Israk Mikraj

Selamat memperingati peristiwa agung Israk Mikraj 2021.

Kami benarkan anda mengguna desain Israk Mikraj ini dengan syarat jangan dibuang tauqiknya (tanda tangan penulis)

Papan Tanda Surau

Papan tanda Surau Abdul Rahman Auf, Taman Vista Kirana.

Proses Design Logo

Assalamualaikum.. Saya ingin berkongsi kali ini langkah-langkah membuat design logo atau nama menggunakan khat dan huruf jawi. Berbagai permintaan yang saya terima dengan bentuk design yang bermacam. Bentuk-bentuk yang dihasilkan kebanyakannya atas permintaan pelanggan. Saya hanya membantu mereka dalam membuat design logo yang mereka ingini. Ramai juga yang minat dengan logo bentuk haiwan seperti burung, ikan, harimau dan sebagainya. Bentuk-bentuk haiwan saya hadkan kepada logo sahaja bagi memenuhi permintaan mereka. Saya tidak buat untuk menulis ayat-ayat al-Quran atau hadis. Jadi di sini saya akan kongsi langkah-langkah yang saya gunakan dalam proses membuat design logo.

Perkara utama dalam mendesign logo adalah mencari idea bagi membentuk perkataan sehingga menjadi struktur tertentu. Proses ini yang agak rumit. Ia memerlukan kreativiti melakar dan mencari idea segar untuk membuat bentuk yang baru. Di peringkat ini juga perlu ditentukan apakah jenis khat yang hendak diguna. Penggunaan khat juga perlu bersesuaian dengan konsep design. Kalau kita lihat semua jenis khat mempunyai karekter yang berbeza antara satu dengan yang lain. Design yang bakal dibuat untuk syarikat yang bagaimana? Adakah sesuai menggunakan khat nasakh, diwani, kufi, farisi atau thuluth?. Maka pemilihan jenis khat sangat penting supaya sesuai dengan design. Kebanyakan jenis khat yang saya guna untuk buat logo adalah khat diwani jali dan khat kufi. Biasanya peringkat ini akan dilukis atas kertas A4 biasa menggunakan pensil dengan banyak lakaran yang dicuba berkali-kali.

Setelah dapat idea yang diingini, lukis bentuk tersebut dengan jelas, kemudian gunakan tracing paper untuk melakar sekali lagi supaya lebih detail. Setelah itu saya gunakan light box untuk menekap lakaran dan ditulis menggunakan pen khat yang sebenar di atas art paper. Tujuan guna art paper adalah supaya tulisan tersebut menjadi jelas dan tajam (sharp) hurufnya dan mudah ditrace apabila dalam Illustrator nanti atau membuang background dalam Photoshop.

Proses seterusnya ialah scan untuk membuat tulisan tersebut menjadi grafik. Cukup sekadar menggunakan resolution 300dpi ketika scan dan bersihkan tulisan dalam photoshop. Kemudian pindahkan tulisan ke dalam Illustrator untuk tracing huruf dan memasukkan warna yang sesuai dengan konsep design yang dibuat. Ada ketikanya proses mewarna saya buat di dalam photoshop semula setelah melalui proses tracing di dalam Illustrator. Sekian.. Semoga bermanfaat….

P/S : Hubungi saya melalui email : bakibkr@yahoo.com atau tel: 0193932947 (call/sms/whatsapp) jika anda perlukan bantuan untuk design logo dalam khat jawi.

Couple Name (Khat Kufi)

Logo

Yayasan Muhammad

Yayasan Muhammad

Khat Kufi

Khat kufi adalah nisbah atau sandaran kepada Bandar Kufah yang terletak di Iraq, ia diantara khat yang terawal muncul dan digunakan secara meluas untuk penulisan al-Quran suatu ketika dahulu sebelum kemunculan khat nasakh. Selepas pembukaan Iraq oleh Saad bin Abi Waqqas ketika Pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab tahun ke 18 Hijrah, pusat pemerintahan Islam berpindah dari madinah ke Iraq dan terikut bersama dua jenis tulisan yang dikenali dengan Makki dan Madani ke Basrah dan Kufah. Khat ini dipelajari oleh penduduk-penduduk Iraq dan mereka menggelarnya dengan khat Hijazi yang mempunyai dua ciri yang berlainan. Pertama berbentuk lembut (Madani) dan yang kedua berbentuk keras (Makki). Kecenderungan orang-orang Iraq ketika itu adalah kepada khat yang berbentuk keras dan mereka berusaha memperbaikinya sehingga ia digunakan secara meluas untuk penulisan mushaf, matawang, hiasan di dinding masjid dan tulisan pada batu nesan meraka. Khat berbentuk keras ini kemudiannya dimasyhurkan sebagai khat kufi, iaitu sandaran kepada Bandar Kufah kerana peranannya yang sangat penting dalam perkembangan tulisan ini. Kelaziman masyarakat Arab ketika itu adalah dengan menamakan jenis-jenis tulisan bersandarkan kepada nama tempat di mana ia muncul seperti yang terkenal di kalangan orang Arab Hijaz sebelum zaman Kufah ialah tulisan Nabati, Hiri, Anbari dan kemudiannya Makki dan Madani yang kesemuanya dinisbahkan kepada nama tempat.

Khat kufi tersebar ke seluruh dunia bersama tersebarnya Agama Islam. Perkembangan khat ini dibantu dengan galakan yang kuat oleh pemerintah Islam yang berpusat di Kufah sehingga ia diikuti, dipelajari, tersebar dan dinisbahkan kepada Kufah. Ciri utama khat kufi ialah keras, bersegi, tegak dan lurus. (As-Sabah Al-Iraqiyyah)

Keunikan Khat Thuluth

Khat thuluth adalah khat yang paling susah untuk dikuasai. Ia mempunyai banyak kaedah penulisan yang sangat detail dan halus yang harus dikuasai oleh seorang penulis khat dengan tepat. Tambahan pula, susunan untuk sesuatu perkataan dan cara menulisnya boleh dipelbagaikan agar sesuai dengan ruang dan karya yang dibuat. Dan kepelbagaian susunan itu pula mempunyai kaedahnya tersendiri yang mesti diikuti

Sebagai sambungan post sebelum ini, kita akan melihat pula perubahan-perubahan yang boleh dibuat untuk perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth. Berdasarkan perkiraan saya, untuk perkatan ini sahaja kita boleh tulis dalam bermacam cara dan gaya dengan bilangannya hampir mencecah dua puluh bentuk. Di sini saya kemukakan sebahagian daripadanya.

 

Susunan 'Bainahum' dalam pelbagai bentuk

Susunan 'Bainahum' dalam pelbagai bentuk

Khat Kufi Murabba’

kufi murabba’ 

Ia adalah daripada jenis khat kufi. Bentuk hurufnya terdiri daripada susunan bentuk segi empat dan garis lurus. Kaedah susunannya adalah susunan yang bersifat memenuhi ruang. Khat ini banyak digunakan sehingga kini sebagai hiasan dalam bentuk geometric pada bangunan – banguna seperti masjid, surau dan lain – lain lagi.

Khat Thuluth

Thuluth bermaksud satu pertiga (1/3). Dinamakan Khat Thuluth adalah kerana Huruf menegaknya ditulis dengan mata pena yang ukuran lebar menyamai satu pertiga (1/3) lebar mata pen. Ia juga dikenali sebagai Khat Arab disebabkan peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi.Khat ini dikenali sebagai Ummul Khutut (Ibu tulisan) dan jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai banyak kaedah, menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf, agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya. Biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya diantara 2 hingga 3 mm. Jika ia lebih lebar daripada itu maka orang-orang Turki memanggilnya tuqechah thuluth yakni thuluth yang dibesarkan. Kemudian ia dikenali dengan nama thuluth jali (sumber-sumber arab silam mensifatkan dengan panggilan jalil al-thuluth). Apabila mata pena lebih besar daripada saiz yang tetap pada pena yang biasa maka dibuat untuknya pena daripada kayu. Saiz-saiz tulisan jali berada pada kadar yang tangan manusia mampu memegang penanya ( Qadi al-Askar Mustafa ‘Izat Afandi dalam menulis loh-loh di masjid Aya Sufia menggunakan mata pena yang luasnya mencapai 35sm ). Jika keadaan memerlukan tulisan-tulisan itu melebihi saiz tersebut atau bersaiz besar, maka ia ditulis mengikut saiz thuluth jali yang biasa kemudian dilakukan pembesaran ( enlargement ) mengikut kaedah empat segi atau menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang terdapat pada hari ini seperti photocopy, komputer dan sebagainya. Bentuk thuluth yang lebar mata penanya melebihi 6mm dinamakan Thuluth Jali, manakala yang melebihi 2mm ialah Thuluth Aadi. Ia diperkenalkan oleh Ibrahim al- Sajzi dan banyak digunakan sebagai seni hiasan di dalam masjid, nama surah dan hiasan kulit buku. Seseorang penulis khat tidak dianggap penulis yang mahir dalam seni ini sekiranya tidak benar – benar berkemahiran dalam bentuk Khat Thuluth.

Perhatian berat para ahli khat terhadap khat thuluth, khususnya khat thuluth jali sepanjang sejarah khat bukanlah merupakan satu perkara yang lahir secara mendadak. Khat ini dikenali dengan tulisan yang agak cantik. memandangkan ia tidak dapat ditulis secepat khat nasakh maka ia biasanya digunakan untuk tujuan-tujuan seni yang khusus, bukan untuk tujuan penulisan biasa. Oleh itu kita sering dapati khat ini dalam kepingan-kepingan seni, muraqqa’at dan loh-loh serta hasil kerja seni yang lain. Khat ini menyebabkan orang yang memandangnya akan membiasakan diri mereka dengan unsur keindahan dan gerakan yang tersusun.

Keistimewaan thuluth (khususnya thuluth jali) daripada segala jenis khat yang lain ialah ia boleh di letakkan dalam struktur-struktur dan rupa bentuk yang cantik seperti bulat, segi empat, bujur dan sebaginya. Para jurukhat yang menitikberatkan khat ini sering melakukan pembaharuan struktur (olahan) dengan khat ini yang merangkumi dua lapisan huruf atau lebih yang sebahagiannya diletakkan di atas sebahagian yang lain mengikut susunan bacaan. Ini merupakan kerja yang sangat sukar, hanya mampu dilakukan oleh jurukhat yang mahir dan berkaliber. kadangkala satu ungkapan ditulis dalam beberapa struktur yang mengandungi pelbagai bentuk dan tulisan. Peniruan sesetengah jurukhat terhadap struktur-struktur para jurukhat silam dan digunakan secara komersial tanpa menerangkan sumber yang beliau dapati sebenarnya merupakan pancabulan terhadap hak-hak mereka dan satu amalan yang tidak wajar.