Bengkel tahsinul khat dan seni khat jawi peringkat lanjutan yang telah berjalan selama 2 minggu ini adalah satu program yang sangat bermanfaat kepada penulis-penulis khat di Negara Brunei Darussalam sebagai satu platform untuk mereka meningkatkan kualiti tulisan khat seterusnya menambah nilai dalam bidang pekerjaan masing-masing. Di dalam bengkel ini peserta telah didedahkan dengan teknik penulisan khat mengikut kaedah yang betul dan muktabar yang diguna pakai di seluruh dunia serta kaedah-kaedah yang mudah dilaksanakan serta amat berkesan terutama di dalam seni khat nasakh dan thuluth. Kedua-dua khat ini sangat penting kerana keduanya merupakan tunjang kepada cabang seni khat yang lain. Jika seseorang penulis boleh menguasai kedua-dua khat ini, maka lebih mudah baginya untuk meguasai jenis-jenis khat yang lain. Kedua khat ini juga paling banyak digunakan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang dan medium dan sangat meluas digunakan di Negara Brunei Darussalam.
Di bengkel ini, peserta juga berkesempatan mencungkil rahsia-rahsia seni khat yang amat sukar diperolehi dan terlihat dengan mata kasar kita jika tiada tunjuk ajar daripada guru yang betul. Seperti ada pepatah Arab berbunyi:
الخط مخفى فى تعليم الأستاذ وقوامه فى كثرة المشق
Rahsia tulisan khat tersembunyi dalam pembelajaran bersama guru dan untuk menguatkannya (bentuk huruf) adalah dengan latihan yang berterusan.
Seperti yang kita maklum, seni khat mempunyai rahsia-rahsia penulisan yang sangat banyak, ia memerlukan tunjuk ajar dan pendedahan daripada guru sendiri, kerana tanpa pengajaran daripada guru seseorang penulis amat sukar mengetahui rahsia huruf dan tidak mampu menghasilkan tulisan dengan betul dan cantik. Mempelajari seni khat tidak cukup dengan hanya sekadar melihat dan membaca daripada buku-buku kaedah seni khat sahaja. Cara ini akan mengambil masa yang sangat panjang dan tidak mungkin seseorang penulis itu mendapat teknik penulisan yang berkesan tanpa melihat sendiri bagaimana cara membuatnya yang betul daripada seorang guru.
Setelah mengetahui teknik menulis khat daripada guru, maka usaha selebihnya bergantung kepada penulis sendiri. Untuk memperkuatkan kaedah huruf, seseorang penulis perlu berterusan membuat latihan sehingga apa yang dipelajari dapat ditulis sama seperti dikehendaki kaedah seni khat.
Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ‘tahniah’ kepada penulis-penulis khat Negara Brunei Darussalam di atas kualiti tulisan khat mereka, kerana pada pemerhatian saya mutu tulisan khat di sini telah meningkat dengan ketara berbanding dahulu, terutama setelah apa yang dapat saya lihat sendiri hasil kerja penulis-penulis pada peraduan menulis Seni Khat Jawi Kebangsaan yang berakhir pada 30 september 2010 yang lalu. Secara jujur, apa yang saya lihat sangat berbeza dengan kualiti pada 3, 4 tahun yang lalu ketika saya sering ke sini samada atas jemputan pertandingan menulis khat asean atau pameran-pameran seni khat. Umpamanya di dalam khat thuluth, saya dapat melihat ada beberapa peserta telah menulis huruf-huruf dalam khat thuluth dengan baik dan amat kemas serta membuat susunan-susunan yang menarik. Peningkatan ini tidak boleh terhenti di sini sahaja kerana untuk mencapai tahap tulisan khat peringkat antarabangsa, kita memerlukan kualiti yang lebih tinggi dan usaha yang berterusan. Sudah tentu untuk bandingan dengan tahap yang terdapat di timur tengah atau Turki, jurangnya masih jauh. Tetapi dengan usaha berterusan yang dimainkan oleh Pusat Dakwah Islamiah ini, tidak mustahil dalam 5 tahun akan datang ada penulis-penulis khat Brunei boleh menjadi setaraf di Turki dan mampu menempatkan diri dan memenangi peraduan-peraduan khat peringkat antarabangsa seperti di IRCICA dan sebagainya.
terima kasih kepada peserta-peserta bengkel di atas kerjasama yang telah diberikan dari awal sehingga akhir program serta memudahkan saya mengendalikan bengkel ini dengan berkesan
Harapan saya kepada peserta-peserta bengkel Tahsinul khat dan bengkel seni khat jawi lanjutan ini supaya berusaha bersunggu-sungguh dan memberi komitmen dalam meningkatkan kualiti tulisan khat kita dengan mempraktikkan apa yang telah dipelajari di sini dengan latihan harian masing-masing, kerana apa yang kita telah pelajari di sini akan hilang begitu sahaja jika dibiarkan tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk diterjemahkan dengan latihan yang berterusan.
Berusahalah membahagikan masa kita dengan latihan dan kerja-kerja yang lain supaya dapat membuat latihan pada setiap hari walaupun sedikit, jangan tinggalkannya terus tanpa latihan. Kerana latihan yang berterusan dan bersungguh-sungguh sahaja satu-satunya cara untuk maju dalam seni khat ini.
Di sini juga, saya memohon maaf andai ketika saya mengendalikan bengkel ini terdapat kekurangan dan terkasar bahasa atau terdapat sesuatu yang kurang menyenangkan semua pihak terutama kepada pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan saya di sini. Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah memberikan komitmen yang tinggi sehingga semuanya berjalan dengan lancar dan teratur.
Inilah diantara peserta-peserta yang menyertai Bengkel Seni Khat Jawi Lanjutan anjuran Pusat Dakwah Islamiah Negara Brunei Darussalam 2010.
16/11/2010 at 4:48 am
Terima kasih ustaz 🙂
21/11/2010 at 2:00 am
Mabruk, tahniah ustaz, sy kagum dgn ustaz…tahniah juga pada semua peserta kerana berpeluang mempelajarinya dari pakar seni khat terkenal di Malaysia 🙂
21/11/2010 at 8:44 am
Terima kasih FM. Saya lihat perkembangan seni khat begitu hebat sekarang. Ramai yang berminat nak belajar, samada di Brunei atau Malaysia sendiri. Semoga usaha saya yang sedikit ini dapat membantu terhadap perkembangan seni khat. Kerana semakin ramai yang minat dan boleh menilai seni khat maka itu lebih baik daripada hanya segelintir sahaja yang tahu.. 🙂
23/11/2010 at 3:48 pm
salam..ust,cdg kt yysan restu buat bengkel mcm kt brunei tu..pnggl khattat2 yg hbat mcm mehmet ozcay,osman ozcay,f.haddad,daod bktsh..boleh kot..
23/11/2010 at 6:30 pm
Waalaikumussalam Atha. Satu cadangan yang baik.. Kalau tokoh-tokoh khat ini dijemput ke Malaysia saya pun nak jadi peserta.. Bukan senang nak jumpa dan belajar dari mereka. Kita berdoa semoga ada orang yang berkemampuan boleh mengusahakan cadangan saudara Atha ini, amin 🙂
06/12/2010 at 7:30 am
Salam Ustaz, apa khabar..maaf sgt-sgt tak hantar Ustaz kat airport brunei pada masa kepulangan Ustaz..kebetulan ada jemputan kahwin dan tak teringat pula ustaz pulang hari tersebut.. btw pada masani saya lebih gemar buat khat ala2 puzzle tu, pening jugak kepala nak selesaikannya..tpi seronok bila dah dapat selesaikan….terima kasih Ustaz di atas segala tunjuk ajarnya…barakallahu fik…
07/12/2010 at 5:11 pm
Waalaikumussalam Zalie, Alhamdulillah saya sihat.. Tak apa, ramai juga yang datang di airport hari tu, dah macam rombrngan nak naik haji, hehee. Baguslah kalau dh pandai buat puzzle, teruskan.. tapi jangan lupa yang asas (nasakh / thuluth). Puzzle tu satu hari belajar dh boleh buat. Nasakh dan thuluth 3 tahun belum tentu. Ok insyaAllah kita jumpa lagi nanti.