, tetapi juga membawa nilai spiritual dan emosi. Ia boleh menimbulkan rasa kagum, tenang, dan penghayatan terhadap seni dan agama.
Semoga info ini memberi sedikit pencerahan.















































































































































Leave a comment