Penulisan khat thuluth atau thuluth jali perlu dilengkapkan dengan tanda-tanda bacaan atau baris walau apapun bahasa yang ditulis, samada Arab, Melayu, Turki dan sebagainya. Setelah itu, ruang-ruang kosong akan dipenuhkan pula dengan tazyin iaitu simbol-simbol khas yang diletakkan di atas atau di bawah huruf. Ini menyebabkan khat thuluth atau thuluth jali kaya dengan tanda-tanda dan simbol-simbol seperti yang dilihat pada hari ini.
Cara dan tradisi yang diikuti sejak dahulu ketika menulis khat thuluth ialah tidak boleh ditinggalkan ruang kosong pada sesuatu susunan (tarkib) tetapi mesti dipenuhi dengan : 1) Huruf. 2) Baris atau tanda bacaan. 3) Tazyin yang bersesuaian. Pena untuk baris (qalam harakat) ialah 1/2 daripada saiz pena huruf, manakala untuk tazyin penanya bersaiz 1/3 daripada ukuran pena huruf. Pada sesetengah tempat pena huruf digunakan untuk menulis harakat terutama digunakan untuk sukun, dammah dan baris fathah yang ditarik panjang bagi memenuhi ruang kosong. Begitu juga pena baris boleh digunakan untuk membuat tazyin pada tempat-tempat tertentu. Pengaturan ini bergantung kepada kreativiti penulis khat itu sendiri.
Khat thuluth seperti juga khat-khat yang lain, diukur dengan keluasan titik saiz pena. Jika saiznya besar maka besarlah huruf yang ditulis begitu juga jika kecil, saiz huruf juga akan mengecil. Sebagai contoh, sekiranya kita menggunakan pena bersaiz 1 mm, maka saiz hurufnya bersesuaian 1 mm dan seterusnya. Penggarisan saiz huruf dan panjang garis tegaknya diukur dengan menghitung titik. Kadangkala ahli khat tidak terlalu berpegang dengan ukuran ini, tetapi penulisannya tidaklah menyimpang terlalu jauh daripada kaedah asal. Jika apa yang dilakukan oleh ahli khat itu menyimpang jauh daripada ukuran ini, bererti rosaklah kesejajaran umum yang menjadi punca kesempurnaan khat sepanjang zaman.