CERAMAH KHAS “SENI KHAT DAN REKA BENTUK ISLAM” ANJURAN UNIT KEUGAMAAN DAN TAKMIR SURAU, BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, PADA :23 JANUARI 2011 YANG LALU.
CERAMAH KHAS “SENI KHAT DAN REKA BENTUK ISLAM” ANJURAN UNIT KEUGAMAAN DAN TAKMIR SURAU, BAHAGIAN HAL EHWAL PELAJAR, UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, PADA :23 JANUARI 2011 YANG LALU.
Sebahagian ayat-ayat dari surah al-Furqan dan at-Taubah yang saya tulis untuk hiasan dalaman Surau Istana Negara, Jalan Duta yang masih dalam pembinaan ketika ini. Ayat ini adalah untuk hiasan di sekeliling ruang dalaman dan bahagian mihrab surau menggunakan jenis khat thuluth dan nasakh. Ukuran keseluruhan tulisan di sekeliling surau: 3 x 180 kaki. Kesemua huruf-hurufnya divectorize supaya boleh dipotong dengan waterjet machine. Bahannya adalah aluminum warna emas dan dipadankan dengan latar belakang kayu.
Tulisan khat nasakh ayat 5-8 dari surah al-Baqarah dalam resam imlaie mengikut gaya Shawqi Afendi (1828-1887) yang sangat terkenal dengan keindahan tulisannya di dalam khat nasakh dan thuluth. Gaya Shawqi mempunyai karekter tersendiri dan mempunyai banyak teknik-teknik khas untuk menulisnya yang amat sukar diikuti terutama untuk menulis huruf jim, ain, sin dan mim. Gabungan penggunaan hujung pen sehingga menjadi halus meruncing dan tebal pada bahagian-bahagian tertentu ketika menulis huruf-huruf ini sangat menarik diteliti oleh penulis-penulis khat.
Khat kufi adalah nisbah atau sandaran kepada Bandar Kufah yang terletak di Iraq, ia diantara khat yang terawal muncul dan digunakan secara meluas untuk penulisan al-Quran suatu ketika dahulu sebelum kemunculan khat nasakh. Selepas pembukaan Iraq oleh Saad bin Abi Waqqas ketika Pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab tahun ke 18 Hijrah, pusat pemerintahan Islam berpindah dari madinah ke Iraq dan terikut bersama dua jenis tulisan yang dikenali dengan Makki dan Madani ke Basrah dan Kufah. Khat ini dipelajari oleh penduduk-penduduk Iraq dan mereka menggelarnya dengan khat Hijazi yang mempunyai dua ciri yang berlainan. Pertama berbentuk lembut (Madani) dan yang kedua berbentuk keras (Makki). Kecenderungan orang-orang Iraq ketika itu adalah kepada khat yang berbentuk keras dan mereka berusaha memperbaikinya sehingga ia digunakan secara meluas untuk penulisan mushaf, matawang, hiasan di dinding masjid dan tulisan pada batu nesan meraka. Khat berbentuk keras ini kemudiannya dimasyhurkan sebagai khat kufi, iaitu sandaran kepada Bandar Kufah kerana peranannya yang sangat penting dalam perkembangan tulisan ini. Kelaziman masyarakat Arab ketika itu adalah dengan menamakan jenis-jenis tulisan bersandarkan kepada nama tempat di mana ia muncul seperti yang terkenal di kalangan orang Arab Hijaz sebelum zaman Kufah ialah tulisan Nabati, Hiri, Anbari dan kemudiannya Makki dan Madani yang kesemuanya dinisbahkan kepada nama tempat.
Khat kufi tersebar ke seluruh dunia bersama tersebarnya Agama Islam. Perkembangan khat ini dibantu dengan galakan yang kuat oleh pemerintah Islam yang berpusat di Kufah sehingga ia diikuti, dipelajari, tersebar dan dinisbahkan kepada Kufah. Ciri utama khat kufi ialah keras, bersegi, tegak dan lurus. (As-Sabah Al-Iraqiyyah)
Bengkel tahsinul khat dan seni khat jawi peringkat lanjutan yang telah berjalan selama 2 minggu ini adalah satu program yang sangat bermanfaat kepada penulis-penulis khat di Negara Brunei Darussalam sebagai satu platform untuk mereka meningkatkan kualiti tulisan khat seterusnya menambah nilai dalam bidang pekerjaan masing-masing. Di dalam bengkel ini peserta telah didedahkan dengan teknik penulisan khat mengikut kaedah yang betul dan muktabar yang diguna pakai di seluruh dunia serta kaedah-kaedah yang mudah dilaksanakan serta amat berkesan terutama di dalam seni khat nasakh dan thuluth. Kedua-dua khat ini sangat penting kerana keduanya merupakan tunjang kepada cabang seni khat yang lain. Jika seseorang penulis boleh menguasai kedua-dua khat ini, maka lebih mudah baginya untuk meguasai jenis-jenis khat yang lain. Kedua khat ini juga paling banyak digunakan di seluruh dunia dalam pelbagai bidang dan medium dan sangat meluas digunakan di Negara Brunei Darussalam.
Di bengkel ini, peserta juga berkesempatan mencungkil rahsia-rahsia seni khat yang amat sukar diperolehi dan terlihat dengan mata kasar kita jika tiada tunjuk ajar daripada guru yang betul. Seperti ada pepatah Arab berbunyi:
Rahsia tulisan khat tersembunyi dalam pembelajaran bersama guru dan untuk menguatkannya (bentuk huruf) adalah dengan latihan yang berterusan.
Seperti yang kita maklum, seni khat mempunyai rahsia-rahsia penulisan yang sangat banyak, ia memerlukan tunjuk ajar dan pendedahan daripada guru sendiri, kerana tanpa pengajaran daripada guru seseorang penulis amat sukar mengetahui rahsia huruf dan tidak mampu menghasilkan tulisan dengan betul dan cantik. Mempelajari seni khat tidak cukup dengan hanya sekadar melihat dan membaca daripada buku-buku kaedah seni khat sahaja. Cara ini akan mengambil masa yang sangat panjang dan tidak mungkin seseorang penulis itu mendapat teknik penulisan yang berkesan tanpa melihat sendiri bagaimana cara membuatnya yang betul daripada seorang guru.
Setelah mengetahui teknik menulis khat daripada guru, maka usaha selebihnya bergantung kepada penulis sendiri. Untuk memperkuatkan kaedah huruf, seseorang penulis perlu berterusan membuat latihan sehingga apa yang dipelajari dapat ditulis sama seperti dikehendaki kaedah seni khat.
Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ‘tahniah’ kepada penulis-penulis khat Negara Brunei Darussalam di atas kualiti tulisan khat mereka, kerana pada pemerhatian saya mutu tulisan khat di sini telah meningkat dengan ketara berbanding dahulu, terutama setelah apa yang dapat saya lihat sendiri hasil kerja penulis-penulis pada peraduan menulis Seni Khat Jawi Kebangsaan yang berakhir pada 30 september 2010 yang lalu. Secara jujur, apa yang saya lihat sangat berbeza dengan kualiti pada 3, 4 tahun yang lalu ketika saya sering ke sini samada atas jemputan pertandingan menulis khat asean atau pameran-pameran seni khat. Umpamanya di dalam khat thuluth, saya dapat melihat ada beberapa peserta telah menulis huruf-huruf dalam khat thuluth dengan baik dan amat kemas serta membuat susunan-susunan yang menarik. Peningkatan ini tidak boleh terhenti di sini sahaja kerana untuk mencapai tahap tulisan khat peringkat antarabangsa, kita memerlukan kualiti yang lebih tinggi dan usaha yang berterusan. Sudah tentu untuk bandingan dengan tahap yang terdapat di timur tengah atau Turki, jurangnya masih jauh. Tetapi dengan usaha berterusan yang dimainkan oleh Pusat Dakwah Islamiah ini, tidak mustahil dalam 5 tahun akan datang ada penulis-penulis khat Brunei boleh menjadi setaraf di Turki dan mampu menempatkan diri dan memenangi peraduan-peraduan khat peringkat antarabangsa seperti di IRCICA dan sebagainya.
terima kasih kepada peserta-peserta bengkel di atas kerjasama yang telah diberikan dari awal sehingga akhir program serta memudahkan saya mengendalikan bengkel ini dengan berkesan
Harapan saya kepada peserta-peserta bengkel Tahsinul khat dan bengkel seni khat jawi lanjutan ini supaya berusaha bersunggu-sungguh dan memberi komitmen dalam meningkatkan kualiti tulisan khat kita dengan mempraktikkan apa yang telah dipelajari di sini dengan latihan harian masing-masing, kerana apa yang kita telah pelajari di sini akan hilang begitu sahaja jika dibiarkan tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk diterjemahkan dengan latihan yang berterusan.
Berusahalah membahagikan masa kita dengan latihan dan kerja-kerja yang lain supaya dapat membuat latihan pada setiap hari walaupun sedikit, jangan tinggalkannya terus tanpa latihan. Kerana latihan yang berterusan dan bersungguh-sungguh sahaja satu-satunya cara untuk maju dalam seni khat ini.
Di sini juga, saya memohon maaf andai ketika saya mengendalikan bengkel ini terdapat kekurangan dan terkasar bahasa atau terdapat sesuatu yang kurang menyenangkan semua pihak terutama kepada pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan saya di sini. Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah memberikan komitmen yang tinggi sehingga semuanya berjalan dengan lancar dan teratur.
Inilah diantara peserta-peserta yang menyertai Bengkel Seni Khat Jawi Lanjutan anjuran Pusat Dakwah Islamiah Negara Brunei Darussalam 2010.
Assalamualaikum
Alhamdulillah, ketika ini saya berada di negara Brunei Darussalam atas jemputan Pusat Dakwah Islamiah untuk mengendalikan bengkel penulisan seni khat bersama penulis khat terkenal dari Kuwait; Jasim Mi’raj dan Farid Al-Ali kepada penulis-penulis khat di sini. Kursus ini akan berlangsung selama 2 minggu dari 1 nov – 14 nov 2010, di mana peserta-peserta yang terpilih untuk mengikuti bengkel ini terdiri daripada orang-orang penting yang menggerakkan seni khat di Brunei seperti penulis di jabatan-jabatan kerajaan, pensyarah, guru-guru sekolah dan penggiat seni khat. Seramai 50 orang peserta telah menghadirkan diri dan mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan satu dikendalikan oleh Jasim Mi’raj dan Farid Al-Ali manakala yang ke dua dikendalikan oleh saya.
Untuk pengisian bengkel penulisan seni khat pada kali ini, insyaAllah saya akan memberi tumpuan kepada kaedah penulisan khat nasakh dan thuluth mengikut gaya Shauqi dan teknik membuat desain dan hiasan di sekeliling ayat sehingga menjadi satu lembaran seni yang lengkap. Dalam tempoh masa yang terhad, insyaAllah saya akan cuba sekadar yang mampu untuk memberi pengajaran yang terbaik kepada peserta-peserta bengkel yang nampaknya sungguh berminat dan penuh bersemangat menambah ilmu dalam seni Islam ini.
Pertandingan Seni Khat Kebangsaan anjuran Yayasan Restu akan diadakan sempena Festival Al-Quran Dan Kesenian Islam Yayasan Restu, pada 30 Julai 2010 sehingga 10 Ogos 2010 bersamaan 18 Sya’ban 1431 sehingga 29 Sya’ban 1431 Hijriah, bertempat di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Persiaran Damai, Seksyen 10, 40000 Shah Alam, Selangor.
Sebanyak tiga kategori / peringkat dipertandingkan:
Hadiah – hadiah yang ditawarkan:
Kategori kanak-kanak
Kategori Remaja
Kategori Terbuka (Nasakh)
Kategori Terbuka (Thuluth)
Borang Pertandingan Seni Khat Kebangsaan ini boleh diperolehi dengan yuran RM10.00 di :
Yayasan Restu,
Kompleks Taman Seni Islam Selangor,
Persiaran Damai, Seksyen 10, 4oooo Shah Alam,
Selangor, Darul Ehsan.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi Yayasan Restu:
Tel pejabat : 03-55119001
Mohd Yazid : 019-3448719
Zulhelmi : 013-4140845
Umi faezah : 016-6375997