Bengkel Asas Tulisan Jawi & Seni Khat
Alhamdulillah, syukur kepada Allah..
Sempena pertabalan Seri Paduka Baginda Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia XVI, Diwani Kraf telah diamanahkan untuk menulis Watikah Pertabalan dan Warkah Persilaan kepada sultan-sultan dan pembesar negeri seluruh Malaysia. Apa yang istimewanya, watikah pertabalan ini akan ditulis atas kulit kambing yang telah diproses sehingga menjadi seperti kertas dan boleh bertahan sehingga jangkamasa yang sangat lama. Saya difahamkan, kulit kambing ini telah disediakan oleh Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (Jupem) . Sementara Warkah Persilaan pula akan ditulis atas kertas jenis goatskin paper yang berhiasan di sekelilingnya dengan corak Bunga Kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya. Warkah Persilaan ini nanti akan dihadapkan kepada sultan-sultan dan pembesar negeri untuk tujuan persilaan menghadiri acara pertabalan Yang di Pertuan Agong Malaysia XVI pada kali ini.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
..Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; (63) Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri, (64) Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab Neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. (65) Sesungguhnya Neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk; (66) Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. (67) Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; (68) Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan; (69) Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (70) Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) dia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat; (71) Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya. (72) Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta. (73) Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: Perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (74) Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, (75) Mereka kekal di dalam Syurga itu; amatlah eloknya Syurga menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal. (76) Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu. (77) “
Terima kasih kepada pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam yang sudi datang mengunjungi Galeri Diwani Kraf hari ini. Delegasi seramai lapan orang ini diketuai oleh rektornya Dr Haji Serbini bin Matahir telah menghabiskan masa lebih satu jam di sini. Kami membincangkan tentang beberapa perkara yang sedang diusahakan bersama iaitu penyalinan mushaf UNISSA yang mana Diwani Kraf terlibat secara langsung sebagai perunding.
Pada hari khamis 10/11/11 yang lalu telah berlangsung sesi pemilihan pemenang untuk Pertandingan Seni Khat Peringkat Kebangsaan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bertempat di Bahagian Manuskrip Jawi di tingkat 11 bangunan PNM. Barisan juri diketuai oleh YDP Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) sendiri iaitu Ustaz Muhammed Yusuf Abu Bakar. Saya dijemput untuk menyertai jemaah ini bersama Ustaz Jainal Sakiban, Ustaz Asrak dan Ustaz Zainurrahman. Dua kategori telah dipertandingkan, iaitu remaja dan dewasa dengan peserta diminta menulis lima rukun negara dalam apa sahaja jenis seni khat yang mereka inginkan; tidak dihadkan pada jenis khat tertentu sahaja. Nampaknya sambutan amat menggalakkan dengan hampir sejumlah 400 penyertaan telah diterima oleh PNM dalam dua kategori ini. Katanya pihak PNM juga terpaksa menunda tarikh akhir penyerahan kerana banyak rayuan dari peserta yang belum sempat siapkan karya. Kualiti penulisan khat para peserta juga sangat baik terutama dalam kategori dewasa yang memperlihatkan peningkatan mutu penulisan dari segi kaedah seni khat, susunan dan kreativiti mereka. Saya ucapkan tahniah kepada semua peserta dan terima kasih kepada PNM dan PSKK yang bertanggungjawab menganjurkan pertandingan ini. Semoga ada lagi jabatan-jabatan kerajaan yang lain atau pihak-pihak swasta yang mencontohi usaha PNM ini demi memberi galakan kepada golongon remaja yang semakin ramai meminati tulisan jawi dan khat, seterusnya dapat menyemai kembali jatidiri bangsa melayu dan Islam dalam masyarakat.
Diasaskan oleh khattat Turki bernama Afif Hikmat Ibn Sayyid Hafiz Hamzah Afendi. Khat Sunbuli mempunyai bentuk-bentuk huruf yang sungguh cantik dan unik. Walaupun karekternya kelihatan seperti mudah ditempa dengan alunan halus dan lembut tetapi sebenarnya ia memerlukan pengalaman seni yang luas untuk mencapai tahap kesempurnaan menulis khat ini. Hurufnya anjal dan boleh bergerak bebas seperti diwani. Alifnya seakan khat Ijazah yang boleh ditambah tarwis, Jim dan dal seperti khat Kufi Mushafi, huruf nun boleh pendek atau panjang, mim mempunyai ruang kosong di tengah.
Tulisan khat di Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 2 setinggi 7 kaki x 24 kaki yang dibuat box-up setebal 1 inci.
Alhamdulillah, beberapa minggu yang lalu saya telah mendapat jemputan daripada sahabat saya Mr Lou Qi untuk menyertai pameran “Asia And Africa International Modern Art Exhibition” yang akan diadakan di Hangzhou China bermula dari 23 April 2011. Pameran ini akan disertai oleh pelukis dari beberapa negara. Saya akan bertolak ke sana pada 22 April 2011 bersama dua orang rakan pelukis dari Malaysia iaitu Muhd. Rani dan Mr. Chong. InsyaAllah saya akan kemaskinikan blog ini nanti dengan perkembangan di sana…
OLEH: ROSHLAWATY RAIEH
“Seni itu sememangnya indah dan kadangkala sukar untuk di tafsir oleh mata kasar kerana ia mengandungi makna yang tersirat di sebalik apa yang tersurat pada permukaannya,” tutur penulis khat profesional tanah air, Ustaz Abdul Baki Abu Bakar.
Katanya, sesebuah karya seni pada dasarnya adalah sebuah medium untuk sesetengah individu meluahkan perasaan serta penghayatan mereka terhadap sesuatu yang terjadi dalam kehidupan.
“Namun, keindahan karya seni itu menjadi semakin indah bila ia diterjemahkan dalam bentuk seni khat.” Katanya ketika ditemui wartawan Rehal di pejabatnya, di Shah Alam, Selangor.
Anak kelahiran Baling, Kedah yang juga anak didik Ustaz Mohamed Yusof Abu Bakar (Yang Dipertua dan Pengasas Persatuan Seni Khat Kebangsaan) memberitahu, menghasilkan sebuah karya seni khat bukanlah semudah yang disangkakan.
“Ramai membuat andaian menulis khat adalah bidang yang cukup mudah. Hanya dengan memegang pen tradisional (resam, buluh, ijuk, disfuli atau kayu yang sesuai), tulisan khat mampu dihasilkan.
“Akan tetapi, telahan mereka itu sebenarnya silap. Menghasilkan tulisan khat sebenarnya memerlukan bakat, minat dan kesungguhan dalam bidang tersebut. Malah, latihan berterusan dan berguru dengan pakar adalah antara tonggak utama menghasilkan tulisan khat yang cantik dan terbaik,” katanya yang pernah berkhidmat di Yayasan Restu sebagai penulis seni khat beberapa tahun lalu.
Melihat perkembangan seni khat di tanah air pada masa kini, beliau berkata, dunia seni khat ada masa depan yang tersendiri.
Katanya, selain dijadikan sumber ilmu untuk generasi muda, seni khat turut menyediakan peluang pekerjaan cukup luas kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang berkenaan.
“Misalnya, seseorang yang berjaya menghasilkan hiasan khat dalam pelbagai bentuk, mampu memperoleh pendapatan lumayan sekiranya permintaan yang diterima orang ramai di luar jangkaan,” katanya sambil memberitahu berdakwah menerusi seni agak unik kerana ia bertujuan memperlihatkan keindahan Islam kepada orang ramai.
Beliau yang kini membuka syarikat sendiri, Diwanikraf, yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam,berkata, beberapa negara, antaranya Brunei, menawarkan jawatan dalam kerajaan kepada penulis khat.
“Bila ke sana , saya terkejut kerana wujud peluang pekerjaan bagi penulis khat dalam sektor kerajaan. Apabila mereka bertanyakan tentang jawatan berkenaan di Malaysia , saya hanya memberitahu, jawatan sedemikian tidak ditawarkan,”katanya sambil menyarankan Malaysia mewujudkan jawatan untuk penulis khat khusus di Majlis Agama Islam dan beberapa agensi-agensi kerajaan berkaitan dalam usaha memperjuangkan tulisan jawi berkenaan.
15 tahun abdi diri dalam seni khat
Minat mendalam terhadap subjek seni sejak sekolah membuatkan dia tertarik untuk terus mempelajari seni khat secara serius.
Walaupun baru berusia 12 tahun pada ketika itu, Abdul Baki tidak pernah melahirkan kekesalan memilih subjek berkaitan khat.
“Usia 12 tahun adalah usia cukup muda untuk belajar semua ini. Namun kerana minat, lama-kelamaan seni khat menjadi sebati dalam jiwa. Mungkin juga disebabkan keindahan ukiran kalimah Allah selain dorongan daripada keluarga, guru dan rakan-rakan,” katanya.
Hari berganti hari, tahun berganti tahun, minat Baki terhadap seni khat tidak pernah luntur. Walaupun pelbagai tawaran pekerjaan datang menjengah, bidang seni khat tetap menjadi pilihan.
“Saya masih ingat, pada 1996, saya terbaca iklan jawatan kosong penulis khat di Yayasan Restu. Saya mohon dan tak sangka dapat. Pada tahun itulah, bermula kerjaya sebagai penulis khat.
“Saya begitu teruja, keran selain bekerja, saya dapat menimba ilmu berharga melalui pakar dan ustaz yang mahir tentang selok-belok tulisan khat di sana,” katanya yang telah menamatkan khidmatnya pada 2010.
Mengulas tentang jenis, Baki berkata, terdapat ratusan jenis tulisan khat, namun yang biasa digunakan hanya tujuh iaitu Khat Riq’ah, Kufi, Nasakh, Diwani Jali, Farsi, Thuluth dan Diwani.
Baki berkata, bidang seni khat sebenarnya mempunyai tarikan tersendiri yang bukan sahaja diminati oleh orang Islam malahan bukan Islam turut melahirkan rasa kagum terhadap khat. Akuinya, di merata-rata tempat, ramai bukan Islam belajar menulis khat, misalnya di Jepun , China , Russia dan sebagainya.
“Saya katakan begitu kerana pernah berpeluang menjejakkan kaki ke negara-negara berkenaan bagi menyertai pameran mahupun pertandingan. Bila tiba di sini, sambutan luar biasa diterima selain menerima banyak tempahan.
“Saya tidak sangka sambutan amat mengagumkan. Rakyat di negara berkenaan meminati seni khat dan paling mengejutkan, majoriti yang menghadiri pameran itu bukan Islam.
“Situasi ini secara tidak langsung membuktikan Islam agama yang mudah diterima dan seni khat satu cara untuk saya berdakwah,” terangnya.
Impi wujud galeri
Baki mengakui, dirinya masih lagi di tahap pembelajaran dalam bidang khat walaupun telah berkecimpung selama 15 tahun lalu.
“Ilmu harus ditimba walaupun seseorang itu sudah berada terlalu lama dalam bidang berkenaan. Malah, mereka disarankan berkongsi ilmu yang ada dengan orang ramai yang berminat mendalami seni khat dan usaha mengadakan kelas intensif seni khat setiap Sabtu, jam 9 pagi hingga 1 tengahari di sini, adalah antara usaha saya berkongsi ilmu dengan masyarakat,” katanya yang memasang impian mewujudkan galeri pameran sendiri khusus untuk mempamerkan hasil pelbagai jenis tulisan khat.
Bagi anda yang ingin berkongsi pengalaman dengan Ustaz Abdul Baki berhubung dunia seni khat, bolehlah melayari website http://diwanikraf.com atau email bakibkr@yahoo.com
Bengkel tahsinul khat dan seni khat jawi peringkat lanjutan yang telah berjalan selama 2 minggu ini adalah satu program yang sangat bermanfaat kepada penulis-penulis khat di Negara Brunei Darussalam sebagai satu platform untuk mereka meningkatkan kualiti tulisan khat seterusnya menambah nilai dalam bidang pekerjaan masing-masing. Di dalam bengkel ini peserta telah didedahkan dengan teknik penulisan khat mengikut kaedah yang betul dan muktabar yang diguna pakai di seluruh dunia serta kaedah-kaedah yang mudah dilaksanakan serta amat berkesan terutama di dalam seni khat nasakh dan thuluth. Kedua-dua khat ini sangat penting kerana keduanya merupakan tunjang kepada cabang seni khat yang lain. Jika seseorang penulis boleh menguasai kedua-dua khat ini, maka lebih mudah baginya untuk meguasai jenis-jenis khat yang lain. Kedua khat ini juga paling banyak digunakan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang dan medium dan sangat meluas digunakan di Negara Brunei Darussalam.
Di bengkel ini, peserta juga berkesempatan mencungkil rahsia-rahsia seni khat yang amat sukar diperolehi dan terlihat dengan mata kasar kita jika tiada tunjuk ajar daripada guru yang betul. Seperti ada pepatah Arab berbunyi:
Rahsia tulisan khat tersembunyi dalam pembelajaran bersama guru dan untuk menguatkannya (bentuk huruf) adalah dengan latihan yang berterusan.
Seperti yang kita maklum, seni khat mempunyai rahsia-rahsia penulisan yang sangat banyak, ia memerlukan tunjuk ajar dan pendedahan daripada guru sendiri, kerana tanpa pengajaran daripada guru seseorang penulis amat sukar mengetahui rahsia huruf dan tidak mampu menghasilkan tulisan dengan betul dan cantik. Mempelajari seni khat tidak cukup dengan hanya sekadar melihat dan membaca daripada buku-buku kaedah seni khat sahaja. Cara ini akan mengambil masa yang sangat panjang dan tidak mungkin seseorang penulis itu mendapat teknik penulisan yang berkesan tanpa melihat sendiri bagaimana cara membuatnya yang betul daripada seorang guru.
Setelah mengetahui teknik menulis khat daripada guru, maka usaha selebihnya bergantung kepada penulis sendiri. Untuk memperkuatkan kaedah huruf, seseorang penulis perlu berterusan membuat latihan sehingga apa yang dipelajari dapat ditulis sama seperti dikehendaki kaedah seni khat.
Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ‘tahniah’ kepada penulis-penulis khat Negara Brunei Darussalam di atas kualiti tulisan khat mereka, kerana pada pemerhatian saya mutu tulisan khat di sini telah meningkat dengan ketara berbanding dahulu, terutama setelah apa yang dapat saya lihat sendiri hasil kerja penulis-penulis pada peraduan menulis Seni Khat Jawi Kebangsaan yang berakhir pada 30 september 2010 yang lalu. Secara jujur, apa yang saya lihat sangat berbeza dengan kualiti pada 3, 4 tahun yang lalu ketika saya sering ke sini samada atas jemputan pertandingan menulis khat asean atau pameran-pameran seni khat. Umpamanya di dalam khat thuluth, saya dapat melihat ada beberapa peserta telah menulis huruf-huruf dalam khat thuluth dengan baik dan amat kemas serta membuat susunan-susunan yang menarik. Peningkatan ini tidak boleh terhenti di sini sahaja kerana untuk mencapai tahap tulisan khat peringkat antarabangsa, kita memerlukan kualiti yang lebih tinggi dan usaha yang berterusan. Sudah tentu untuk bandingan dengan tahap yang terdapat di timur tengah atau Turki, jurangnya masih jauh. Tetapi dengan usaha berterusan yang dimainkan oleh Pusat Dakwah Islamiah ini, tidak mustahil dalam 5 tahun akan datang ada penulis-penulis khat Brunei boleh menjadi setaraf di Turki dan mampu menempatkan diri dan memenangi peraduan-peraduan khat peringkat antarabangsa seperti di IRCICA dan sebagainya.
terima kasih kepada peserta-peserta bengkel di atas kerjasama yang telah diberikan dari awal sehingga akhir program serta memudahkan saya mengendalikan bengkel ini dengan berkesan
Harapan saya kepada peserta-peserta bengkel Tahsinul khat dan bengkel seni khat jawi lanjutan ini supaya berusaha bersunggu-sungguh dan memberi komitmen dalam meningkatkan kualiti tulisan khat kita dengan mempraktikkan apa yang telah dipelajari di sini dengan latihan harian masing-masing, kerana apa yang kita telah pelajari di sini akan hilang begitu sahaja jika dibiarkan tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk diterjemahkan dengan latihan yang berterusan.
Berusahalah membahagikan masa kita dengan latihan dan kerja-kerja yang lain supaya dapat membuat latihan pada setiap hari walaupun sedikit, jangan tinggalkannya terus tanpa latihan. Kerana latihan yang berterusan dan bersungguh-sungguh sahaja satu-satunya cara untuk maju dalam seni khat ini.
Di sini juga, saya memohon maaf andai ketika saya mengendalikan bengkel ini terdapat kekurangan dan terkasar bahasa atau terdapat sesuatu yang kurang menyenangkan semua pihak terutama kepada pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan saya di sini. Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah memberikan komitmen yang tinggi sehingga semuanya berjalan dengan lancar dan teratur.
Inilah diantara peserta-peserta yang menyertai Bengkel Seni Khat Jawi Lanjutan anjuran Pusat Dakwah Islamiah Negara Brunei Darussalam 2010.
Khat thuluth adalah khat yang paling susah untuk dikuasai. Ia mempunyai banyak kaedah penulisan yang sangat detail dan halus yang harus dikuasai oleh seorang penulis khat dengan tepat. Tambahan pula, susunan untuk sesuatu perkataan dan cara menulisnya boleh dipelbagaikan agar sesuai dengan ruang dan karya yang dibuat. Dan kepelbagaian susunan itu pula mempunyai kaedahnya tersendiri yang mesti diikuti
Sebagai sambungan post sebelum ini, kita akan melihat pula perubahan-perubahan yang boleh dibuat untuk perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth. Berdasarkan perkiraan saya, untuk perkatan ini sahaja kita boleh tulis dalam bermacam cara dan gaya dengan bilangannya hampir mencecah dua puluh bentuk. Di sini saya kemukakan sebahagian daripadanya.
Di dalam Khat thuluth terdapat banyak kaedah penulisan yang sangat detail. Sedikit perbezaan, menyebabkan kita salah atau betul dengan kaedahnya. Di sini saya cuba kemukakan dua bentuk tulisan sebagai pendedahan kepada rakan-rakan untuk kita kongsi bersama dan dijadikan panduan. Cuba anda berikan jawapan diantara (A) dan (B), mana yang betul, mana yang salah dan kenapa..?
Terima kasih kepada anda yang telah memberi respon pada persoalan di atas. Sebenarnya perkara ini adalah diantara beberapa kesalahan tulisan yang saya temui ketika menghakimi pertandingan-pertandingan seni khat, termasuk juga Pertandingan Seni Khat Marhaban di Astro baru-baru ini. Banyak lagi masalah-masalah yang lain. Tapi kali ini saya cuba ketengahkan kaedah penulisan (bainahum) ini dahulu. Sebabnya, bagi saya ia cukup halus dan terperinci dari segi kaedahnya. Sepintas lalu, seolah-olah tiada beza.. Tetapi sebenarnya ternyata ada perbezaan yang jelas dan merumitkan. Dengan perubahan yang sedikit, ia akan membuatkan satu huruf menjadi tiga huruf.
Dan jawapannya, diantara (A) dan (B), maka pilihan yang tepat untuk kalimah ‘BAINAHUM’ adalah (A), kerana bentuk huruf yang pertama dan kedua adalah bentuk huruf BA dan YA. Manakala bagi (B) pula, gigi awal dan keduanya adalah gigi huruf SIN. Sekarang cuba kita perhatikan secara detail, diantara dua bentuk ini sebenarnya dipisahkan oleh pergerakan yang sangat halus. Perbezaannya hanyalah pada permulaan diantara ‘sin’ dan ‘ba’. Ketika menarik kebawah, Sin harus lebih pendek dan halus manakala ba lebih besar sedikit. Kemudian di penghujung gigi yang pertama. Kedua-duanya ada sedikit perbezaan ketika menolak naik. Seterusnya pada permulaan gigi yang kedua, pergerakan ketika melengkung turun juga berbeza dan lebar ba seluas dua titik dan sin hanya satu setengah titik.
Penulisan perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth, sebenarnya boleh dipelbagaikan. Pada pengamatan saya, kepelbagaian bentuknya yang boleh dibuat hampir mencecah bua puluh bentuk. Insya Allah saya akan terangkan pada entry yang akan datang. Semoga dengan penjelasan yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada semua…
………………….