Lafzul Jalalah (Thuluth)

Penulisan Lafzul Jalalah (ALLAH) mempunyai kaedah khas di dalam khat thuluth. Allah Taalah telah mengilhamkan kepada penulis-penulis khat terdahulu mencipta bentuk Lafzul Jalalah ini dengan cara yang tersendiri dan sangat indah. Dua huruf lam dan huruf ha nya adalah berbeza dengan lam dan ha yang digunakan pada kalimat-kalimat lain. Bentuk ini menzahirkan ciri-ciri khas pada setiap lentur hurufnya sehingga terhasilnya struktur tulisan yang sangat unik dan khusus bagi menzahirkan keagungan Lafzul Jalalah tersebut.

lafzul jalalah

Mushaf Dubai 2017 (Juz 8)

Juz ke 8 daripada Mushaf Dubai 2017 yang diamanahkan kepada saya untuk ditulis pada tahun ini. Penulisan menggunakan sepenuhnya khat thuluth dalam bentuk dua saiz yang berbeza. Disyaratkan penulisan saiz besar tidak melebihi 2.5mm dan saiz kecilnya tidak melebihi 1mm. Penulisan saya untuk saiz besar berukuran 1.8mm, manakala saiz kecilnya saya memilih saiz pen 0.8mm. Alhamdulillah saya berjaya menyiapkannya pada waktu yang telah ditetap dan menyerahkannya kepada pihak Kementerian Kebudayaan Dubai dalam majlis yang di adakan di Intercontinental Hotel Festival City Dubai.

Satu pengalaman yang sangat berharga saya perolehi sepanjang tempoh menulis mushaf Dubai pada kali ini. Menggunakan saiz yang kecil untuk menulis khat thulus adalah penulisan yang sangat-sangat susah dan memerlukan ketelitian, konsentrasi dan usaha yang sangat luar biasa. Amat jarang dijumpai khat thulus ditulis dalam saiz 1mm walaupun dari khattat-khattat terdahulu. Jika adapun ia hanya untuk jumlah perkataan yang pendek sahaja.

Saya menerima tawaran ini sebagai satu cabaran dan amanah atas kepercayaan Kementerian Kebudayaan Dubai kepada saya berpatipasi untuk kali yang ketiga setelah menyertainya pada tahun 2015 & 2016. Semoga ianya menjadi usaha yang biberkati oleh Allah Taala.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penulisan mushaf, bolehlah hubungi saya di talian 0193932947 atau email bakibkr@yahoo.com. Terima kasih.

 

mushaf dubai-juz 8

Kenangan Khat di Brunei

Gambar kenangan bersama finalis Peraduan Menulis Khat Asean Tahun 2004 di Brunei Darussalam.

Alhamdulillah hasil dari Peraduan ini dapat kami berjumpa dan saling mengenal antara satu sama lain membawa persahabatan yang terjalin sehingga ke hari ini. Antara finalis di dalam gambar ini ialah Isep Misbah, Ahmad Hawi, Mahmud Arham dari Indonesia dan beberapa orang lagi seperti Hasanuddin yang tiada dalam gambar ini. Banyak kenangan manis kami ketika di Brunei.

Mengambil peluang dari pertemuan itu, kami saling bertukar pandangan, belajar bersama dan berbincang mengenai perkembangan seni khat di negara masing-masing. Kami ditempatkan bersama-sama di rumah tamu Pusat Dakwah Islamiah, Brunei.

Saya banyak belajar daripada mereka. Ketika itu saya sangat kagum dengan kemahiran khat Ahmad Hawi dan Mahmud Arham. Mereka berdua adalah penulis yang terlibat dengan penyalinan Mushaf Istiqlal di Indonesia dan saya pula terlibat dengan penulisan Mushaf Malaysia. Kami saling bercerita tentang aktiviti penulisan mushaf dan gaya-gaya khat terutamanya khat nasakh yang banyak digunakan dalam penyalinan Mushaf.

Sekitar tahun 80an sehingga tahun 2004 (kalau tak salah saya), Negara Brunei Darussalam telah menganjurkan Peraduan Menulis Khat Asean yang diadakan pada setiap tiga tahun sekali di bawah kendalian Pusat Dakwah Islamiah. Peraduan ini amat besar ertinya kepada perkembangan seni khat di rantau Nusantara ini dengan penyertaan yang menggalakkan penulis-penulis dari Negara Asean. Empat kategori khat dipertandingkan iaitu Nasakh, Thuluth, Diwani dan Farisi. Setiap kategori menawarkan hadiah yang lumayan berserta saguhati. Peserta perlu menulis ayat yang dikhususkan dan menghantarnya ke Brunei. Syarat untuk saiz pena khat pula sekitar 4-5 mm.

Pemenang tempat pertama hingga ke tiga akan dijemput ke Brunei untuk menerima hadiah pada Majlis yang di adakan di sana. Pemenang juga perlu menunjuk cara atau menulis semula sebahagian ayat tersebut secara live di hadapan penganjur bagi memastikan karya itu adalah benar-benar tulisannya sendiri. Jurinya terdiri daripada tokoh-tokoh khat sekitar Asean. Seingat saya antara yang pernah jadi juri termasuk Ustaz Yusuf Abu Bakar, Ustaz Jainal Sakiban, Pak Didin Sirojuddin dan wakil dari Pusat Dakwah sendiri.

Saya merasa sangat bertuah berpeluang menyertai Peraduan Menulis Khat Asean ini dan pernah merasai menjadi finalis yang dijemput ke Brunei sebanyak dua kali sekitar tahun 1998-2004 sebelum acara ini dihentikan. Saya tidak pasti apakah sebabnya. Mungkin ada alasannya di pihak penganjur. Apapun saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada Pusat Dakwah Islamiah Brunei kerana berperanan besar dalam perkembangan seni khat di Asean.

Penulis khat Malaysia lakar nama di UAE

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
12 JULAI 2016
IMG20160630232923

Abdul Baki, 42, pada majlis penyerahan hasil tulisan khatnya di Dubai, pada 3 Julai lalu.

SHAH ALAM – “Ini hadiah Aidilfitri buat rakyat Malaysia”. Demikian tutur penulis khat terkenal, Abdul Baki Abu Bakar, 42, apabila beliau terpilih menjadi satu-satunya wakil Asia Tenggara dalam kalangan 30 penulis khat terbaik dunia untuk menyiapkan sebuah mushaf al-Quran di Multaqa Ramadan Likhattil Quranil Kareem 2016 di Dubai yang berlangsung pada penghujung Ramadan.

Abdul Baki yang juga merupakan Pengarah Galeri Diwani Kraf berkata, program yang diadakan pada setiap tahun di Dubai, dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan UAE bagi menghasilkan al-Quran tulisan tangan dengan setiap juzuk ditulis oleh penulis khat terkemuka dunia.

“30 orang ini dipilih dan setiap mereka akan diberikan tugasan untuk menyiapkan satu juzuk al-Quran, untuk tahun ini pihak UAE meminta untuk kami menulis khat jenis Muhaqqaq dan Raihani iaitu jenis-jenis khat yang sudah lama digunakan untuk menulis al-Quran iaitu pada zaman empayar Islam kedua, Kerajaan Bani Abbassiyah.

“Tugasan ini agak mencabar kerana sekarang tulisan itu jarang digunakan, dan kami kena buat kajian, namun Alhamdulillah kami semua dapat menyiapkan tugasan itu pada tarikh yang ditetapkan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kebudayaan UAE pada 27 Ramadan ,3 Julai,  lalu di Dubai,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Dua bulan ambil masa

Berbicara lanjut, Abdul Baki berkata, sebelum itu, mereka diberi masa selama dua bulan untuk menyiapkan hasil tulisan khat itu sebelum dihantar pada 27 Ramadan.

“Selepas itu, kami semua tinggal di sana selama seminggu untuk dinilai hasil kami, dan sekiranya terdapat sebarang kesilapan kami perlu memperbetulkan semula, tapi Alhamdulillah kesemuanya berjaya menyiapkan tugasan dengan sempurna dan telah diserahkan,” katanya.

Lakar lagi satu kejayaan

Sementara itu, Abdul Baki juga telah mengharumkan nama Malaysia setelah diumukan sebagai pemenang pertama pertandingan seni khat antarabangsa di Arab Saudi sempena ulang tahun sambutan Souk Ukaz (sebuah tempat bersejarah di Arab Saudi).

“Ini antara kejayaan terbesar saya, sehinggakan selepas saya diumumkan pemenang, bertalu-talu wartawan Arab menelefon saya untuk bertanyakan mengenai kejayaan saya itu.

“Ramai yang terkejut kerana belum pernah ada orang selain berbangsa Arab yang memenangi pertandingan itu sebelum ini, namun apapun bagi saya, apa sahaja boleh kita lakarkan sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh,” katanya yang sudah 20 tahun bergiat aktif dalam bidang seni tulisan khat.

Menurut Abdul Baki lagi, pada pertengahan Ogos ini beliau dijemput ke Arab Saudi untuk menyertai majlis penyampaian hadiah di sana dan dikhabarkan beliau akan memperoleh 50,000 Riyal  di atas kejayaannya itu.

Penyertaan Di IRCICA

abdulbaki-ircica-2013

Alhamdulillah…Walaupun tidak menang sebarang hadiah atau sangkut hadiah saguhati ke..hehe. Inilah karya yang saya hantar untuk pertandingan khat IRCICA 2013. Karya yang dibuat last minute, beberapa hari sebelum tarikh akhir hantar penyertaan. Keputusan pemenang sudah keluar hari ini. Tahniah kepada semua yang berjaya dan paling membanggakan ada juga wakil dari Asean, iaitu negara jiran kita Indonesia yang telah mencatatkan nama antara pemenang di IRCICA kali ini. Tahniah sekali lagi kepada mereka.  Wakil Malaysia?? memang tak ada yang menang..huhu. Jangan kecewa sahabat2, cuba lagi ye…

Kalau ada sebarang pertandingan khat atau program yang anda sertai, sebenarnya anda telah berjaya mendapat sesuatu. Anda berjaya mendapat banyak pengajaran di dalamnya. Anda berjaya mengatasi halangan besar yang sering dijadikan alasan oleh mereka yang tak hantar langsung penyertaan. Memang banyak halangan terpaksa dihadapi. Umpamanya halangan masa, idea, teknik, latihan, pengurusan dan macam-macam lagi. Apabila sudah siap dan berjaya dihantar karya tersebut, anda akan merasa cukup puas… anda telah berjaya lalui semua halangan tersebut. Inilah sebenarnya antara proses belajar khat kalau anda nak tahu..hehe.