Bagaimana mengenali tulisan khat yang berkualiti?

  1. Beberapa tahun yang lalu, ada sebuah masjid yang agak terkenal di Lembah Klang telah siap pembinaannya. Lalu dirasmi dan digunakan untuk ibadah solat. Para jemaah merasakan ada sesuatu yang aneh dan kurang sesuai dengan hiasan di mihrab masjid. Setelah diteliti, didapati tulisan khat yang ada di situ tidak mengikut kaedah yang betul dan sangat tidak berkualiti hasil seninya. Akhirnya tulisan itu terpaksa diganti dengan tulisan yang baru dan berkualiti, mengakibatkan kerugian besar kepada pihak masjid.
  2. Dari kisah ini boleh diambil iktibar bahawa tulisan khat yang betul dan berkualiti sangat penting untuk kita ambil cakna samada untuk kegunaan awam atau hiasan di rumah. Kita perlu peka dan prihatin dalam memilih perkhidmatan atau produk yang dihasilkan, dibimbangi mungkin tidak menepati standard seni khat yang sebenar, dan ini boleh mengelirukan masyarakat tentang makna sebenar ayat dan tulisan khat tersebut.
  3. Untuk mengenali tulisan Khat yang berkualiti, memerlukan pengetahuan asas tentang seni khat, pemerhatian yang teliti, dan penghayatan terhadap nilai estetika dan spiritualnya. Dengan memahaminya, kita akan lebih menghargai dan memelihara keaslian seni khat yang merupakan sebahagian daripada warisan budaya dan agama Islam.
  4. Tulisan khat yang berkualiti boleh dikenali melalui beberapa ciri utama.
  5. Tulisan Khat yang berkualiti mempunyai nisbah ukuran titik yang tepat dan konsisten mengikut gaya khat yang digunakan seperti Khat Naskh, Thuluth, Diwani, Nasta’liq, atau Riq’ah. Setiap huruf, mempunyai nisbah dan ukuran yang betul mengikut kaedah khat tertentu. Huruf-huruf ditulis dengan proporsi yang seimbang, konsisten tanpa penyimpangan dari kaedahnya.
  6. Garisan menegak, mendatar, panjang, pendek, condong dan melengkung mempunyai nisbah keseimbangan yang dinamakan sebagai golden ratio yang menghasilkan proporsi ruang dan visual yang harmoni dan indah. Umpamanya bentuk menegak alif, garis mendatar ba, panjang fa, pendek seperti gigi sin, condong dal, dan melengkung waw, semuanya mempunyai struktur keseimbangan golden ratio yang organik dan berilhamkan dari estetika alam semulajadi.
  7. Tebal dan nipis huruf bertepatan dengan tempatnya. Lipatan sendi huruf harus kemas, halus, tajam, tanpa terputus sambungannya. Tulisan Khat yang berkualiti tinggi menunjukkan kehalusan dalam setiap sudut, termasuk hujung huruf yang tajam dan sempurna. Hujung huruf seperti ekor ya, nun, ra, waw, mim ditulis dengan teliti dan mengikut nisbahnya yang jelas.
  8. Tidak bercampur huruf yang berlainan jenis khat dalam satu susunan. Jika berlaku campur aduk huruf, ia adalah satu kesalahan besar dalam seni khat kerana kesannya akan membawa kepada salah huruf dan maksud ayat. Penulis khat perlu faham dan kenal betul-betul bentuk huruf dari jenis khat yang ditulis.
  9. Tulisan khat yang berkualiti mempunyai bentuk huruf yang tepat dengan handasahnya iaitu bentuk yang selayaknya untuk huruf tersebut. Umpamanya jika menulis huruf jim, maka penulis mesti mengetahui, apakah hak untuk bentuk huruf jim dari semua sudut. Setiap huruf mempunyai hak-hak yang perlu diberikan oleh penulis kepada huruf tersebut. Selepas ditulis, huruf akan dibersihkan dengan teknik yang dinamakan tartish atau tashih sehingga penulis dapat mengeluarkan bentuk yang sebenar untuk huruf tersebut.
  10. Setiap huruf mestilah konsisten dari segi saiz, bentuk, dan keseragamannya. Huruf yang sama perlu kelihatan setara dengan kaedahnya dalam suatu susunan tulisan.
  11. Susunan huruf dan perkataan harus seimbang dan harmoni, tidak kelihatan berselerak atau bertindih secara tidak terkawal.
  12. Walaupun ia berseni, tulisan khat mestilah mudah dibaca dan mengikut tartib. Setiap huruf dan perkataan harus jelas tanpa mengelirukan maksudnya. Yang awal tidak diletakkan di akhir dan begitu juga sebaliknya.
  13. Sambungan antara huruf hendaklah betul dan sesuai dengan pemilihan bentuknya. Ada beberapa bentuk huruf tidak sesuai bersambung dengan huruf tertentu. Contohnya huruf jim akan berubah bentuk apabila bertemu huruf lam dan huruf nun dan sebagainya. Kepelbagaian bentuk ini sangat banyak terjadi dalam penulisan khat. Ilmu dan kebolehan ini menunjukkan tahap pengetahuan dan kemahiran penulis dalam seni khat.
  14. Walaupun mengikut disiplin tradisional, tulisan khat yang baik juga mempunyai sentuhan kreativiti yang unik, menarik dan baharu. Bukan sekadar indah dipandang, tetapi juga membawa nilai spiritual dan emosi. Ia boleh menimbulkan rasa kagum, tenang, dan penghayatan terhadap seni dan agama.

Semoga info ini memberi sedikit pencerahan.

Ayat Seribu Dinar

Surah At-Talaq : 2-3. Khat Thuluth

Hukum Menulis Ayat Al-Quran Dengan Corak Tertentu

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum menulis ayat al-Quran mengikut corak tertentu seperti wau, bunga dan lain-lain. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, al-Quran wajib dimuliakan, diagungkan dan dihindarkan daripada sebarang perkara yang boleh membawa wujudnya unsur kehinaan atau merendahkan. Imam Nawawi dalam menegaskan hal ini menyebut: “Para ulama telah bersepakat akan wajibnya menjaga Mushaf al-Quran dan memuliakannya.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, hlm. 190)

Malah jumhur ulama menyatakan wajib bagi seseorang Muslim itu suci daripada hadas kecil dan besar sebelum dia memegang mushaf dan menanggungnya. Firman Allah SWT:

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya“Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

Surah al-Waqi’ah (79)

Di dalam kitab Nawadir al-Usul dijelaskan: Menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat mushaf al-Quran) hendaklah dalam keadaan suci (berwuduk), sama ada ayat-ayat al-Quran itu ditulis pada kertas, papan, besi, kain dan sebagainya. (Lihat Nawadir al-Usul fi Ma’rifah Ahadith al-Rasul, 2/392)

Matlamat utama al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca, ditadabbur, dihayati, diimani dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seorang Muslim.

Dalam isu persoalan di atas, kami nukilkan di sini jawapan daripada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bertarikh 13-15 Jun 2005 dalam muzakarah kali ke-69, antara lain menyebut:

  • Penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang.
  • Penulisan khat ayat al-Quran boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan mudah dibaca.
  • Tulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat-ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca.
  • Tulisan khat ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubahnya.
  • Tulisan seni khat ayat-ayat al-Quran yang dibuat dalam pelbagai bentuk sehingga menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016 – Jakim, hlm. 210-211)

Begitu juga disebut: Dilarang menulis atau membentuk ayatayat suci al-Quran berbentuk binatang, manusia, bangunan, alat permainan seperti wau, tumbuhan, bunga-bungaan dan seumpamanya. (Lihat Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Ayat Suci Al-Quran oleh Jakim, hlm. 5)

Terdapat juga Garis Panduan Kaligrafi Al-Quran yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Qur’an Kementerian Dalam Negeri, antara lain menyatakan:

  • Dilarang menulis kaligrafi Al-Quran berbentuk makhluk bernyawa atau sebarang bentuk yang boleh menjatuhkan kesucian Al-Quran;
  • Latar belakang kaligrafi tidak boleh mengandungi sebarang unsur makhluk bernyawa atau yang tidak sesuai dengan kemuliaan al-Quran.
  • Setiap penulisan mestilah sempurna dan mengikut kaedah penulisan kaligrafi Al-Quran;
  • Khat yang susah dibaca seperti Khat Kufi Murabba’ dan Khat Diwani Jaliyy hendaklah menyertakan sekali Khat Nasakh bersaiz kecil di bahagian bawah karya tersebut bagi memudahkan pengecaman masyarakat untuk membaca kaligrafi Al-Quran;
  • Setiap penulisan mestilah sempurna dari segi maksud ayat dan tidak tergantung dari aspek maksud ayat. (Lihat Garis Panduan Kaligrafi Al-Quran, hlm. 6-7)

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpendapat adalah tidak harus untuk menulis al-Quran dalam bentuk gambar-gambar kerana ia sejuzuk daripada merendahkan martabat al-Quran. Begitu juga, kerana ia menjadikan banyak tafsiran serta andaian yang kurang sihat terhadap al-Quran sedangkan al-Quran kitab dan kalam Allah yang suci lagi mulia, yang wajib dimuliakannya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar cintakan al-Quran. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

MaksudnyaYa Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.

Amin.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

At-taubah 128-129

Calligraphy / Khat on glass

Please whatsapp 0193932947 for further information.

Cenderahati Khat

Hadiah atau cenderahati khat untuk tetamu kehormat majlis anda berbentuk nama penerima ditulis dalam tulisan khat diwani pelbagai warna berserta nama dalam tulisan rumi di bawah. Jika berminat, sila hubungi kami di 0193932947

Corporate Gift

Hadiah korporat frame kaligrafi tulisan tangan AYATUL KURSI menggunakan khat diwani jali dan gold finish frame.

Frame Khat Syahadah

Alhamdulillah.. Tertunai sudah hasrat Taun Syed Ibrahim untuk menyerikan kediamannya dengan FRAME KHAT kalimah SYAHADAH dan AYAT 6 SURAH AT-TAHRIM, dengan tema warna yang dipilih sendiri oleh beliau supaya sesuai dengan konsep hiasan dalaman di rumahnya. Ayat-ayat ini juga dipilih sendiri oleh Tuan Syed dan Isteri semasa perbincangan dengan kami di GALERI DIWANI KRAF.

Kami mengalu-alukan kunjungan anda ke galeri kami yang beralamat di No. 47-1, Jalan Kemuning Prima D33/D, Taman Kemuning Utama, 40400 Shah Alam, Selangor untuk melihat sendiri koleksi design SENI KHAT yang sangat menarik, kontemporari, mudah dibaca di samping menepati kaedah penulisan seni khat dan ayat-ayat al-Quran.

  • Kami akan membantu anda mencadangkan ayat yang sesuai untuk ruangan tertentu di rumah anda.
  • Kami akan kemukakan cadangan visual supaya anda boleh membuat penilaian dengan tepat.
  • Kami sediakan alternatif design dari semua jenis-jenis seni khat yang menarik untuk anda pilih dan kami akan designkan untuk anda
  • Anda boleh ubah suai saiz frame mengikut ruang yang ada di rumah anda.
  • Frame yang menghias rumah anda tampak eksklusif, tetapi dengan kos yang amat berpatutan.
  • Yang penting, di samping design-design khat yang cantik ialah kami mementingkan susunan yang mudah dibaca supaya anda boleh mengambil manfaat dengan membaca dan beramal dengan ayat-ayat yang terhias indah di rumah anda.
  • Untuk maklumat lebih lanjut, hubungi kami melalui email: bakibkr@yahoo.com atau tel di 0193932947 (call/wassapp/sms)