Penulis khat Malaysia lakar nama di UAE

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
12 JULAI 2016
IMG20160630232923

Abdul Baki, 42, pada majlis penyerahan hasil tulisan khatnya di Dubai, pada 3 Julai lalu.

SHAH ALAM – “Ini hadiah Aidilfitri buat rakyat Malaysia”. Demikian tutur penulis khat terkenal, Abdul Baki Abu Bakar, 42, apabila beliau terpilih menjadi satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kalangan 30 penulis khat terbaik dunia untuk menyiapkan sebuah mushaf al-Quran di Multaqa Ramadan Likhattil Quranil Kareem 2016 di Dubai yang berlangsung pada penghujung Ramadan.

Abdul Baki yang juga merupakan Pengarah Galeri Diwani Kraf berkata, program yang diadakan pada setiap tahun di Dubai, dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan UAE bagi menghasilkan al-Quran tulisan tangan dengan setiap juzuk ditulis oleh penulis khat terkemuka dunia.

“30 orang ini dipilih dan setiap mereka akan diberikan tugasan untuk menyiapkan satu juzuk al-Quran, untuk tahun ini pihak UAE meminta untuk kami menulis khat jenis Muhaqqaq dan Raihani iaitu jenis-jenis khat yang sudah lama digunakan untuk menulis al-Quran iaitu pada zaman empayar Islam kedua, Kerajaan Bani Abbassiyah.

“Tugasan ini agak mencabar kerana sekarang tulisan itu jarang digunakan, dan kami kena buat kajian, namun Alhamdulillah kami semua dapat menyiapkan tugasan itu pada tarikh yang ditetapkan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kebudayaan UAE pada 27 Ramadan ,3 Julai,  lalu di Dubai,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Dua bulan ambil masa

Berbicara lanjut, Abdul Baki berkata, sebelum itu, mereka diberi masa selama dua bulan untuk menyiapkan hasil tulisan khat itu sebelum dihantar pada 27 Ramadan.

“Selepas itu, kami semua tinggal di sana selama seminggu untuk dinilai hasil kami, dan sekiranya terdapat sebarang kesilapan kami perlu memperbetulkan semula, tapi Alhamdulillah kesemuanya berjaya menyiapkan tugasan dengan sempurna dan telah diserahkan,” katanya.

Lakar lagi satu kejayaan

Sementara itu, Abdul Baki juga telah mengharumkan nama Malaysia setelah diumukan sebagai pemenang pertama pertandingan seni khat antarabangsa di Arab Saudi sempena ulang tahun sambutan Souk Ukaz (sebuah tempat bersejarah di Arab Saudi).

“Ini antara kejayaan terbesar saya, sehinggakan selepas saya diumumkan pemenang, bertalu-talu wartawan Arab menelefon saya untuk bertanyakan mengenai kejayaan saya itu.

“Ramai yang terkejut kerana belum pernah ada orang selain berbangsa Arab yang memenangi pertandingan itu sebelum ini, namun apapun bagi saya, apa sahaja boleh kita lakarkan sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh,” katanya yang sudah 20 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tulisan khat.

Menurut Abdul Baki lagi, pada pertengahan Ogos ini beliau dijemput ke Arab Saudi untuk menyertai majlis penyampaian hadiah di sana dan dikhabarkan beliau akan memperoleh 50,000 Riyal  di atas kejayaannya itu.

Liputan Media

 

Sinar Harian, Jumaat 8 April 2011

Hampir dua dekad dalam dunia seni khat

ABDUL BAKI

Akui ilmu khat tiada penghujung

OLEH: ROSHLAWATY RAIEH

“Seni itu sememangnya indah dan kadangkala sukar untuk di tafsir oleh mata kasar kerana ia mengandungi makna yang tersirat di sebalik apa yang tersurat pada permukaannya,” tutur penulis khat profesional tanah air, Ustaz Abdul Baki Abu Bakar.

Katanya, sesebuah karya seni pada dasarnya adalah sebuah medium untuk sesetengah individu meluahkan perasaan serta penghayatan mereka terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan.

“Namun, keindahan karya seni itu menjadi semakin indah bila ia diterjemahkan dalam bentuk seni khat.” Katanya ketika ditemui wartawan Rehal di pejabatnya, di Shah Alam, Selangor.

Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Ustaz Mohamed Yusof Abu Bakar (Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan) memberitahu, menghasilkan sebuah karya seni khat bukanlah semudah yang disangkakan.

“Ramai membuat andaian menulis khat adalah bidang yang cukup mudah. Hanya dengan memegang pen tradisional (resam, buluh, ijuk, disfuli atau kayu yang sesuai), tulisan khat mampu dihasilkan.

“Akan tetapi, telahan mereka itu sebenarnya silap. Menghasilkan tulisan khat sebenarnya memerlukan bakat, minat dan kesungguhan dalam bidang tersebut. Malah, latihan berterusan dan berguru dengan pakar adalah antara tonggak utama menghasilkan tulisan khat yang cantik dan terbaik,” katanya yang pernah berkhidmat di Yayasan Restu sebagai penulis seni khat beberapa tahun lalu.

Melihat perkembangan seni khat di tanah air pada masa kini, beliau berkata, dunia seni khat ada masa depan yang tersendiri.

Katanya, selain dijadikan sumber ilmu untuk generasi muda, seni khat turut menyediakan peluang pekerjaan cukup luas kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.

“Misalnya, seseorang yang berjaya menghasilkan hiasan khat dalam pelbagai bentuk, mampu memperoleh pendapatan lumayan sekiranya permintaan yang diterima orang ramai di luar jangkaan,” katanya sambil memberitahu berdakwah menerusi seni agak unik kerana ia bertujuan memperlihatkan keindahan Islam kepada orang ramai.

Beliau yang kini membuka syarikat sendiri, Diwanikraf, yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam,berkata, beberapa negara, antaranya Brunei, menawarkan jawatan dalam kerajaan kepada penulis khat.

“Bila ke sana , saya terkejut kerana wujud peluang pekerjaan bagi penulis khat dalam sektor kerajaan. Apabila mereka bertanyakan tentang jawatan berkenaan di Malaysia , saya hanya memberitahu, jawatan sedemikian tidak ditawarkan,”katanya sambil menyarankan Malaysia mewujudkan jawatan untuk penulis khat khusus di Majlis Agama Islam dan beberapa agensi-agensi kerajaan berkaitan dalam usaha memperjuangkan tulisan jawi berkenaan.

15 tahun abdi diri dalam seni khat

Minat mendalam terhadap subjek seni sejak sekolah membuatkan dia tertarik untuk terus mempelajari seni khat secara serius.

Walaupun baru berusia 12 tahun pada ketika itu, Abdul Baki tidak pernah melahirkan kekesalan  memilih subjek berkaitan khat.

“Usia 12 tahun adalah usia cukup muda untuk belajar semua ini. Namun kerana minat, lama-kelamaan seni khat menjadi sebati dalam jiwa. Mungkin juga disebabkan keindahan ukiran kalimah Allah selain dorongan daripada keluarga, guru dan rakan-rakan,” katanya.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun, minat Baki terhadap seni khat tidak pernah luntur. Walaupun pelbagai tawaran pekerjaan datang menjengah, bidang seni khat tetap menjadi pilihan.

“Saya masih ingat, pada 1996, saya terbaca iklan jawatan kosong penulis khat di Yayasan Restu. Saya mohon dan tak sangka dapat. Pada tahun itulah, bermula kerjaya sebagai penulis khat.

“Saya begitu teruja, keran selain bekerja, saya dapat menimba ilmu berharga melalui pakar dan ustaz yang mahir tentang selok-belok tulisan khat di sana,” katanya yang telah menamatkan khidmatnya pada 2010.

Mengulas tentang jenis, Baki berkata, terdapat ratusan jenis tulisan khat, namun yang biasa digunakan hanya tujuh iaitu Khat Riq’ah, Kufi, Nasakh, Diwani Jali, Farsi, Thuluth dan Diwani.

Baki berkata, bidang seni khat sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri yang bukan sahaja diminati oleh orang Islam malahan bukan Islam turut melahirkan rasa kagum terhadap khat. Akuinya, di merata-rata tempat, ramai bukan Islam belajar menulis khat, misalnya di Jepun , China , Russia dan sebagainya.

“Saya katakan begitu kerana pernah berpeluang menjejakkan kaki ke negara-negara berkenaan bagi menyertai pameran mahupun pertandingan. Bila tiba di sini, sambutan luar biasa diterima selain menerima banyak tempahan.

“Saya tidak sangka sambutan amat mengagumkan. Rakyat di negara berkenaan meminati seni khat dan paling mengejutkan, majoriti yang menghadiri pameran itu bukan Islam.

“Situasi ini secara tidak langsung membuktikan Islam agama yang mudah diterima dan seni khat satu cara untuk saya berdakwah,” terangnya.

Impi wujud galeri

Baki mengakui, dirinya masih lagi di tahap pembelajaran dalam bidang khat walaupun telah berkecimpung selama 15 tahun lalu.

“Ilmu harus ditimba walaupun seseorang itu sudah berada terlalu lama dalam bidang berkenaan. Malah, mereka disarankan berkongsi ilmu yang ada dengan orang ramai yang berminat mendalami seni khat dan usaha mengadakan kelas intensif seni khat setiap Sabtu, jam 9 pagi hingga 1 tengahari di sini, adalah antara usaha saya berkongsi ilmu dengan masyarakat,” katanya yang memasang impian mewujudkan galeri pameran sendiri khusus untuk mempamerkan hasil pelbagai jenis tulisan khat.

Bagi anda yang ingin berkongsi pengalaman dengan Ustaz Abdul Baki berhubung dunia seni khat, bolehlah melayari website http://diwanikraf.com atau email bakibkr@yahoo.com