Gambar-gambar disekitar Pertandingan Seni Khat Marhaban Di Astro – Batu Pahat Mall pada hari sabtu 15 Ogos 2009
Tabung Surau
Khat Thuluth memerlukan latihan yang banyak dan berterusan bagi mendapatkan tulisan bentuk-bentuk huruf dengan tepat dan cantik. Selain itu, latihan ini juga adalah satu senaman untuk melembutkan pergerakan tangan semasa menulis.
Pada peringkat permulaan, penggemar Khat Thuluth perlu memperbanyakkan latihan dengan menulis huruf- huruf tunggal dari huruf alif hingga huruf ya pada setiap hari untuk membiasakan pergerakan tangan menulis huruf-huruf mengikut timbangannya yang sebenar.
Untuk mendapatkan hasil tulisan Khat Thuluth yang halus, ia memerlukan pembelajaran dengan guru yang muktabar. Penulis yang mahu mengetahui rahsia Khat Thuluth hendaklah menulis Qasidah nun dan amsyak yang sering di tulis oleh penulis yang terkenal .
Video ini dirakam oleh sahabat saya: Brother Yusuf Kaloma, student Kolej Restu dari Nigeria.
Sedikit keterangan tentang Basmalah Muhaqqaq ini. Ia ada sedikit perbezaan dengan khat thuluth terutama pada huruf mim, ra, nun dan lafaz Allah. Mim dan ra menggunakan huruf mursalah, iaitu mim atau ra yang ekornya terus ditarik kebawah sebelah kanan. Huruf nun pada Ar-Rahman dilebarkan sedikit berbanding ra thuluth, manakala huruf ha pada lafaz Allah menggunakan ha simpul. Selamat mencuba…!
Dan apabila mereka melihat perniagaan atau mendengar sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) ke arahnya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar ketika berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad): “Pahala (balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik daripada hiburan dan perniagaan itu.” Allah sebaik-baik Pemberi rezeki.
Khat riq’ah ialah sejenis khat yang direka cipta oleh orang Turki pada zaman kerajaan Uthmaniyah (850H). Tujuan khat ini dicipta ialah untuk menyeragamkan tulisan dalam semua urusan rasmi di kalangan kakitangan kerajaan. Menurut Kamus Bahasa Riqa’ah bermaksud cebisan kertas yang ditulis. Ia berkembang daripada khat nasakh dan thuluth tetapi perkembangannya dalam bentuk yang agak berlainan daripada keduanya, Ia lebih mudah. Biasanya ditulis dengan saiz yang kecil. Bentuk alifnya pendek dan tiada kepala (Tarwisah) seperti thuluth.
Khat riq’ah merupakan salah satu khat yang begitu digemari oleh penulis khat ketika zaman Othmaniah dan melalui banyak penambahbaikan oleh Shaikh Hamdullah al-Amasi. Kemudian selepas itu berlaku lagi beberapa perubahan oleh penulis khat lain sehinggalah ia menjadi popular, digemari dan paling banyak digunakan. Di hari ini, riq’ah adalah pilihan tulisan tangan oleh Masyarakat arab
Ciri-ciri tulisan ini ialah bentuk hurufnya bersaiz kecil, lebih cepat dan mudah ditulis, jika dibandingkan dengan khat nasakh. Penggunaan khat ini dalam masyarakat kita tertumpu pada penulisan nota dan tulisan. Beberapa langkah telah diambil untuk menjadikan khat ini dapat dipelajari oleh murid-murid sekolah dan dapat digunakan dalam urusan harian seperti urusan surat menyurat, urusan perniagaan, iklan dan promosi barangan serta dijadikan tajuk-tajuk besar dalam akhbar.
Surah Al-Waqi’ah : 79
“…Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang disucikan…”
Dinamakan Thuluth kerana huruf menegaknya ditulis dengan mata pen (qalam) yang ukuran lebarnya menyamai 1/3 (thuluth) mata pen. Ada pendapat mengatakan asalnya khat ini ditulis menebal dengan 24 helaian bulu kuda. Kemudian ketika jenis ini ditulis pula dengan menggunaka 2/3 menjadikan namanya Khat Thuluthain ( 2/3), kemudian terakhir ditulis dengan menggunakan 1/3 daripada 24 helaian bulu kuda menjadikan namanya Thuluth(1/3) iaitu 8 helaian bulu kuda. Khat ini merupakan khat yang paling sukar dibandingkan dengan tulisan khat yang lain dari segi kaedah, ukuran, gaya memperelok atau kemampuan untuk menghasilkan tulisan yang tepat ukiran dan seninya. Digunakan dalam menghiasi bangunan ruang-ruang dinding dan kubah di masjid-masjid.
Alhamdulillah.. Hari ini kami telah selesai mengadakan Pertandingan Seni Khat Terbuka sempena sambutan Maulid Rasul peringkat Negeri Melaka, Tahun 1429H yang telah dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Kebangsaan dan Yayasan Restu. Pertandingan ini telah diadakan di Galeri Ketua Menteri Melaka di Peringgit. Seramai lebih 50 orang telah hadir bagi memeriahkan pertandingan pada kali ini. Pada pandangan saya kualiti keseluruhan tulisan para peserta sangat baik dan saingan juga sengit. Khat yang dipertandingkan adalah khat thuluth. Biasalah..Adat pertandingan, ada yang menang, ada yang kalah. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada yang menang dan saya nak ucapkan tahniah juga kepada yang kurang bernasib baik kerana telah berusaha dengan penuh semangat bagi memartabatkan seni khat. Sanggup datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk memeriahkan pertandingan. Sudah tentu anda mendapat pengalaman yang sangat berharga di pertandingan ini. Pemenang pertandingan ialah: 1) Ustaz Hilyas (Terengganu), 2) Muhammad Zulfikri (Kedah), 3) Muhammad Ilham (Kelantan).
Inilah beberapa gambar suasana pertandingan dan pameran yang sempat diambil
Di dalam agama Islam, seni tidak bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian yang sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengamalkan seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan batas-batas syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya seorang Muslim itu jika tidak tahu bagaimana untuk menghadirkan kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam berperanan sebagai medium yang amat berkesan untuk berdakwah, membentuk seseorang itu menjadi seorang yang benar-benar baik dan beradab.
Konsep seni Islam dan pengamalannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Allah swt. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara ma’ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.
Seni di dalam Islam berperanan menanam rasa khusyu’ kepada Allah swt yang sukakan kepada keindahan, di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhlukNya yang diciptakan dengan fitrah yang suka kepada sesuatu yang indah. Oleh sebab itu seni dalam Islam tidak berslogan ‘seni untuk seni’ tetapi ‘seni kerana Allah untuk manfaat manusia, makhluk dan alam sekitar’. Kesenian Islam terpancar daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah swt, maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat ketaqwaan dan beriman. Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan bukan hanya sekadar emosi sahaja.
Surah Al Fatihah ditulis pada batu sungai dengan menggunakan ‘khat kufi mushafi’. Batu ini terdapat di Galeri Nur Fatimah , Kompleks Tmn Seni Islam Selangor, Shah Alam. Silalah berkunjung…!
Surah As Syarh pada batu. Ukuran 30cm x 25cm.
Surah Yasin lengkap ditulis dengan tulisan Khat Nasakh halus pada batu yang berukuran 28cm x 18cm
Thuluth bermaksud satu pertiga (1/3). Dinamakan Khat Thuluth adalah kerana Huruf menegaknya ditulis dengan mata pena yang ukuran lebar menyamai satu pertiga (1/3) lebar mata pen. Ia juga dikenali sebagai Khat Arab disebabkan peranannya sebagai sumber asasi pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi.Khat ini dikenali sebagai Ummul Khutut (Ibu tulisan) dan jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai banyak kaedah, menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf, agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya. Biasanya khat ini ditulis dengan pena yang lebar matanya diantara 2 hingga 3 mm. Jika ia lebih lebar daripada itu maka orang-orang Turki memanggilnya tuqechah thuluth yakni thuluth yang dibesarkan. Kemudian ia dikenali dengan nama thuluth jali (sumber-sumber arab silam mensifatkan dengan panggilan jalil al-thuluth). Apabila mata pena lebih besar daripada saiz yang tetap pada pena yang biasa maka dibuat untuknya pena daripada kayu. Saiz-saiz tulisan jali berada pada kadar yang tangan manusia mampu memegang penanya ( Qadi al-Askar Mustafa ‘Izat Afandi dalam menulis loh-loh di masjid Aya Sufia menggunakan mata pena yang luasnya mencapai 35sm ). Jika keadaan memerlukan tulisan-tulisan itu melebihi saiz tersebut atau bersaiz besar, maka ia ditulis mengikut saiz thuluth jali yang biasa kemudian dilakukan pembesaran ( enlargement ) mengikut kaedah empat segi atau menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang terdapat pada hari ini seperti photocopy, komputer dan sebagainya. Bentuk thuluth yang lebar mata penanya melebihi 6mm dinamakan Thuluth Jali, manakala yang melebihi 2mm ialah Thuluth Aadi. Ia diperkenalkan oleh Ibrahim al- Sajzi dan banyak digunakan sebagai seni hiasan di dalam masjid, nama surah dan hiasan kulit buku. Seseorang penulis khat tidak dianggap penulis yang mahir dalam seni ini sekiranya tidak benar – benar berkemahiran dalam bentuk Khat Thuluth.
Perhatian berat para ahli khat terhadap khat thuluth, khususnya khat thuluth jali sepanjang sejarah khat bukanlah merupakan satu perkara yang lahir secara mendadak. Khat ini dikenali dengan tulisan yang agak cantik. memandangkan ia tidak dapat ditulis secepat khat nasakh maka ia biasanya digunakan untuk tujuan-tujuan seni yang khusus, bukan untuk tujuan penulisan biasa. Oleh itu kita sering dapati khat ini dalam kepingan-kepingan seni, muraqqa’at dan loh-loh serta hasil kerja seni yang lain. Khat ini menyebabkan orang yang memandangnya akan membiasakan diri mereka dengan unsur keindahan dan gerakan yang tersusun.
Keistimewaan thuluth (khususnya thuluth jali) daripada segala jenis khat yang lain ialah ia boleh di letakkan dalam struktur-struktur dan rupa bentuk yang cantik seperti bulat, segi empat, bujur dan sebaginya. Para jurukhat yang menitikberatkan khat ini sering melakukan pembaharuan struktur (olahan) dengan khat ini yang merangkumi dua lapisan huruf atau lebih yang sebahagiannya diletakkan di atas sebahagian yang lain mengikut susunan bacaan. Ini merupakan kerja yang sangat sukar, hanya mampu dilakukan oleh jurukhat yang mahir dan berkaliber. kadangkala satu ungkapan ditulis dalam beberapa struktur yang mengandungi pelbagai bentuk dan tulisan. Peniruan sesetengah jurukhat terhadap struktur-struktur para jurukhat silam dan digunakan secara komersial tanpa menerangkan sumber yang beliau dapati sebenarnya merupakan pancabulan terhadap hak-hak mereka dan satu amalan yang tidak wajar.