Muhammad Rasulullah
Dua huruf yang paling susah dalam khat thuluth iaitu HA dan AIN… Lihatlah, di setiap sudutnya ada ukuran titik yang terperinci. Kita mesti membuatnya dengan free hand, tanpa bantuan apa-apa, tidak boleh ditekap (trace). Kemudian setelah jadi bentuknya, kita beralih pula kepada latihan mengekalkan bentuk huruf supaya semuanya sama atau latihan mengkonsistenkannya pula.. sebenarnya inilah latihan yang lebih susah daripada membentuk huruf tadi, tetapi ia sangat penting di dalam seni khat. Latihan inilah yang dinamakan ‘masyaq’. Seperti kata pepatah Arab:
الخط مخفى فى تعليم الأستاذ ودوامه فى كثرة المشق
“Rahsia seni khat tersembunyi di tangan guru, dan untuk mengekalkannya adalah dengan masyaq yang berterusan”
Assalamualaikum.. Maaf kerana lama tidak update blog. Saya agak sibuk sikit sejak kebelakangan ni… Ini design terbaru dalam khat Diwani Jali.
Di dalam Khat thuluth terdapat banyak kaedah penulisan yang sangat detail. Sedikit perbezaan, menyebabkan kita salah atau betul dengan kaedahnya. Di sini saya cuba kemukakan dua bentuk tulisan sebagai pendedahan kepada rakan-rakan untuk kita kongsi bersama dan dijadikan panduan. Cuba anda berikan jawapan diantara (A) dan (B), mana yang betul, mana yang salah dan kenapa..?
Terima kasih kepada anda yang telah memberi respon pada persoalan di atas. Sebenarnya perkara ini adalah diantara beberapa kesalahan tulisan yang saya temui ketika menghakimi pertandingan-pertandingan seni khat, termasuk juga Pertandingan Seni Khat Marhaban di Astro baru-baru ini. Banyak lagi masalah-masalah yang lain. Tapi kali ini saya cuba ketengahkan kaedah penulisan (bainahum) ini dahulu. Sebabnya, bagi saya ia cukup halus dan terperinci dari segi kaedahnya. Sepintas lalu, seolah-olah tiada beza.. Tetapi sebenarnya ternyata ada perbezaan yang jelas dan merumitkan. Dengan perubahan yang sedikit, ia akan membuatkan satu huruf menjadi tiga huruf.
Dan jawapannya, diantara (A) dan (B), maka pilihan yang tepat untuk kalimah ‘BAINAHUM’ adalah (A), kerana bentuk huruf yang pertama dan kedua adalah bentuk huruf BA dan YA. Manakala bagi (B) pula, gigi awal dan keduanya adalah gigi huruf SIN. Sekarang cuba kita perhatikan secara detail, diantara dua bentuk ini sebenarnya dipisahkan oleh pergerakan yang sangat halus. Perbezaannya hanyalah pada permulaan diantara ‘sin’ dan ‘ba’. Ketika menarik kebawah, Sin harus lebih pendek dan halus manakala ba lebih besar sedikit. Kemudian di penghujung gigi yang pertama. Kedua-duanya ada sedikit perbezaan ketika menolak naik. Seterusnya pada permulaan gigi yang kedua, pergerakan ketika melengkung turun juga berbeza dan lebar ba seluas dua titik dan sin hanya satu setengah titik.
Penulisan perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth, sebenarnya boleh dipelbagaikan. Pada pengamatan saya, kepelbagaian bentuknya yang boleh dibuat hampir mencecah bua puluh bentuk. Insya Allah saya akan terangkan pada entry yang akan datang. Semoga dengan penjelasan yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada semua…
………………….
Video ini dirakam oleh sahabat saya: Brother Yusuf Kaloma, student Kolej Restu dari Nigeria.
Sedikit keterangan tentang Basmalah Muhaqqaq ini. Ia ada sedikit perbezaan dengan khat thuluth terutama pada huruf mim, ra, nun dan lafaz Allah. Mim dan ra menggunakan huruf mursalah, iaitu mim atau ra yang ekornya terus ditarik kebawah sebelah kanan. Huruf nun pada Ar-Rahman dilebarkan sedikit berbanding ra thuluth, manakala huruf ha pada lafaz Allah menggunakan ha simpul. Selamat mencuba…!
Tema Maulidur Rasul 1430: Wahdah Pemangkin Khaira Ummah. Tulisan menggunakan kaedah khat nasakh.
Khat Nasakh berkembang daripada bentuk yang kaku kepada bentuk yang terkini sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. Khat ini telah sampaik kepada orang Arab Hijaz dan digunakan di jabatan-jabatan kerajaan dalam urusan surat-menyurat pada zaman permulaan Islam.
Semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyah kurun ketiga dan keempat ahli sejarah menjelaskan khat ini bertambah baik bentuknya apabila khattat Ali bin Muqlah (tahun 272-328H) telah mencipta kaedah penulisan Khat Nasakh.
Pada zaman Atabikah (545H), khat nasakh telah diperbaiki sehingga dikenali sebagai Khat Nasakh Atabik. Digunakan untuk penulisan al-Quran pada zaman pertengahan Islam menggantikan Khat Kufi Klasik.
Jenis-Jenis Khat Nasakh:
i. Nasakh Klasik
Nasakh semenjak zaman pemerintahan Kerajaan Abasiyah. Kaedah penulisan ini ditulis oleh Ibn Muqlah, diperelokkan oleh orang Atabikah dan dijelmakan dalam bentuk ukiran dan hiasan oleh orang Turki
ii. Nasakh Akhbar
Khat yang telah dikembangkan dari segi bentuknya yang jelas dan huruf yang tebal. Tulisan ini juga dinamakan tulisan ‘surat khabar’ kerana penggunaannya meluas dalam bidang akhbar.
Khat Nasakh Dalam Pertandingan
Khat Nasakh digunakan secara meluas dalam pendidikan dan sering menjadi pilihan untuk dipertandingkan di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam pertandingan ada beberapa perkara yang perlu diberi penekanan antaranya:
i. Memahami dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh penganjur. Biasanya Khat Nasakh disempurnakan dengan baris bacaan kecuali dalam menulis jawi.
ii. Bentuk yang dipilih dan ruang yang disesuaikan. Tulisan itu disusun dengan keseimbangan dari segi bentuk, ruang dan keserasian perhiasan agar menjadi lebih menarik.
iii. Ragam hias hendaklah tidak terlalu besar hingga mengganggu tulisan asal. Contohnya tulisan Basmalah dan Sodaqallah, hendaklah ditulis dengan saiz yang kecil atau sederhana sahaja kerana fokus adalah kepada ayat yang ditentukan (Jainal Sakiban, 2000)
Thuluth bermaksud satu pertiga (1/3). Dinamakan Khat Thuluth adalah kerana Huruf menegaknya ditulis dengan mata pena yang ukuran lebar menyamai satu pertiga (1/3) lebar mata pen. Ia juga dikenali sebagai Khat Arab disebabkan peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi.Khat ini dikenali sebagai Ummul Khutut (Ibu tulisan) dan jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai banyak kaedah, menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf, agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya. Biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya diantara 2 hingga 3 mm. Jika ia lebih lebar daripada itu maka orang-orang Turki memanggilnya tuqechah thuluth yakni thuluth yang dibesarkan. Kemudian ia dikenali dengan nama thuluth jali (sumber-sumber arab silam mensifatkan dengan panggilan jalil al-thuluth). Apabila mata pena lebih besar daripada saiz yang tetap pada pena yang biasa maka dibuat untuknya pena daripada kayu. Saiz-saiz tulisan jali berada pada kadar yang tangan manusia mampu memegang penanya ( Qadi al-Askar Mustafa ‘Izat Afandi dalam menulis loh-loh di masjid Aya Sufia menggunakan mata pena yang luasnya mencapai 35sm ). Jika keadaan memerlukan tulisan-tulisan itu melebihi saiz tersebut atau bersaiz besar, maka ia ditulis mengikut saiz thuluth jali yang biasa kemudian dilakukan pembesaran ( enlargement ) mengikut kaedah empat segi atau menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang terdapat pada hari ini seperti photocopy, komputer dan sebagainya. Bentuk thuluth yang lebar mata penanya melebihi 6mm dinamakan Thuluth Jali, manakala yang melebihi 2mm ialah Thuluth Aadi. Ia diperkenalkan oleh Ibrahim al- Sajzi dan banyak digunakan sebagai seni hiasan di dalam masjid, nama surah dan hiasan kulit buku. Seseorang penulis khat tidak dianggap penulis yang mahir dalam seni ini sekiranya tidak benar – benar berkemahiran dalam bentuk Khat Thuluth.
Perhatian berat para ahli khat terhadap khat thuluth, khususnya khat thuluth jali sepanjang sejarah khat bukanlah merupakan satu perkara yang lahir secara mendadak. Khat ini dikenali dengan tulisan yang agak cantik. memandangkan ia tidak dapat ditulis secepat khat nasakh maka ia biasanya digunakan untuk tujuan-tujuan seni yang khusus, bukan untuk tujuan penulisan biasa. Oleh itu kita sering dapati khat ini dalam kepingan-kepingan seni, muraqqa’at dan loh-loh serta hasil kerja seni yang lain. Khat ini menyebabkan orang yang memandangnya akan membiasakan diri mereka dengan unsur keindahan dan gerakan yang tersusun.
Keistimewaan thuluth (khususnya thuluth jali) daripada segala jenis khat yang lain ialah ia boleh di letakkan dalam struktur-struktur dan rupa bentuk yang cantik seperti bulat, segi empat, bujur dan sebaginya. Para jurukhat yang menitikberatkan khat ini sering melakukan pembaharuan struktur (olahan) dengan khat ini yang merangkumi dua lapisan huruf atau lebih yang sebahagiannya diletakkan di atas sebahagian yang lain mengikut susunan bacaan. Ini merupakan kerja yang sangat sukar, hanya mampu dilakukan oleh jurukhat yang mahir dan berkaliber. kadangkala satu ungkapan ditulis dalam beberapa struktur yang mengandungi pelbagai bentuk dan tulisan. Peniruan sesetengah jurukhat terhadap struktur-struktur para jurukhat silam dan digunakan secara komersial tanpa menerangkan sumber yang beliau dapati sebenarnya merupakan pancabulan terhadap hak-hak mereka dan satu amalan yang tidak wajar.