Latihan Khat Thuluth
Khat thuluth adalah khat yang paling susah untuk dikuasai. Ia mempunyai banyak kaedah penulisan yang sangat detail dan halus yang harus dikuasai oleh seorang penulis khat dengan tepat. Tambahan pula, susunan untuk sesuatu perkataan dan cara menulisnya boleh dipelbagaikan agar sesuai dengan ruang dan karya yang dibuat. Dan kepelbagaian susunan itu pula mempunyai kaedahnya tersendiri yang mesti diikuti
Sebagai sambungan post sebelum ini, kita akan melihat pula perubahan-perubahan yang boleh dibuat untuk perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth. Berdasarkan perkiraan saya, untuk perkatan ini sahaja kita boleh tulis dalam bermacam cara dan gaya dengan bilangannya hampir mencecah dua puluh bentuk. Di sini saya kemukakan sebahagian daripadanya.
Di dalam Khat thuluth terdapat banyak kaedah penulisan yang sangat detail. Sedikit perbezaan, menyebabkan kita salah atau betul dengan kaedahnya. Di sini saya cuba kemukakan dua bentuk tulisan sebagai pendedahan kepada rakan-rakan untuk kita kongsi bersama dan dijadikan panduan. Cuba anda berikan jawapan diantara (A) dan (B), mana yang betul, mana yang salah dan kenapa..?
Terima kasih kepada anda yang telah memberi respon pada persoalan di atas. Sebenarnya perkara ini adalah diantara beberapa kesalahan tulisan yang saya temui ketika menghakimi pertandingan-pertandingan seni khat, termasuk juga Pertandingan Seni Khat Marhaban di Astro baru-baru ini. Banyak lagi masalah-masalah yang lain. Tapi kali ini saya cuba ketengahkan kaedah penulisan (bainahum) ini dahulu. Sebabnya, bagi saya ia cukup halus dan terperinci dari segi kaedahnya. Sepintas lalu, seolah-olah tiada beza.. Tetapi sebenarnya ternyata ada perbezaan yang jelas dan merumitkan. Dengan perubahan yang sedikit, ia akan membuatkan satu huruf menjadi tiga huruf.
Dan jawapannya, diantara (A) dan (B), maka pilihan yang tepat untuk kalimah ‘BAINAHUM’ adalah (A), kerana bentuk huruf yang pertama dan kedua adalah bentuk huruf BA dan YA. Manakala bagi (B) pula, gigi awal dan keduanya adalah gigi huruf SIN. Sekarang cuba kita perhatikan secara detail, diantara dua bentuk ini sebenarnya dipisahkan oleh pergerakan yang sangat halus. Perbezaannya hanyalah pada permulaan diantara ‘sin’ dan ‘ba’. Ketika menarik kebawah, Sin harus lebih pendek dan halus manakala ba lebih besar sedikit. Kemudian di penghujung gigi yang pertama. Kedua-duanya ada sedikit perbezaan ketika menolak naik. Seterusnya pada permulaan gigi yang kedua, pergerakan ketika melengkung turun juga berbeza dan lebar ba seluas dua titik dan sin hanya satu setengah titik.
Penulisan perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth, sebenarnya boleh dipelbagaikan. Pada pengamatan saya, kepelbagaian bentuknya yang boleh dibuat hampir mencecah bua puluh bentuk. Insya Allah saya akan terangkan pada entry yang akan datang. Semoga dengan penjelasan yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada semua…
………………….
Tabung Surau
Khat Thuluth memerlukan latihan yang banyak dan berterusan bagi mendapatkan tulisan bentuk-bentuk huruf dengan tepat dan cantik. Selain itu, latihan ini juga adalah satu senaman untuk melembutkan pergerakan tangan semasa menulis.
Pada peringkat permulaan, penggemar Khat Thuluth perlu memperbanyakkan latihan dengan menulis huruf- huruf tunggal dari huruf alif hingga huruf ya pada setiap hari untuk membiasakan pergerakan tangan menulis huruf-huruf mengikut timbangannya yang sebenar.
Untuk mendapatkan hasil tulisan Khat Thuluth yang halus, ia memerlukan pembelajaran dengan guru yang muktabar. Penulis yang mahu mengetahui rahsia Khat Thuluth hendaklah menulis Qasidah nun dan amsyak yang sering di tulis oleh penulis yang terkenal .
Video ini dirakam oleh sahabat saya: Brother Yusuf Kaloma, student Kolej Restu dari Nigeria.
Sedikit keterangan tentang Basmalah Muhaqqaq ini. Ia ada sedikit perbezaan dengan khat thuluth terutama pada huruf mim, ra, nun dan lafaz Allah. Mim dan ra menggunakan huruf mursalah, iaitu mim atau ra yang ekornya terus ditarik kebawah sebelah kanan. Huruf nun pada Ar-Rahman dilebarkan sedikit berbanding ra thuluth, manakala huruf ha pada lafaz Allah menggunakan ha simpul. Selamat mencuba…!
Sesiapa yang berminat (belajar) Khat Thuluth, boleh mencuba..
Surah Al-Waqi’ah : 79
“…Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang disucikan…”
Dinamakan Thuluth kerana huruf menegaknya ditulis dengan mata pen (qalam) yang ukuran lebarnya menyamai 1/3 (thuluth) mata pen. Ada pendapat mengatakan asalnya khat ini ditulis menebal dengan 24 helaian bulu kuda. Kemudian ketika jenis ini ditulis pula dengan menggunaka 2/3 menjadikan namanya Khat Thuluthain ( 2/3), kemudian terakhir ditulis dengan menggunakan 1/3 daripada 24 helaian bulu kuda menjadikan namanya Thuluth(1/3) iaitu 8 helaian bulu kuda. Khat ini merupakan khat yang paling sukar dibandingkan dengan tulisan khat yang lain dari segi kaedah, ukuran, gaya memperelok atau kemampuan untuk menghasilkan tulisan yang tepat ukiran dan seninya. Digunakan dalam menghiasi bangunan ruang-ruang dinding dan kubah di masjid-masjid.
Khat Thuluth
Surah Al-Baqarah : 117-118
Maksudnya: Allah jualah Pencipta langit dan bumi (dengan segala keindahannya tanpa meniru pada contoh yang lain). Apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau.” Lalu menjadilah ia.
(Orang kafir Makkah) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata, “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mu’jizat)?” Demikian pula orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka. Hati mereka (sekeliannya) adalah sama (dalam kedegilan dan kekufuran). Sesungguhnya Kami telahpun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
Ini adalah gambar pemenang-pemenang Pertandingan Seni Khat Aprisiasi Jawi Utusan Malaysia yang telah diadakan pada 28 Oktober 2007, di Kompleks PKNS Shah Alam, anjuran Utusan Malaysia dengan kerjasama Yayasan Restu:
Tahniah kepada Firdaus dan pemenang-pemenang yang lain…!
Contoh – contoh tulisan khat thuluth

Khat thuluth merupakan khat yang sangat indah. ketika menulis, kebiasaannya susunan dilakukan dengan melakar huruf dari atas ke bawah atau boleh juaga dari bawah ke atas, dimana ahli-ahli khat meletakkan huruf itu seolah-olah sedang menyusun batu-batu binaan. Biasanya struktur thuluth dilakukan dalam bentuk lurus, empat segi, bulat, bujur telur dan bentuk-bentuk lain berdasarkan kepada citarasa dan keperluan khusus seseorang jurukhat seperti bentuk bunga, daun, keris dan sebagainya. Apa yang dilakukan ini bukanlah bertujuan memuaskan minat jurukhat dalam seni lukis akan tetapi ia sebagai satu percubaan untuk mencari bentuk baru dan struktur yang berbagai-bagai. Ungkapan keyript thuluth iaitu thuluth bercampur-baur yang dilakukan oleh jurukhat adalah bertujuan untuk menonjolkan keindahan seninya dan ketika itu, mereka sentiasa mengawasi lafaz jalalah (Allah) agar tidak berada distruktur bahagian bawah
Surah Al Fatihah ditulis pada batu sungai dengan menggunakan ‘khat kufi mushafi’. Batu ini terdapat di Galeri Nur Fatimah , Kompleks Tmn Seni Islam Selangor, Shah Alam. Silalah berkunjung…!
Surah As Syarh pada batu. Ukuran 30cm x 25cm.
Surah Yasin lengkap ditulis dengan tulisan Khat Nasakh halus pada batu yang berukuran 28cm x 18cm
Tulisan khat diwani pada seramik
Khat thuluth pada telor dan siput
Telur ostrich ditulis dan dihias untuk dijadikan sovineer
Surah Al Fatihah menggunakan Khat nasakh & thuluth pada kulit kerang
Plaster of paris bentuk telur dengan ditulis menggunakan khat muhaqqaq
Gading gajah ditulis Surah At Taubah. Ayat : 128 – 129, menggunakan Khat Thuluth
Thuluth bermaksud satu pertiga (1/3). Dinamakan Khat Thuluth adalah kerana Huruf menegaknya ditulis dengan mata pena yang ukuran lebar menyamai satu pertiga (1/3) lebar mata pen. Ia juga dikenali sebagai Khat Arab disebabkan peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi.Khat ini dikenali sebagai Ummul Khutut (Ibu tulisan) dan jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai banyak kaedah, menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf, agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya. Biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya diantara 2 hingga 3 mm. Jika ia lebih lebar daripada itu maka orang-orang Turki memanggilnya tuqechah thuluth yakni thuluth yang dibesarkan. Kemudian ia dikenali dengan nama thuluth jali (sumber-sumber arab silam mensifatkan dengan panggilan jalil al-thuluth). Apabila mata pena lebih besar daripada saiz yang tetap pada pena yang biasa maka dibuat untuknya pena daripada kayu. Saiz-saiz tulisan jali berada pada kadar yang tangan manusia mampu memegang penanya ( Qadi al-Askar Mustafa ‘Izat Afandi dalam menulis loh-loh di masjid Aya Sufia menggunakan mata pena yang luasnya mencapai 35sm ). Jika keadaan memerlukan tulisan-tulisan itu melebihi saiz tersebut atau bersaiz besar, maka ia ditulis mengikut saiz thuluth jali yang biasa kemudian dilakukan pembesaran ( enlargement ) mengikut kaedah empat segi atau menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang terdapat pada hari ini seperti photocopy, komputer dan sebagainya. Bentuk thuluth yang lebar mata penanya melebihi 6mm dinamakan Thuluth Jali, manakala yang melebihi 2mm ialah Thuluth Aadi. Ia diperkenalkan oleh Ibrahim al- Sajzi dan banyak digunakan sebagai seni hiasan di dalam masjid, nama surah dan hiasan kulit buku. Seseorang penulis khat tidak dianggap penulis yang mahir dalam seni ini sekiranya tidak benar – benar berkemahiran dalam bentuk Khat Thuluth.
Perhatian berat para ahli khat terhadap khat thuluth, khususnya khat thuluth jali sepanjang sejarah khat bukanlah merupakan satu perkara yang lahir secara mendadak. Khat ini dikenali dengan tulisan yang agak cantik. memandangkan ia tidak dapat ditulis secepat khat nasakh maka ia biasanya digunakan untuk tujuan-tujuan seni yang khusus, bukan untuk tujuan penulisan biasa. Oleh itu kita sering dapati khat ini dalam kepingan-kepingan seni, muraqqa’at dan loh-loh serta hasil kerja seni yang lain. Khat ini menyebabkan orang yang memandangnya akan membiasakan diri mereka dengan unsur keindahan dan gerakan yang tersusun.
Keistimewaan thuluth (khususnya thuluth jali) daripada segala jenis khat yang lain ialah ia boleh di letakkan dalam struktur-struktur dan rupa bentuk yang cantik seperti bulat, segi empat, bujur dan sebaginya. Para jurukhat yang menitikberatkan khat ini sering melakukan pembaharuan struktur (olahan) dengan khat ini yang merangkumi dua lapisan huruf atau lebih yang sebahagiannya diletakkan di atas sebahagian yang lain mengikut susunan bacaan. Ini merupakan kerja yang sangat sukar, hanya mampu dilakukan oleh jurukhat yang mahir dan berkaliber. kadangkala satu ungkapan ditulis dalam beberapa struktur yang mengandungi pelbagai bentuk dan tulisan. Peniruan sesetengah jurukhat terhadap struktur-struktur para jurukhat silam dan digunakan secara komersial tanpa menerangkan sumber yang beliau dapati sebenarnya merupakan pancabulan terhadap hak-hak mereka dan satu amalan yang tidak wajar.