Liputan Media

 

Sinar Harian, Jumaat 8 April 2011

Hampir dua dekad dalam dunia seni khat

ABDUL BAKI

Akui ilmu khat tiada penghujung

OLEH: ROSHLAWATY RAIEH

“Seni itu sememangnya indah dan kadangkala sukar untuk di tafsir oleh mata kasar kerana ia mengandungi makna yang tersirat di sebalik apa yang tersurat pada permukaannya,” tutur penulis khat profesional tanah air, Ustaz Abdul Baki Abu Bakar.

Katanya, sesebuah karya seni pada dasarnya adalah sebuah medium untuk sesetengah individu meluahkan perasaan serta penghayatan mereka terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan.

“Namun, keindahan karya seni itu menjadi semakin indah bila ia diterjemahkan dalam bentuk seni khat.” Katanya ketika ditemui wartawan Rehal di pejabatnya, di Shah Alam, Selangor.

Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Ustaz Mohamed Yusof Abu Bakar (Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan) memberitahu, menghasilkan sebuah karya seni khat bukanlah semudah yang disangkakan.

“Ramai membuat andaian menulis khat adalah bidang yang cukup mudah. Hanya dengan memegang pen tradisional (resam, buluh, ijuk, disfuli atau kayu yang sesuai), tulisan khat mampu dihasilkan.

“Akan tetapi, telahan mereka itu sebenarnya silap. Menghasilkan tulisan khat sebenarnya memerlukan bakat, minat dan kesungguhan dalam bidang tersebut. Malah, latihan berterusan dan berguru dengan pakar adalah antara tonggak utama menghasilkan tulisan khat yang cantik dan terbaik,” katanya yang pernah berkhidmat di Yayasan Restu sebagai penulis seni khat beberapa tahun lalu.

Melihat perkembangan seni khat di tanah air pada masa kini, beliau berkata, dunia seni khat ada masa depan yang tersendiri.

Katanya, selain dijadikan sumber ilmu untuk generasi muda, seni khat turut menyediakan peluang pekerjaan cukup luas kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.

“Misalnya, seseorang yang berjaya menghasilkan hiasan khat dalam pelbagai bentuk, mampu memperoleh pendapatan lumayan sekiranya permintaan yang diterima orang ramai di luar jangkaan,” katanya sambil memberitahu berdakwah menerusi seni agak unik kerana ia bertujuan memperlihatkan keindahan Islam kepada orang ramai.

Beliau yang kini membuka syarikat sendiri, Diwanikraf, yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam,berkata, beberapa negara, antaranya Brunei, menawarkan jawatan dalam kerajaan kepada penulis khat.

“Bila ke sana , saya terkejut kerana wujud peluang pekerjaan bagi penulis khat dalam sektor kerajaan. Apabila mereka bertanyakan tentang jawatan berkenaan di Malaysia , saya hanya memberitahu, jawatan sedemikian tidak ditawarkan,”katanya sambil menyarankan Malaysia mewujudkan jawatan untuk penulis khat khusus di Majlis Agama Islam dan beberapa agensi-agensi kerajaan berkaitan dalam usaha memperjuangkan tulisan jawi berkenaan.

15 tahun abdi diri dalam seni khat

Minat mendalam terhadap subjek seni sejak sekolah membuatkan dia tertarik untuk terus mempelajari seni khat secara serius.

Walaupun baru berusia 12 tahun pada ketika itu, Abdul Baki tidak pernah melahirkan kekesalan  memilih subjek berkaitan khat.

“Usia 12 tahun adalah usia cukup muda untuk belajar semua ini. Namun kerana minat, lama-kelamaan seni khat menjadi sebati dalam jiwa. Mungkin juga disebabkan keindahan ukiran kalimah Allah selain dorongan daripada keluarga, guru dan rakan-rakan,” katanya.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, minat Baki terhadap seni khat tidak pernah luntur. Walaupun pelbagai tawaran pekerjaan datang menjengah, bidang seni khat tetap menjadi pilihan.

“Saya masih ingat, pada 1996, saya terbaca iklan jawatan kosong penulis khat di Yayasan Restu. Saya mohon dan tak sangka dapat. Pada tahun itulah, bermula kerjaya sebagai penulis khat.

“Saya begitu teruja, keran selain bekerja, saya dapat menimba ilmu berharga melalui pakar dan ustaz yang mahir tentang selok-belok tulisan khat di sana,” katanya yang telah menamatkan khidmatnya pada 2010.

Mengulas tentang jenis, Baki berkata, terdapat ratusan jenis tulisan khat, namun yang biasa digunakan hanya tujuh iaitu Khat Riq’ah, Kufi, Nasakh, Diwani Jali, Farsi, Thuluth dan Diwani.

Baki berkata, bidang seni khat sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri yang bukan sahaja diminati oleh orang Islam malahan bukan Islam turut melahirkan rasa kagum terhadap khat. Akuinya, di merata-rata tempat, ramai bukan Islam belajar menulis khat, misalnya di Jepun , China , Russia dan sebagainya.

“Saya katakan begitu kerana pernah berpeluang menjejakkan kaki ke negara-negara berkenaan bagi menyertai pameran mahupun pertandingan. Bila tiba di sini, sambutan luar biasa diterima selain menerima banyak tempahan.

“Saya tidak sangka sambutan amat mengagumkan. Rakyat di negara berkenaan meminati seni khat dan paling mengejutkan, majoriti yang menghadiri pameran itu bukan Islam.

“Situasi ini secara tidak langsung membuktikan Islam agama yang mudah diterima dan seni khat satu cara untuk saya berdakwah,” terangnya.

Impi wujud galeri

Baki mengakui, dirinya masih lagi di tahap pembelajaran dalam bidang khat walaupun telah berkecimpung selama 15 tahun lalu.

“Ilmu harus ditimba walaupun seseorang itu sudah berada terlalu lama dalam bidang berkenaan. Malah, mereka disarankan berkongsi ilmu yang ada dengan orang ramai yang berminat mendalami seni khat dan usaha mengadakan kelas intensif seni khat setiap Sabtu, jam 9 pagi hingga 1 tengahari di sini, adalah antara usaha saya berkongsi ilmu dengan masyarakat,” katanya yang memasang impian mewujudkan galeri pameran sendiri khusus untuk mempamerkan hasil pelbagai jenis tulisan khat.

Bagi anda yang ingin berkongsi pengalaman dengan Ustaz Abdul Baki berhubung dunia seni khat, bolehlah melayari website http://diwanikraf.com atau email bakibkr@yahoo.com

 

5 Responses to “Liputan Media”

  1. FM Says:

    Mabruk ustaz, seronok baca! 🙂

  2. Baki Says:

    Shukran FM.. Seronok kat mana..?

  3. FM Says:

    seronok baca keseluruhan artikel, sedikit sebanyak berita mengenai seni khat akan sampai pd masyarakat, kadang² orang tak mahu atau tak terfikir mencari apa itu seni khat, bila publish di paper secara tak langsung ia akan menarik minat org utk baca mengenainya juga ‘tahu’ ada komuniti yang giat memperjuangkannya 🙂

  4. snissa' karim Says:

    Assalamualaikum ustaz,
    saya nak tanya,kelas intensif seni khat setiap Sabtu tu cume ade kat seksyen 7 je ke?masih boleh daftar lagi tak kalau pertengahan tahun nanti?

  5. Baki Says:

    waalaikumussalam.. anissa’, sekarang masih boleh daftar. bulan 5 nanti kita akan mulakan khat thuluth pula. sekarang kita sedang belajar khat diwani, dah mula dari bulan jan dulu..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: