Di dalam agama Islam, seni tidak bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian yang sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengamalkan seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan batas-batas syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya seorang Muslim itu jika tidak tahu bagaimana untuk menghadirkan kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam berperanan sebagai medium yang amat berkesan untuk berdakwah, membentuk seseorang itu menjadi seorang yang benar-benar baik dan beradab.
Konsep seni Islam dan pengamalannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Allah swt. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara ma’ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.
Seni di dalam Islam berperanan menanam rasa khusyu’ kepada Allah swt yang sukakan kepada keindahan, di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhlukNya yang diciptakan dengan fitrah yang suka kepada sesuatu yang indah. Oleh sebab itu seni dalam Islam tidak berslogan ‘seni untuk seni’ tetapi ‘seni kerana Allah untuk manfaat manusia, makhluk dan alam sekitar’. Kesenian Islam terpancar daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah swt, maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat ketaqwaan dan beriman. Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan bukan hanya sekadar emosi sahaja.
13/03/2008 at 6:59 pm
ringkas an padat…syukran