Thuluth Jali

Ini latihan saya hari ini menggunakan pen bersaiz 1cm. Saiz ini sudah dikira besar di dalam menulis khat thuluth dan itulah yang dimaksudkan dengan Thuluth Jali, iaitu tulisan yang besar dan jelas. Untuk menulis khat ini, biasanya para penulis menggunakan pen yang besar seperti buluh, handam bersaiz besar ataupun kayu yang diruncing menjadi pen. Menulis Thuluth Jali sebenarnya bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesempurnaan dari pelbagai espek, bukan sekadar kaedah seni khatnya sahaja walaupun itulah asas yang paling utama. Selain daripada itu, perkara penting yang mempengaruhi kelancaran menulis Thuluth Jali sehingga menghasilkan satu karya yang indah ialah:

  • Kertas. Kertas jenis apa?. Licin atau kasar?. Dakwat meresap atau tidak?. Kertas  yang paling baik dan sesuai untuk menulis khat ini ialah  kertas yang diadun sendiri menggunakan ‘teh dan putih telur’, yang dipanggil ‘waraq muqahhar‘.
  • Pen. Saya sampai sekarang masih mencari-cari pen yang sesuai untuk menulis khat Thuluth Jali ni, macam Muhammad Ozjai, Daud Bektash dan Munib guna… Sesiapa ada pen macam tu, boleh bagi saya satu untuk dicuba. Saya dah cuba pen yang Profesor Koichi Honda guna, feelingnya lain sikit…
  • Dakwat. Ini juga sangat penting. Sebab thuluth ini memerlukan dakwat yang sangat lembut supaya tidak tersekat, boleh ditulis panjang tanpa terputus dan menyerlahkan getarannya…
  • Emosi. Kalau tengah tension, ada masalah, tak payah tulis lagi..!  Tunggu sehingga masalah anda selesai. Kalau tidak, hasilnya akan  jadi khat diwani jali pula..hehee.
  • Persekitaran ketika menulis perlu tenang tanpa gangguan dan bising-bising. Sebab, ketika menulis kita akan memberikan sepenuh tumpuan kepada menulis. Jika ada perkara yang mengganggu, pastilah akan menjejaskan tulisan kita.

Itulah serba ringkas yang sempat saya ingat. Ada lagi beberapa faktor lain yang tidak kurang pentingnya seperti faktor pernafasan, makanan dan teknik-teknik menulis dengan betul. Semua ini perlu dipelajari dan dilatih oleh penulis dengan tunjuk ajar daripada guru yang berpengalaman.