Kompleks Taman Seni Islam Selangor Kompleks Taman Seni Islam Selangor adalah anugerah daripada Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan kepada Yayasan Restu. Ianya adalah sebagai tanda pengiktirafan terhadap segala usaha yang telah dilaksanakan selama ini. Pembinaan Kompleks Taman Seni Islam Selangor ini berfalsafahkan pusat penawar inspirasi kehidupan yang mendasari konsep sarang lebah (Surah An Nahl) ini semakin hari semakin menggamit ribuan pengunjung. Ramai yang tertarik dengan pendekatan pengajaran melalui pengalaman di samping berpeluang melihat sendiri pelbagai usaha seni yang dihasilkan. Terdapat beberapa galeri di sini yang boleh dikunjungi, seperti Galeri Al Quran Mushaf Malaysia, Galeri Nur Fatimah, Galeri As Sakinah, Galeri Cenderahati, Bahagian Penyalinan Mushaf Al Quran, Design, Grafik, Pewarnaan, Penerapan Emas dan lain – lain lagi. Keistimewaanya telah menjadi satu tarikan utama pengunjung di Bandaraya Shah Alam ketika ini. Inilah satu-satunya kompleks seni islam seumpamanya di dunia hasil perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan keprihatinan YAB Dato’ Menteri Besar serta kerajaan Negeri Selangor. Dan Kompleks Taman Seni Islam Selangor akan terus menabur manfaat kepada masyarakat, mengembangkan seni islam, menghidupkan kembali tradisi penyalinan mushaf, menonjolkan keindahan sebagai satu uslub berdakwah agar kesannya dapat diterima oleh pelbagai golongan. .
Lawatan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kompleks Taman Seni Islam Selangor.















































































































































